Sejahtera itu, di mana manisnya?

Pada November 8th, 2008, ia ditulis oleh Al-Irfan

Harus kukenal apa maknanya sejahtera. Sejahtera itu aman dan sentosa. Keselesaan bukanlah tika menikmati enaknya tilam atau sejuknya penghawa dingin. Sejatera adalah rasa senangnya hati bila dijulang semarak jiwa yang menjerang merdeka. Akhirnya mengalunkan sepoi-sepoi bahasa lenggok udara kesyukuran. Mengasyikkan. Lantas melemahkan segala sendi siku dan kaki, untuk berlutut sendiri, kerana berterima kasihnya aku pada yang memberi perasaan ini.

Sejahtera bukanlah ciptaan dari yang dicipta. Bukan juga ibu mesin yang melahirkan anak mesin. Carilah di setiap rinci perbendaharaan bumi, dari setinggi langit ke dalam samudera, seluruh selirat rimba, panas gurun dan sejuk kutub. Sejahtera tidak berdinding, apatah bersempadan batu pemisah benua.

Tapi harus diingat. Sejahtera ini terbangun dua spesisnya. Samada semurah senyuman plastik, atau semahal pancaran seri wajah yang benar-benar dibadai perasaan itu. Ada orang menjaja sejahtera ini di pasar gelap,

“Mari! Mari! Sejahtera dijual pukal!”.

Ada juga dari buruan para pencinta ketulenan.

“Tolong! Aku impi sejahtera yang asli!”.

Huh. Aku kebingungan. Mana satu taraf sejahteraku ini? Yang jenis lelongan, atau yang jadi kejaran?

Warkah ini bukan untuk ceritera anak kecil di birai katil. Bukan juga sejenis syair yang mengalun nasyid bertema cinta murahan. Kalau benar sejahtera yang kupikul ini berdarjat tiada had, akan kubawa ke liang lahad. Takkan kecewa kalau tak bisa diwarta harta pusaka. Biarkan anak cucuku menggali dan cari sendiri.

Mahu tahu di mana manisnya sejahtera? Kau akan jumpa bilamana diubah perkataan ‘sejahtera’ di atas, kepada kalimah agung yang dieja Islam. Di situlah tempatnya. Jangan disangka kedamaian itu semanis madu, tapi katakanlah ia semanis Islam. Kerana Islam memang mencinta kedamaian. Islam itulah sejahtera.

Aduhai, manisnya.

p/s: Hasil cerminan rasa setelah membedah fasal pertama karya Abu’l A’la Al-Maududi, bertajuk Asas-asas Islam, rentetan usrah kecil bersama Jimi dan Naim. Sayangnya, Afiq tak dapat hadir kalini. Aku rindukan kau.

p/p/s: Maaf kepada yang sukar faham, aku tidak memaksa kalian memahaminya. Islam itu agama yang sejahtera. Itu saja. Entri ini cuma untuk melepaskan rinduku menulis ‘berat’.





Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya. Klik tajuk di bawah.