Sekembali dari Jalinan Ukhwah, Asakusa 2007

Pada June 20th, 2008, ia ditulis oleh Al-Irfan

Sungguh mengujakan, bila Ustaz Ariffin (kita memanggilnya Ariffin Sensei), membawa bersama beberapa orang muslimah Jepun yang Mualaf dari pelbagai lapisan umur. Memang ada bezanya wajah orang Jepun bila cahaya keimanan terpancar bersinar-sinar. Selamat kembali ke agama asalmu buat kalian.

Apakah cabarannya sebagai seorang Mualaf di bumi Jepun? Ternyata cabarannya bukan sedikit. Pandangan serong rakyat Jepun sendiri memberi kesan implikasinya tersendiri. Ini tidak hairan kerana mereka berpaksikan media yang berkiblatkan Barat. Bila ditanyakan tentang penerimaan keluarga sesudah bergelar Muslim, seperti biasa keluarga menolak keras pada asalnya. Itu sudah menjadi lumrah cabaran hidup bergelar Mualaf di mana-mana. Syahdu sungguh kisah yang diceritakan kepada kami, tentang perasaan, liku-liku hidup bila menanggung nama “Muslim” sepanjang di gurun kafir. Aku terbayang kisah-kisah penyeksaan sahabat Baginda, sedikit keawang-awangan.

Aku sedikit terjelepuk, bila ditanyakan,

Apakah pula cabaran mereka yang dilahirkan muslim?

Bukankah hebat dugaannya untuk mengekalkan, dan memperkasakan tahap keimanan sedia ada?

Di kepala, simbol tanda soal sudah berselirat erat. Itulah yang perlu dimuhasabahkan oleh diri.

Menurut Ariffin Sensei, Kadar bilangan kematian bunuh diri setahun di Jepun adalah 4 kali ganda lebih banyak dari bilangan Muslim Jepun itu sendiri. Dianggarkan lebih 40 000 orang mati setiap tahun kerana tekanan hidup, berbanding jumlah orang Jepun yang beragama Islam sehingga kini, iaitu lebih kurang 10 000 orang. Inilah buktinya betapa perlunya agama dalam kehidupan orang Jepun.

(Ini adalah pendapat peribadi aku sahaja. Kerana aku cuma mendengar ulasan dari 5, 6 orang Mualaf Jepun sahaja setakat ini) Bila ditanya seorang demi seorang, bagaimana hidayah itu datang, dari mana, bila dan siapa; kisah-kisah itu sememangnya menarik perhatian kami. Ada yang mengakui, bila melancong ke Indonesia (atau Malaysia, tak ingat), mereka berasa begitu kagum setelah dibawa melawat untuk melihat kesepaduan dalam program tadarus Al-Quran secara berjemaah. Ada juga yang timbul minat pada Islam, bila mengikut ajakan rakan Muslimnya ke pejabat kedutaan ketika perayaan Hari Raya, meraikan kejayaan bersama-sama setelah penat berpuasa selama sepurnama.

Mereka sememangnya, jatuh cinta, dengan ‘kesepaduan’, ‘kebersamaan’, dan ‘kekeluargaan’ dalam Islam, yang mereka lihat sendiri dengan mata kepala mereka. Tanpa perlu didesak, dipaksa atau digesa, kerana mereka akhirnya sedar, bahawa kemanisan Islam itu wujud sendiri, alami.

Seusai Program Jalinan, aku teringat kata-kata Ustaz Amin (imam Masjid Asakusa), kegelabahan anggota polis Jepun yang mengawasi penuh pergerakan warga asing di Jepun (Mesyuarat G8 bakal berlangsung di Hokkaido Ogos ini), menampakkan jelas kerisauan mereka dengan warga asing di Jepun.

Cuma peratusan kecil sahaja warga asing yang membuat jenayah. Sedangkan, kegiatan berdarah di sana-sini yang menjadi makanan ruji setiap hari, adalah dari tangan rakyat mereka sendiri. Mereka takutkan ‘keganasan’ Islam, sedang mereka dikejar ‘bayang-bayang’ mereka.

Contoh terdekat, kes pembunuhan dengan kejam baru-baru ini di Akihabara, oleh seorang warga Jepun, yang sanggup menyewa lori seberat 2 tan dari negeri Shizuoka, semata-mata ingin merempuh pejalan kaki. Selepas orang yang dirempuh cedera parah, ditikam pula berkali-kali dengan pisau tajam. Beberapa orang mati dan ramai yang cedera parah. Bila disoal siasat, puncanya cuma dia itu sudah penat berbuat baik dan ingin menjadi popular sepantas kilat. Apa sudah jadi, duniaku?

Sudah sampai waktunya, rakyat Jepun menimbang semula penerimaan agama dalam diri mereka. Biarkan mereka memegang prinsip adanya Tuhan dan rohani mereka akan selamat dengan tenang. Setiap muslim ada tugas. Dan tugas itu takkan selesai, selagi dunia belum aman.

Teruskan usaha, sahabat-sahabatku.

Boleh baca ulasan dari Abang Jimi kita di sini.

p/s: Slot Tahukah Anda? Di Jepun, tiada kad pengenalan untuk warga tempatan. Cuma berdokumenkan kad insuran. Jadi, tiada masalah tentang penukaran status agama di mana-mana dokumen.

p/p/s: nanti aku naikkan gambar-gambar yang sempat dirakam.

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.