Ramadan 1

Pada September 1st, 2008, ia ditulis oleh Al-Irfan

*Weng.. Weng… Weng..

Siren bertempik. Oh, tona baru. Biasanya cuma deringan loceng. Bingit seluruh Numazu. Sesi latihan gempa bumi jam sepuluh pagi hari ini benar-benar menguji Ramadanku yang pertama. Hari ini juga bermulanya sambungan sesi kuliah setelah sepurnama berlibur musim panas.

Dalam barisan mengikut kelas, pelajar menderas ke tanah lapang. Terkawal. Entah kenapa sesi latihan kali ini kami tidak diberikan topi keselamatan. Walhal di kepala setiap pensyarah terpasang kemas. Boleh jadi, kepala mereka lebih mahal dari kami yang masih mentah agaknya. (Itu syak wasangka namanya. Haha. Jangan ditiru.)

Terik 33 darjah semestinya membuatkan kening semuanya berkerut. Aku berdiri di belakang sekali, diam-diam. Sebenarnya sedang mengawal suhu tubuh yang dari tadi langsung tidak dihembus angin. Pandang atas, sinar mentari. Pandang bawah, pasir berterbangan. Pandang ke kiri, oh dugaan mata. Ada si cantik manis. Dua orang.

“Atsuine kyouwa..” (Panas hari ini, kan?) salah seorang menegur.

Aku cuma tersenyum, mengangguk.

“Malaysia, kan?” seorang lagi menyambung.

Lagi sekali, aku senyum dan mengangguk.

“Kokoni yori, dochi ga atsui? (Banding sini, mana lagi panas?)” ditanya lagi oleh orang yang sama.

Berdiam sebentar. Kemudian aku menjawab pendek.

“Err.. bimyou da” (Susah nak cakap)

Selepas itu, aku ditolak dari depan, barisanku jadi memanjang. Aku menapak dua langkah ke belakang. Aik? Dua budak tu pun ke belakang juga. Sama dua langkah. Sedangkan mereka bukan dalam barisan pun.

Aku angkat kening. Pelik. Mereka ketawa.

“Hihihi.. Arigatoune..” (terima kasih, ya)

Cis. :evil: Mentang-mentang aku tinggi. Adakah patut bayang-bayang aku dibuat tempat berteduh? :mad: Sabar.. Sabar..

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.