Pernikahan VS Kematian

Pada May 15th, 2010, ia ditulis oleh Al-Irfan

Tidaklah dapat kunamakan pertemuan ilmu ini bersama sahabatku, Firdaus Ariff, sebagai usrah, mesyuarat, ataupun apa. Tiadalah mampu jua kurenungkan, apakah asbab kami berbicara soal pernikahan dan kematian sekadar bualan di kedai makan. Barangkali, rentetan dia yang kerap diundang ke majlis tunang dan nikah daripada jemputan rakan taulannya. Apatah aku pula kerap tanpa disengaja, tergerak hati ke majlis pengebumian saudara seagama yang tidak pernah kukenal langsung. Ah, segalanya kebetulan.

Moga-moga, sepanjang detik yang berlalu, saat lidah-lidah kami menyebut kebesaran Dia yang menemukan kita (nikah), lalu memisahkan (maut), tentera Malaikat-Nya bersama-sama turun mewakili Tuhan mengirimkan rahmat dan mengaminkan permintaan kita.

A) PERSAMAAN

Fasa

Pernikahan dan kematian mempunyai fasa persediaan (ambang atau pra~) yang tersendiri. Ia boleh saja berlaku mengejut. Contohnya, pernikahan ambangnya tunang, maka kematian ambangnya sakit. Atau tanpa fasa ambang itu, kedua-duanya masih boleh kita alami tanpa disangka-sangka. Sedih atau gembiranya kita saat hadapi keduanya pasti ada.

Rahsia

Pra-pernikahan dan pra-kematian adakala dirahsiakan. Pertunangan mungkin saja dirahsiakan dan hanya diketahui oleh kenalan rapat sahaja. Begitu juga dengan pra-kematian, iaitu sakit. Kedua-duanya, jika tidak dimaklumkan, ada juga kenalan rapat yang rasa terkilan.

Nostalgia

Pernikahan dan kematian, adalah pintu sempadan nostalgia. Kedua-duanya disetkan sebagai medan pintu sehala, tidak bisa ditoleh ke belakang lagi. Oleh yang demikian, ada saja antara kita yang akan menangis jika menyimpan perasaan dan tidak sempat diluahkan pada si dia. Mungkin juga andai ada hasrat yang tidak tertunai atas kenangan lama dan hutang budi, seseorang itu akan kecewa.

Sokongan

Pernikahan dan kematian, memerlukan sokongan moral. Dari segi pernikahan, majlis walimah perlu disokong oleh keluarga dan rakan-rakan agar berjalan lancar. Kematian juga perlu sokongan agar upacara pengebumian diurus baik. Jika mengikut budaya setempat tertentu, kedua-dua majlis dan upacara ini dihiasi dengan adat ber’salam keruk’, dengan tujuan membantu bagi meringankan bebanan si tuan rumah.

Segera

Pernikahan dan kematian tidak mengenal usia tua, apatah majlis pernikahan dan upacara pengebumian wajib disegerakan. Lebih cepat menikah, lebih bagus. Lebih cepat dikebumikan, lebih bagus. Implikasi buruk bakal terjadi, andai sengaja dilewat-lewatkan atau dengan alasan yang biasa-biasa. Tidak semestinya yang lebih tua menikah dahulu. Tidak semesti juga yang lebih tua boleh meninggalkan dunia ini terlebih dahulu.

Nafkah

Tanggungjawab menjaga dan memberi nafkah beralih. Buat sang isteri, nafkahmu berubah dari si ayah kepada sang suami, benar-benar berpindah amanah itu saat suamimu melafazkan akad. Saat betul-betul roh kita ditarik oleh Allah dari jasad, maka tanggung jawab itu berpindah kepada si waris yang layak pula.

Tetamu

Bilangan kehadiran tetamu dan keperluan melayan mereka. Ramainya tetamu, sebagai simbol penerimaan masyarakat terhadap diri kita. Ada orang yang ramai menghadiri majlis walimahnya, ada juga yang sedikit tetamunya. Formulanya mudah, jika ramai, tandanya dia dan keluarganya disenangi masyarakat. Di majlis walimah, sememangnya harus kita melayan dengan baik keluarga dan sahabat pasangan. Sepertimana juga upacara kematian, si waris perlu melayan dengan baik keluarga dan sahabat arwah, contohnya si anak harus melayan dengan baik kawan-kawan arwah ayahnya.

Lain-lain

Perubahan perhubungan yang berlaku adalah kekal dan tidak dapat ditarik balik.  Tiada lokasi lain yang digunakan bagi menguruskan kematian dan pernikahan, melainkan di rumah ataupun di masjid. Terakhir, kedua-duanya tidak mungkin kita mengambil sendiri gambar peristiwa ini.

B) PERBEZAAN

Mandatori

Dari sudut penglibatan kesemua hamba-hamba-Nya, tidaklah semua di antara kita berkesempatan menikah. Hukumnya biar sunat yang paling dituntut, namun ada juga takdir jodohnya Allah tidak kurniakan. Kerana Dia lebih tahu, segala yang terbaik buat kita. Cumanya, tiada satu makhluk pun yang terlepas dari maut, janji-Nya amat pasti, tiada berbasa-basi.

Tali

Pernikahan bagai simbol dua utas tali perhubungan yang diikat, dijalin, menjadi satu. Termetrinya dua hidupan berkongsi serba satu. Selain busuknya talak yang dibenci Tuhan, hanya maut saja yang boleh memutuskan. Ya, kematian sajalah simbol perleraian menjadi dua ikatan.

Faraid

Saat pernikahan, secara rasmi akan masuk penama baru di dalam senarai pembahagian mengikut faraid. Manakala kematian, keluar seorang dari senarai pembahagian mengikut faraid.

Perarakan

Perarakan pasti berlaku, bagai simbol memberitahu kepada khalayak di sekitarnya. Cuma beza antara kematian dan pernikahan adalah pada arah perarakannya. Pengantin diarak masuk, manakala jenazah diusung keluar. Termasuk juga perasaan yang tersimpan saat perarakan itu berlangsung. Seandainya kita begitu gembira saat kita diarak masuk ke rumah sepanjang bergelar raja sehari, adakah kita begitu pasti, apakah pula perasaan kita saat jasad kita diusung keluar dari rumah menuju ke taman pusara?

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya. Klik tajuk di bawah.