Siapa kata Hari Raya hari ceria?

Pada October 14th, 2007, ia ditulis oleh Al-Irfan

“Lawa baju raya,Kak. Err..tambah sikit lagi lauk ya?” aku membodek. Almaklum, 1 Syawal bersamaan dengan ‘hari makan’ sedunia. Siapa tak juling tengok lauk berbesen-besen (baca: besen besi).

Selepas khutbah Aidilfitri, semua tetamu menjamu selera. Nasi minyak lauk ayam masak merah dan kari dalca. Ketupat sambal kacang menu wajib yang takkan dilupa. Turut sama kuih muih bermacam bentuk pelbagai warna rencam rasa. Jamuan beramai-ramai diselang gelak tawa senyum ceria. Begitu meriahnya suasana di pagi Syawal yang penuh bermakna.

Kami semua berkumpul di kedutaan besar Malaysia di Shibuya. Ada yang datang dari jauh beratus kilometer untuk meraikan hari mulia itu bersama. Dari penuntut, staf kerajaan, pekerja swasta sehinggalah ahli tentera. Hari bermakna disambut meriah tanpa kenal pangkat usia. Senyum mereka menjadi pengubat kerinduan orang tersayang yang di hujung sana.

Seusai makan dan sesi bergambar, masing-masing membawa haluan. Ada terus pulang menyambung kuliah (barangkali), ‘bowling raya’, ‘karaoke raya’ dan entah apa lagi yang raya. Aku turut serta rombongan menyerang rumah terbuka yang ada. Juadah utara lauk selatan tak perlu aku senaraikan lagi. Dari laksa utara hingga soto selatan, semua itu tak kami tinggalkan. Tapi bukanlah haloba yang jadi teman. Dengan akal waras masih terkawal. Cukup ala kadar setakat menjamah. Bimbang tak larat mengusung perut ketika pulang nanti.

Akhir sekali, aku dan empat yang lain (Aku, Amet, Jijol, Shobri) ke rumah mak angkat Shobri di Hachikochi, Tokyo. Keramahan keluarga Jepun itu dengan teratak mereka yang berorientasi barat bagi aku melambangkan tahap pemikiran mereka yang global. Tak ramai sebenarnya rakyat Jepun sebegini yang rela melayan kami seperti ahli sedarah sedaging mereka sendiri. Namun, apakan daya, ketika baru hendak mula bersembang ceria, perut aku dah mula memancarkan isyaratnya.

Kalau orang lain menyambut syawal dengan linangan airmata penuh keinsafan, kami dibanjiri air mata penyeksaan di balik pintu jamban. Bayangkan, jika setiap 2jam kami perlu berlarian. Jika sehari ada 24 jam, maka sila bilang jumlah kehadiran ke jamban untuk sehari suntuk. Mujur saja mesin pemasa tidak disukat. Mungkin lebih banyak dari yang dikira.

Putaran angin yang seribut ‘rasengan’ Naruto berputar kencang menghentak rakus dinding-dinding perut. Sesekali tubuh memanas mencampakkan suhu ke ubun-ubun kepala. Muka pucat tak berseri, senyum kelat kambing bebiri. Duduk tak senang, diri tak tenang. Jalan kengkang, lari terkangkang. Gerak kerja bak cacing perit disimbah bahang. Siapa yang punya pengalaman, pasti lebih tahu. Itulah bahana penangan ‘racun si ayam merah’.

Bala di dalam jamban tak usah dikhabar lagi. %^#$%#^… ARKHHHH!!!! (terpaksa ditapis atas dasar kesopanan)

Keracunan ini telah melahir sugul mencabul ceria di satu Syawal. Semua ini punya ‘hadiah misteri’ kurniaan Si Pencipta. Apakan daya penuh rahsia berjuta makna. Yang terima perlu menduga apakah maksud di sebalik cerita. Bermuhasabahlah sebelum yang lebih besar datang melanda.

—————————————
Antara dialog imbas kembali:

1. Amir “Eh, bau semacam ayam masak merah ni. Tak rasa camtu ke?”
Dia menyambung, “Tapi, semua orang macam tak cakap apa pun. Malaih nak wat kepala tau.”
Aku, “Tu la, aku pon rasa camtu jugak”
Jijol, “Ada orang kata, ayam masak merah kat embassy tu dah masak 1minggu lepas. Cuma diorang panaskan je.”
Kami, “HAAAA??????…”

2. Aku, “Hello Din, kau ok ke? Ada sesiapa sakit perut tak?”
Din, “Tu la pasal. Aku mula sakit pukul 8 malam tadi. Senpai (senior) pun sakit perut jugak. Semua orang kat student house ni sakit perut. Jamban dah la ada dua jek”

3. Amir, “Weh Mayani, ko tak rasa semacam ke ayam masak merah tadi?”
Mayani dengan hidung kembang, “Eh, tak ada pape pon? Aku rasa OK je ayam tu.
Esoknya, Kak Pah, “kitorang sume dah tak larat ni. Gilir-gilir guna bilik air”
Aku, (dalam hati) “padan muka..hahahaha”

4. Pai, “Cantik la, Pak (merujuk aku yang digelar “bapak”), boleh buat modal blog ko ni.”
Kamal, “Aa.. apa kata guna tajuk ‘Seksa di pagi raya’? OK tak?”
Aku.. Cuma tersenyum diam sambil asyik memegang perut.

5. Mak angkat Shobri,(dalam bahasa Jepun) “Kenapa sakit perut sampai macam ni sekali? Baik jumpa doktor cepat.”
Aku mencuit Shobri (dalam bahasa Melayu) “Jangan bagitahu sebab keracunan, kang malu embassy masuk berita. Busuk nama Malaysia nanti.”
Shobri menjawab (dalam bahasa Jepun) “Sebab makan banyak sangat kot? Tadi open house macam-macam makanan ada.”
Lalu, mak angkat Shobri membuka peti kecemasan keluarkan Eno. Aku menepuk dahi kebingungan.

P/s: Ada yang menyuruh aku menulis untuk ruangan forum Utusan. Tapi, aku rasa tak perlulah aku menambahkan lagi kekacauan ini. Pergi jahanam sama protokol berita. Kisah satu Syawal ini sampai mati takkan aku lupa.

Sudah menjadi ahli Sahabat Sang Pelangi? Ada hadiah bonus, tau. Sila masukkan:

Nama Panggilan:
Alamat Emel:

Sila semak peti emel anda untuk melihat balasan dari saya (termasuk di kotak SPAM). Jika tidak menerima apa-apa, boleh hubungi saya di ruangan kontek di atas, ya?


Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.