Saat Gaji Pertama Kuhulur..
Tatkala rintik-rintik air yang Abah jiruskan penuh hati-hati ke tubuh Nyai, kuperhati keriut wajah Abah menahan panahan listrik di pinggangnya. Sakit di tulang belikatnya yang bertandang pergi, tidak terkawalkan. Sesekali aku mengurut perlahan di belakangnya, sambil tangan Abah masih cermat mendandani ibunya, juga nenek buat kami.
Hari itu, aku dan adik bukan sahaja fahami cara-cara merapi orang tua. Malah sempat kami pelajari, bahawa suatu hari nanti, amalan itu pasti bertukar tangan jua, iaitu saat tubuh Abah Mama tidak berprestasi kembali. Biar SangPelangi menjadi saksi, biar jodoh, biar harta, biar seluruh jagat raya yang hadir mendepani, aku berjanji untuk tinggalkan segalanya, andai saat itu bakal tiba.
Semalam, kepada Mama, buat julung kali kutitipkan pemberian yang tidak seberapa demi gembirakan dia. Bersama sedikit hasil dari gaji bulan pertama, kusalami tangan Mama sambil berbisik halus,
Ambillah ini, Mama.
Siapa lagi bisa menebak, hati si ibu yang sekonyong-konyong sebak. Air terjunan matanya lantas tersimbah deras, hingga dia sendiri tak bisa menyeka. Mama sedia maklum raih bulananku hanya secukup rasa. Dia malah arif berapa jumlah yang tersisa di dalam poketku. Dia lagi berkira-kira, mengukur jauh mana hala tuju anak-anaknya untuk tahun-tahun yang mendatang.
Lantas soalan Mama mematikan segala tindakanku,
Simpananmu bagaimana?
Selirat ragaku meluruh, syahdu, saat Mama menggenggam keras kedua tangannya, tanda menolak hadiah dari huluran salamku. Sungai tangis di pipinya tidak terempang lagi. Andai kuselami irama sendu itu, semestinya dapat kubaca perasaan Mama, bahawa bukan dek kepudaran sudi yang rajukkan rezeki. Mungkin inilah kalimah yang sedang dibisikkan kepadaku,
Cita-citamu masih jauh, nak.
Ketahuilah olehmu wahai Mama, anakmu ini sanggup berlapar ke senja demi sekuntum senyum darimu.
Saat Gaji Pertama Kuhulur
Saat gaji pertama kuhulur
seikat impi terguyur, moga
tidak acuh kausambut, biar
lipatnya tidak sekebat dosa.
Saat gaji pertama kuhulur
geletar tangan ini, bagai tanda
airmatamu bukan hutang lagi,
tapi separuh dari harga diri,
walau tidak terganti.
Al-Irfan
Stesen Bas Larkin, 160809
















Miera berkata,
August 17th, 2009 at 1:14 am
Salam…
Aku berpendapat…
“Biar gaji kecil, asal kita bagikan untuk ibu bapa kita supaya mendapat keberkatan untuk rezeki yang akan datang…”
Kalau gaji tinggi menggunung sekali pun… tidak dihulurkan kepada ibu bapa kita, rasanya nikmat keberkatan itu jauh sekali… Kerana ibu bapa yang akan sentiasa mendoakan kita…
Balas komen ini.
cikgu_eya berkata,
August 17th, 2009 at 2:18 pm
ooohhh….. teringat iklan petronas untuk Gongxi (kalau tak silap). Sekumpulan mak cik-mak cik berbangsa cina duduk berkumpul, bergosip. Masing-masing bercerita tentang kehebatan anak mereka. Baru bertemu menteri, terbang ke sana-sini, bermain saham jutaan ringgit. Tiba-tiba, giliran seorang makcik yang sederhana. Apabila ditanya perihal anak, maka jawabnya seringkas yang boleh
‘Mereka baik-baik sahaja. Sihat sangat’ sambil tersenyum.
Masing-masing saling berpandangan. Tak lama kemudian, sebuah kereta parkir berhampiran. Ya, anak makcik yang sederhana tadi menjemputnya untuk makan bersama. Sedang yang lain, terkulat-kulat melihat sahabat yang sederhana itu tadi dilayan mesra. Anak mereka tidak pulang untuk menyambut hari bermakna bersama-sama mereka….
Ana cukup touching dengan iklan tuh. Semoga ia menjadi inspirasi buat pemilik sang Pelangi… ^^
Ibu bapa tidak melihat kepada hasil semata. Mereka lebih cenderung menilik usaha dan nekad kita… ^^
Balas komen ini.
anego berkata,
August 17th, 2009 at 10:09 pm
Fan,
omedetou!
sebenarnya banyak manapun pemberian kita pada orang tua, kasih sayang dan ingatanlah yang paling sangat berharga bagi mereka.
walau kecil pun gaji kamu, moga kamu ladeni kerjamu dengan bahagia.
apa kamu di JB sekarang?
Balas komen ini.
mollek berkata,
August 18th, 2009 at 10:08 am
Balas komen ini.
erina berkata,
August 19th, 2009 at 10:08 am
Salam ziarah Irfan. Tulisanmu membuat hati seorang anak bergetar rindu pada ibu ayah di kampung. Semoga syurga buat mereka di ’sana’ kelak.
Balas komen ini.
MS Rizal berkata,
August 19th, 2009 at 11:18 am
Wang Gaji buat bonda dan ayahanda bukan terletak pada nilainya, tetapi makna pemberian…segelintir kita pernah merasai pengalaman ini, hatta diriku yang pernag bergaji kecil dahulu..
Balas komen ini.
suara berkata,
August 21st, 2009 at 3:37 am
Salam Ramadhan Irfan,
Alhamdulillah, syukur kepada Allah, Pemberi Nikmat.
Irfan bertuah kerana sempat merasai nikmat huluran itu. Kak su tak sempat merakamkan suasana itu dalam garisan kenangan. Mak ayah kak su pergi tatkala gulungan ijazah belum berada dalam genggaman.
Sekadar ingatan…
Ramadhan kembali lagi…?
Tak lah.
Ramadhan datang dan pergi
Tapi tak pernah kembali.
Jadi pasti Irfan tahu apa yang perlu dibuat, kan?
Balas komen ini.
Rebecca Ilham berkata,
August 29th, 2009 at 4:39 am
Irfan,
aku pula yang pecah suara tatkala menyampaikan sumbangan kecil sempena menerima gaji pertama pada Emak
Balas komen ini.
Al-Aneesa' berkata,
September 4th, 2009 at 9:56 pm
Salam ziarah…
syahdu membaca entry ni. Teringat zaman jadi guru sandaaran dulu. (pertama kali dapat gaji.)
Biar sikit rezeki Tuhan, keberkatan menjadi ukuran.
Balas komen ini.
myra berkata,
October 3rd, 2009 at 9:29 pm
salam,
saudara sgt beruntung masih ada ayah dan ibu..
doa sy berkat hidup saudara hendaknya…
Balas komen ini.