Surat dari pembaca #1

Pada September 12th, 2008, ia ditulis oleh Al-Irfan

Atas izin tuan punya diri, saya siarkan surat kiriman Akma Nurul Aisya Bt Ahmad Mansor untuk dijawab di entri SangPelangi, memandangkan persoalan yang ditanyakan itu adalah sesuatu yang menarik untuk saya kongsikan bersama kalian.

Akma Nurul Aisya Bt Ahmad Mansor menulis:

Assalammualaikum,
Saya telah baca entri saudara dan saya dapati rata-rata entri saudara menarik sekali. Lebih-lebih lagi apabila menceritakan pengalaman saudara di negara Jepun. Saya ingin mengutarakan beberapa soalan mengenai saudara sekirannya saudara tidak keberatan:
1. Mengapa negara Jepun menjadi pilihan saudara sebagai destinasi melanjutkan pelajaran?
2. Adakah impian saudara pada 5 tahun akan datang?
3. Apakah perbezaan yang paling ketara di negara Jepun berbanding Malaysia?
4. Apakah pengalaman paling manis saudara ketika berada di jepun dan pengalaman paling pahit?
5. Sekirannya saudara terjumpa dengan seorang budak yang tidak dikenali di masjid dan dia meminta nasihat daripada saudara. Apakah nasihat yang saudara akan berikan kepadannya?

Berikut adalah soalan daripada saya buat masa ini. Okey. Saudara boleh siarkan nama saya. Maaflah sekiranya ayat saya agak ’skema’. Hehehehe.. Wasalam.

Jawapan saya pula:

Waalaikumsalam buat Akma Nurul Aisya. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk cuba menyelami apa yang cuba saya sampaikan melalui SangPelangi ini. Jawapan saya untuk soalan-soalan anda itu adalah seperti berikut:

1. Saya memilih Jepun, kerana ketika tadika lagi (al-Arqam), saya sudah terpengaruh dengan figura hero kanak-kanak seperti Satria Baja Hitam (Mask-Rider), Maskman, Flashman, Gaban dan Doraemon. Jadi, cita-cita untuk ke Jepun memang sudah ditanam sejak belum mula bersekolah lagi. Teringat hobi ketika kecil-kecil dahulu, segala hadiah dari ibu telah habis dijahanamkan semata-mata ingin mengetahui bagaimana mainan itu berfungsi. Di bangku sekolah rendah, habis musnah segala barang elektronik di rumah seperti pengering rambut, pemain video, radio meja telah saya kopakkan atas tujuan tadi. Setiap kali dirungkaikan komponennya, pasti tertera satu jenis aksara tulisan pelik yang akhirnya baru saya ketahui ia berasal dari negara Jepun. Maka, Jepun adalah pilihan destinasi saya yang seterusnya untuk menimba ilmu.

2. Lima tahun itu bagi saya adalah angka yang agak kecil. Kendatipun, lima tahun lagi, dengan izin Allah semoga saya dapat berfungsi di dalam “circle of influence” saya sendiri. Seperti Ustaz Hasrizal, saya juga ingin melihat Malaysia yang baru 5 atau 10 tahun mendatang. Bercita-cita ingin menjadi seperti ‘Sang Murabbi‘.

3. Ada pro dan kontra yang berselisih jauh langit dengan bumi. Tapi, ‘jika dan hanya jika’ ada sikap ini, maka Malaysia bisa bersaing dengan Jepun dalam teknologi. Iaitu semangat membaca. Keduanya, soal bahasa ibunda. Contohnya aku melihat, mereka membaca buku semikonduktor, seperti menjamu novel cinta lagaknya. Berbaring, bersahaja dan menyeronokkan. Cuma bahasa ibunda yang mendekatkan kita kepada kefahaman dan keseronokan maksimum. Kefahaman yang meningkat, pasti akan menyemai budaya membaca pula.

4. Tiadalah pengalaman paling manis ketika berada di sini, melainkan merasakan nikmatnya bergelar Muslim di bumi kafir. Setiap gerak laku terasa diperhatikan Dia. Semoga ia terus sebati walau sekembalinya aku nanti untuk berbakti.

Kenangan manis lain adalah tatkala menjatuhkan pihak lawan ketika pertandingan Judo di kolej. Tak disangka, surah al-Insyirah menjadi asbab pertolongan dari Dia, ditambah unsur ‘gayung’ yang aku masukkan secara sengaja untuk menyelamatkan diri. Kalau tidak, mahu patah tulang rusuk dicampak keluar. (Oh ya, aku suka membaca kisah silat di laman UZAR itu. Hihihihi…)

Sebenarnya, kehidupan di Jepun ini hampir 80% kisah pahitnya. Perkongsianku di SangPelangi ini tak banyak yang pahit. Biarlah semuanya aku telan sendiri.

5. Aku akan berkata, “Adik, pergilah berwudhuk. Kemudian, renunglah biru langit untuk tahu sekecil mana dirimu. Tarik nafas sedalamnya, hembus dan tiupkan jelaga hitam yang membelenggu kamu. Tinggalkan kenangan duka, kesemuanya di belakangmu. Akhirnya, barulah menjulang takbir itu.”

Sekian.

Semoga catatan ini, akan aku baca setiap kali aku terlupa apakah misi keberadaanku di dunia sementara ini.

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.