Saat Terpetik Kenangan Lampau
Saat lampau seorang anak remaja adalah kisah kanak-kanaknya. Bagi belia dewasa, zaman remaja dan kanak-kanaknya adalah kenangan lalu. Bagi si tua, sedari kanak-kanak itulah rakaman hayatnya yang terdahulu. Begitulah manusia, hari semalam itu ibarat nostalgia, hari esok bagai mimpi-mimpi yang baru.
Pengalaman indah, manis, dan baik-baik, mudah saja kita mainkan kembali memori itu. Sebaliknya, kisah negatif yang pernah berlaku pada diri kita, jarang sekali terpetik di minda. Pasti mustahil andai kita dengan duduk-duduk begitu saja, berjaya mengingat kejadian buruk itu. Siapakah kita, andai kenangan pahit itu berjaya dilupakan?
Kecuali dengan satu cara. Iaitu, apabila kau berpijak pada tanah yang menjadi saksi akan kejadian tadi. Atau dengan tiba-tiba kau bertentang mata dengan insan-insan yang bersangkutan dengannya.
Kemudian, kita konon berlagak, mendabik dada seraya mengaku,
Aku sudah lupakan hal pahit yang dulu-dulu.
Sedang di dada masih terpuruk rasa malu dan benci, mengapa ia pernah berlaku pada diri sendiri?
Kerana itu, aku cukup menghindar daripada berada di lokasi, atau menyerempak dengan mereka yang berkait nostalgia terburukku. Melainkan, saat aku sudah cukup tua, cukup fikir yang ranum, cukup tenung yang dalam. Biar uban berebutan di kepala, atau rambut berkejaran cabut dari akarnya. Waktu itu aku pasti kan cukup kuat mengenang kesemuanya.
Adakah saat itu, aku bakal digelar makhluk Tuhan paling lewat? Mungkin, ya. Namun, biarlah…
Asalkan, saat terpetiknya kenangan lampau, istighfarku dibalut syahdu yang mencengkam. Pipiku dihujan permata yang mahal. Khusyukku pada Dia moga mencapai tangga yang meloncatkan. Dahiku biar kejung, legam, mencium sahabatnya, sejadah. Tanganku bersalam teman yang sering mengingatkan.
Seperti kata sahabatku dunia akhirat, Azari Al-Beruntungi,
Setiap bait istighfarmu usai solat, mainkan semula rakaman dosa-dosa yang terdahulu. Nescaya sepanjang taubatmu itu, diakrabi sang airmata (yang dirindu Tuhan).
Kau tanyakan padaku, adakah aku lupa akan kisah pahit itu? Jawapanku, tidak.
Nooreena berkata,
July 1st, 2010 at 11:13 pm
Salam.
Luaran mampu menidakkan, tapi hati mungkin tidak. Ingin sekali menghapuskan kenangan manis (yang telah menjadi pahit) tiap kali berada di tempat itu. Tetapi itu tidak mungkin kecuali dengan izin Allah. Sahabatku pernah menasihatkan, ku perlu belajar untuk melepaskan. Belajar bahawa segalanya bukan milik kita. Hanya milik Dia.
Balas komen ini.
anego berkata,
July 1st, 2010 at 11:24 pm
Jika sukar kau melupakan,
Lepaskanlahhhhhhhhh…………
Balas komen ini.
amal berkata,
July 3rd, 2010 at 8:35 am
semakin sukar aku menangkap maksud tulisanmu secara tepat, makin tinggi nilai bahasamu
Balas komen ini.
famia berkata,
July 5th, 2010 at 7:26 am
Yakin denganNya. InsyaAllah semuanya seperti pencuci muka Clean and Clear. Setiap yang jadi wajib ada hikmahnya. Dan sesungguhnya hanya Dia yang tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.
Balas komen ini.
iela berkata,
July 5th, 2010 at 8:01 pm
saat lampau itu tak mungkin dapat di lupakan..ia hidup bersama hembusan nafas..
namun ‘saat lampau’ itulah yang mengemudikan kita dalam mengenal erti sebuah kehidupan..
Balas komen ini.
Nur Nia berkata,
August 18th, 2010 at 1:40 am
Salam perkenalan buat temanku di alam maya…
Sukar untuk membuang adunan rasa dari kisah itu..calar yang masih terkesan mencorak tangis hiba yang masih tersisa hingga kini.Benarkah andaian manusia..seseorang yang telah berjaya atau sengaja melupakan kisah dukanya dianggap satu keberuntungan dan KEJAYAAN..namun tidakkah insan seperti ini juga sebenarnya boleh digelar sebagai manusia yang tidak berani atau takut untuk mengakui kesalahan diri sendiri dari dosa rasa silamnya..????
Balas komen ini.