Untuk menjadi jurutera, tidak semestinya melalui universiti.

Pada November 25th, 2009, ia ditulis oleh Al-Irfan

Baiklah. Tajuk begini sudah pasti disenangi golongan yang tidak berpendidikan tinggi (tetapi perasan mereka berjaya dengan pengalamannya, sampai sanggup memperleceh golongan ilmuan.) Kedua, tajuk begini dibenci pula oleh bekas (atau sedang bergelar) graduan kerana menidakkan fungsi universiti. Namun, kedua-duanya bukan misi utama.

Artikel ini sebetulnya ditulis demi menjawab persoalan beberapa orang juniorku akan kepentingan menuntut di universiti. Semakin ramai kenalanku (di kalangan junior khususnya) terkejut bila mendapat khabar bahawa aku yang bergelar graduan robotik memasuki dunia buku. Mereka makin hilang arah melihatkan aku seakan membelot dengan perjuanganku sendiri, kerana selama ini aku sering membantu mereka dengan menjawab permasalahan rekacipta melalui emel. Ingat mereka, aku akan menjadi seorang selebriti robotik dengan ciptaan hebat-hebat. Usah bimbang, adik-adikku. Aku masih menjawab emel sebegitu biar hidupku kini bergelumang dengan buku.

Aku memegang dua prinsip ini.

Satu. Pemikiran ilmu. Aku cintakan budaya ilmu, merujuk majlis ilmu, perpustakaan, kuliah, sesi diskusi, seminar atau konversasi cendikiawan di gelanggang tertinggi. Mana lagi akses paling mudah untuk meraihnya kalau bukan melalui universiti? Jadi, semasa mengisi borang biasiswa dan pemilihan bidang kejuruteraan, awal-awal lagi aku bersedia untuk terjun ke dunia kerjaya yang tidak berkait langsung dengannya. Aku memilih robotik pula adalah kerana sangat menyenangi gaya berfikir sang pembuat robot (bukan gaya berfikir seperti robot). Kompleks, adakala berserabut, adakala tersusun, berteori, berpraktikal dan eksperimentasi. Oh, kritikal sekali.

Dua. Pemikiran bisnes. Tiada satu pun apa yang kulakukan dahulu, sekarang dan selamanya mempunyai agenda yang tersembunyi, melainkan bisnes. Kerana dunia bisnes sesuatu yang tidak  terjangkakan. Risiko, tapi lumayan. Jangan salahkan kerajaan kerana dunia pekerjaan tidak selalu menjanjikan. TAPI, jangan salahkan pula graduan, kerana tidak menyiagakan diri menghadapi alam selepas dunia pendidikan. Ingat, pemikiran sebegini tidak semesti harus diikuti kerana kita tidak tahu apa yang terbaik buat kita. Seperti kata arwah Tok Aki kepadaku, “Kita masih, dan selamanya bertuhan”.

Bagaimana dan bila pemikiran ini dibentuk dalam diriku? Segalanya bermula pada suatu hari aku menaiki bas ‘ting-tong’ (bas pakai loceng) dari Mersing ke Pasir Gudang. Ketika itu, bas pertama sedang menuju ke Stesen Kota Tinggi kerana aku perlu bertukar bas ke Larkin.  Dalam perjalanan aku duduk bersebelahan dengan seorang lelaki bertopi dan berseluar pendek sedang memegang komputer riba.

Beliau banyak bercerita masa hujung minggunya menunggang kuda. Mulanya aku tidak percaya kerana luarannya tidak semewah anak raja. Mungkin manusia jenis rendah diri barangkali. Bila dikorek-korek, pemuda itu rupanya seorang kontraktor penyedia network internet. Di tangannya selalu terbimbit ke hulu ke hilir sebuah buku tebal bertajuk CISCO, iaitu bahasa pengaturcaraan network. Sedangkan di universiti, beliau seorang penuntut yang menamatkan pengajiannya dalam bidang senibina bangunan (lulusan luar negara, tajaan kerajaan). Ini dua benua ilmu yang jauh.

-Bagaimana seorang arkitek boleh meninggalkan bidangnya untuk menjadi kontraktor network internet?

Jawapanku itu disambut pantas olehnya bersama senyum,

Saya cinta ilmu.

-Tapi, bukankah kedua-dua bidang ini kritikal?

Buku ‘kan ada.

Walau namanya sudah aku lupakan, namun pemikirannya masih bertahan di ingatan, sampai sekarang.

Peringatan paling tulusku kepada kamu yang sedang menuju ke menara gading, belajar sampai habis dan usah berhenti di pertengahan jalan! Persampahkan mentor-mentor yang kamu tampal wajahnya di dinding kerana agungkan tindakan mereka keluar dari universiti untuk mengejar misi. Kerana sesungguhnya, bila kamu tanyakan pada mereka tentang kekecewaan yang masih tersisa biar bergelar si pengumpul harta,  jawapan mereka tetap tidak pernah berubah, cuma satu, iaitu;

Tidak menghabiskan dunia ilmu (universiti).

p/s: Maaf. Sistem pendaftaran Sahabat SangPelangi melalui borang kuning di bawah ini tergendala buat sementara. Mohon gunakan borang ‘kontek‘ di atas dengan menggunakan emel dan nama panggilan. Tuliskan di situ, kamu minat untuk menyertai Ahli Sahabat SangPelangi dan saya akan membalas emel kamu.





Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya. Klik tajuk di bawah.