Siri Dialog Kritikal #4

Pada October 24th, 2008, ia ditulis oleh Al-Irfan

-”Alamak, Wong. Kita cerita keburukan orang ni, bukanlah aku bagus sangat.”

Tanpa terkesan apa, terpana antena kepala. Jarang sekali isyarat umpat dapat dikesan.

Kadang-kala, tanpa sedar telah membuka aib orang tanpa malu. Adakala, terpetik di bibir. Walau sekelumit, telinga sendiri memicu desing. Andai awanan bisik syaitan dapat dilihat, sekacang NganYin boleh ditepis. Sungguh aku tak tahu kaedah terbaik menghindar umpat. Ada petua, jangan disebut nama, tapi ciri yang dilafaz sangat tepat, masih terbayang wajah serupa. Aduh, bantu aku.

“Oh. Yalah, Irfan. Tapi, itu bukan keburukan. Kejam bunyinya. Sebutlah ‘ketidak sempurnaan’.”

Wong Fei Hung juga sepertiku, pasti resah. Cuba mencari jalan keluar.

-”Aku teringat satu ayat keramat. Mungkin kau jarang dengar ayat ni.”

“Oh apa dia? Macam doakah ayat itu?”

Dia dan muka terkejutnya simbolik benar. Terbelalak mata, tubuh membatu.

-”Sekian, terima kasih. Segala yang buruk adalah dari saya sendiri, dan yang baik datangnya dari Allah.’ Begitulah bunyinya.”

“Itu biasa.”

-”Kau tak nampak apa-apa?”

Sehela nafas, diulang sebut berkali-kali. Kemudian dia menggeleng.

-”Manusia, ketidak sempurnaan takkan ada. Semua ciptaan Tuhan sangat sempurna sifatnya.”

“Oh, aku faham. Kau mahu kata, keburukan itu dari kerja manusia?”

Aku mengangguk sambil terkatup mata.

“Itulah datangnya dosa, bukan? Untuk manusia yang berbuat buruk.”

-”Amboi?”

“Itu mesti tau juga ma..”

Gelak membingit kamar, berteman kacang tumbuk dan semprit. Sebelumnya kami berborak rancak. Melahir rasa tak puas hati pada seorang budak Jepun. Kebiadapan budak itu mengingatkanku pada junior di sekolah yang terpelosok di celah almari besi dan di bawah katil. Kenangan di asrama dulu.

P/s: Manusia itu fitrahnya tak bercacat cela. Buruk itu dari anggota, yang digerak nafsu tanpa kawalan akal. Kitakah itu? Oh, bukan. Itu aku. :lol:

Sambungan dari Siri Dialog Kritikal #3: Ramadan Terakhir Kita Barangkali.
Sambungan ke Siri Dialog Kritikal #5: Mahalnya Sebuah Ketakutan.

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.