Persampahkan alasanmu.

Pada November 14th, 2008, ia ditulis oleh Al-Irfan

Ada satu ayat angker yang sering melandaku.

Apa layak alasan ini diterima di hadapan-Nya nanti?

Pernah sekali aku ingin menangguh solat kerana satu alasan. Aku benar pasti tiada kukuh melainkan sekukuh alasanku ini. Tapi, seperti ada satu suara sedang membisikkan kalimah itu di telinga. Ia memang suaraku sendiri. Tapi, bunyinya meregang roma.

Di suatu saat, aku begitu memberontak (baca: aku seorang pemarah). Dek memusuhi seseorang, aku bertindak ingin memulaukannya. Aku menganggap diriku yang tua, menuntut hak untuk dipinta maaf. Bertandang lagi kalimah ini mendamaikan. Akhirnya membuatkan aku begitu merendah diri menghulur salam keampunan.

Sejak kenal rapat dengan Abu Saif, ayat ini sangat berhantu di dalam diri. Mungkin sukar untuk dikesan, ada beberapa kali beliau asyik mengulang-ulang ayat itu. Baik lahir dari kata, mahupun terpercik di tinta.

Apa layak alasan ini diterima di hadapan-Nya nanti?

Aduh. Ayat ini keramat ya amat. Arakian aku tersedar, rupanya gigiku tidak seruncing taring Si Singa Allah. Dadaku tidak sebidang milik Bilal bin Rabah. Apa layak untuk aku persembah sehelai alasan samar di harapan Tuhan? Aku ini siapa? Siapa kita?

Sahabatku, mari, persampahkan segala alasan yang merewang jiwa. Kita bukan siapa-siapa.

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.