Seronoknya Bersahabat dengan Orang Hebat.
Melalui banyak pertemuan di majlis ilmu, semakin ramai pengikut SangPelangi yang sempat kutentang empat mata, saling berkenalan dan berkongsi ilmu akan hal duniawi ukhrawi. Begitulah cita-cita SangPelangi sewaktu kelahirannya dulu, iaitu untuk menghubungkan dunia realiti dan alam maya, meluaskan jaringan ukhwah, bersimbiosis untuk terus memberi dan menerima.
Kami semakin akrab, saling berutusan berita dalam apa saja acara, tidak kira seilmiah persidangan seminar dan bengkel, atau acara sesantai majlis makan-makan dan sukaneka. Lagi memelikkan, sebahagian pertemuan kami atas dasar kebetulan semata, sama sekali tidak dirancang teliti. Berani juga aku bersumpah, bahawa tiada seorang pun antara mereka yang hadir dengan kepakaran atau bakat yang biasa-biasa, kerana pasti ada saja kelebihan unik yang berjaya kutemukan dalam setiap diri mereka. Maha puji atas kejadian-Mu, wahai Si Pengatur Peristiwa.
Namun, ada SATU persamaan yang sukar kupatahkan dalam persepsiku terhadap mereka semua, iaitu senantiasa merendah diri. Rasa beruntung kerana bersahabat dengan mereka, hingga akhirnya sikap ini makin tercanai kepadaku secara halus, berdikit-dikit. Moga-moga doh keperibadianku ini tidak seliat nafsu atau sekeras amarah lagi. Terima kasih kepada semua.
Benarlah kata-kata ibuku yang ditulis padat dalam kiriman SMSnya kepadaku tempoh hari,
Ama pernah terbaca, jika kita selalu berkawan dengan orang hebat, kita akan jadi hebat. Semoga Ifan juga menjadi hebat sama.
Walaupun begitu, SangPelangi semakin dihimpit tekanan dari sudut yang pelbagai. Tulisanku dianggap luah rasa yang jujur, kerana ada kata yang tak terucap di lidah, lalu di sinilah tempatnya ia tercurah. Maka, orang di sekelilingku sangat berhati-hati dalam bergaul mesra denganku, kerana bimbang hal perilaku mereka akan menjadi cerita dalam SangPelangi ini. Kepada yang berhati-hati itu, usahlah menjadi plastik lagi. Jadilah diri sendiri, kerana itulah tujuannya perkataan ’sahabat’ dicipta. Lagipula, peringatan di SangPelangi ini adalah tamsilan kepada diriku, juga buat renungan kita semua.
Kemudian, kepada pembaca SangPelangi yang masih sudi berkeliaran di sini, harap ampunkan aku seandainya kamu dahagakan sesuatu saban hari, sedangkan tiada apa yang tertinta. Ada khabar, adalah ceritanya nanti. Aku khuatir termakan janji sendiri.
















teratai berkata,
September 13th, 2009 at 3:11 pm
biasanya, orang yang hebat selalu dipertemukan dan bersahabat dengan orang yang hebat juga. macam kamulah Sang Pelangi.
Gembira saya dapat membaca tulisan kamu hari ini setelah lama menyepi.
Balas komen ini.
aliff berkata,
September 13th, 2009 at 11:56 pm
Salam,
Ipan,
Lama kamu baru menulis semula. Benar apa yang ibu Ipan katakan. Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1430H. Teruskanlah menjadi diri sendiri. Sibuk sekali ya..
Balas komen ini.
Orang berkata,
September 16th, 2009 at 12:32 pm
Salam
Setiap sesuatu terjadi pasti ada hikmahnya.
Tulisan yg sedikit yg memberi kesan.
Syukran
Balas komen ini.
arnamee berkata,
October 11th, 2009 at 9:24 pm
Salam saudara.
Saya pun alami perkara yang sama.
Mereka agak takut untuk meluah rasa.
Sedangkan saya tahu jaga aib juga,
masakan tidak, agama dah mengajar kita.
erm, wallahua’lam.
Balas komen ini.
wardah_syifa berkata,
October 12th, 2009 at 2:23 am
biasala manusia jarang utk menerima kritikan hanya pujian yg diharapkan
tidak salah menulis utk memberi pengajaran..cmenye sbg manusia our niat is important…menulis sambil menjaga hati, berbicara sambil menjaga hati…
bt sahabat2, keep up all gud works ..
Balas komen ini.