Ramadan, mengingatkan aku pada apa?

Pada August 29th, 2008, ia ditulis oleh Al-Irfan

Ramadan, mengingatkan aku pada entri lalu yang dicoret tika diri diselubungi sedih sendu.

“Aku pernah menangis beberapa kali bila membaca catatan SangPelangi. Kisah nasib adikmu membuat aku terbayang-bayang hingga ke meja makan. Syahdu.”

Emel yang aku terima dari seorang pengikut sepi SangPelangi. Terima kasih atas luahan rasa yang kita kongsi bersama. Sesungguhnya, kau bisa menjiwai setiap patah kataku yang tersusun rapi. Ternyata, menulis tika emosi menguasai diri bisa memberi impak pada pembaca juga.

Hmm.. harus berjaga-jaga, bimbang amarah akan me”rosak”kan adab penulisan kita.

Baiklah. Kembali ke pokok bicara. Ramadan, mengingatkan aku pada apa?

Ramadan, mengingatkan aku pada sesi bersantap di hotel yang entah berbintang berapa. Ketika itu, manusia tetap kisah pada harga, kononnya mengikut kemampuan diri. Bermacam pakej, persembahan pun ada. Hairannya, ada juga yang tak pernah ambil pusing, pada berapa panjangkah barisan anak-anak kecil di hujung sana. Yang beratur menadah mangkuk untuk dipenuhkan dengan bubur tawar. Biar bumi dihujan peluru tak berteraju, puasa tetap nombor satu. Itu kata mereka. Apa pula kata kita?

Ramadan, mengingatkan aku pada apa?

Ramadan, mengingatkan aku pada “kertas” gergasi yang diusung ke sana sini. Ke mana ia diusung, di situ kerlipan cahaya disimbah gemerlap dari ratusan kamera. Sumbangan bermusim itu memaparkan senyum “plastik” anak yatim yang menggayakan baju dan kasut raya. Tanpa kita pedulikan, apakah sebenarnya yang selama ini mereka impikan. Iaitu, keikhlasan yang didermakan melalui kasih sayang sebenarnya. Sepanjang masa. Bukannya dinanti ahli falak meneropong anak bulan di kaki langit.

Ramadan, mengingatkan aku pada apa?

Ramadan, mengingatkan aku pada kantung yang sarat disumbat wang. Atau mungkin sebaliknya. Di suatu sudut, penuh rakus seorang penjaja yang tak hirau azan Asar yang dilaungkan. Makin di ambang gerbang al-Mubarak, makin hebat untung yang digali. Tiada lagi sepertiga malam yang diniatkan di hati. Yang berbaki cuma mimpi bersiri dek letih tubuh sedari dini hari. Sudut yang satu lagi, tangisannya kedengaran cuma di ekor Syawal. Botak kepala mengenangkan nafsu dua purnama. Apa yang aku belanjakan? Tanya mereka sesama sendiri.

Ramadan, mengingatkan aku pada apa?

Ramadan, mengingatkan aku pada kalam Tuhan yang aneka rupa di rumah kita. Jenguklah sarangnya. Usah dibiar debu yang menjadi baju, tiuplah. Sesungguhnya ia rindukan belaianmu.

Oh tidak. Emosiku terganggu lagi.

p/s: Tak perlu risau. Itu cuma memori lalu. Semoga tiada lagi senario Ramadan kali ini. Hikmah melambungnya harga minyak barangkali. Selamat menyambut bulan Kemerdekaan Ramadan.

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.