Pemberi Komentar = Sahabat

Pada October 22nd, 2008, ia ditulis oleh Al-Irfan

Pada asalnya saya ingin memberi komentar pada entri terbaru Ustaz. Memandangkan terlalu panjang dan bakal menyesakkan nafas para pengunjung di sana, saya memutuskan untuk jadikan ia sebagai entri baru.

Ustaz Hasrizal ada menulis:

Dulu-dulu, ada banyak nama yang menjadi pemberi komen setia. Biar pun sebahagian besarnya saya tidak pernah bersemuka, namun disebabkan oleh perkongsian yang berterusan, mereka terasa dekat di hati saya. Dek kerana sering bertukar-tukar pandangan dan banyak keserasian fikiran, hilangnya nama-nama itu menjadi suatu kehilangan yang terkesan kepada diri saya.

Mungkin asbab tarikh kelahiran kita yang sama, saya juga berkongsi perasaan itu. Seperti ustaz, saya juga sangat menghargai, malah menyayangi kepada mereka yang sudi memberi pandangan di dalam SangPelangi. Sehinggakan di satu tahap, ada yang saya anggap sebagai sahabat di alam maya. Buah fikiran dari komentar kalian sungguh memberikan informasi, inspirasi, motivasi dan bermacam lagi ~si ~si yang ada kepada diri malah kepada semua yang ada.

Sahabat saya, Ainohikari ada membalas di sana:

Ustaz, ana fikir ramai student Jepun sentiasa datang menjenguk blog ustaz, tetapi sekadar pembaca senyap je lah. (macam ana). Begitu juga mungkin pelajar-pelajar di negara yang ustaz pernah pergi buat program. Semoga Allah memberikan kekuatan istiqamah pada ustaz.

Saya sangat bersetuju dengan beliau.

Tapi, masalah mungkin muncul pada penulis blog, bilamana penulis sangat memerlukan tindak balas pembaca mereka. Penulis perlu menilai semula kualiti penulisan. Adakah sampai objektif penulisan itu kepada pembaca? Itu misi utama.

Sahabat di alam maya datang dan pergi, itu mungkin bermusim. Bila seseorang itu terikat dengan komitmen lain (yang menghalang akses internet dan sebagainya), menyebabkan nama blog seperti Saifulislam pasti terpadam di dalam kepala. Itu lumrah, boleh jadi juga masalah. Sedangkan, proses “memberi” perlu dilakukan berterusan kepada pembaca yang sama, berulang-ulang. Barulah bisa mendatangkan pembaca yang baru pula.

Penjenamaan.

Itu cadangan saya buat ustaz. Sudah sampai masanya pengunjung perlu mengingat nama “Saifulislam” sebagai satu jenama dalam dunia berblog. Model penulisan ustaz boleh dianggap satu bentuk penjenamaan. Susun letak dan logo juga begitu. Cuma cara teknikalnya ustaz saja yang boleh memikirkannya (kerana ustaz lebih kenal dengan trend pengunjung).

Sekian, begitulah sedikit buah fikiran saya buat ustaz.

*****

Tambahan di dalam entri ini.

Ya, “menulis, bukan kerna nama”. Tapi kita tak boleh menyangkal, bahawa dengan nama juga boleh mendekatkan pembaca dengan penulisnya. Kita selalu dinasihatkan guru, ketika membaca sesuatu, kenal dahulu siapa penulisnya dan dari mana sumbernya. Sememangnya itu adat menuntut ilmu, bukan? Jadi, menulis kerana nama juga perlu dan ada tempatnya. Ini boleh dijadikan sebab kenapa hampir semua penulis menggunakan nama pena atau nama sebenar yang tetap dan tidak berubah-ubah. Si penulis mahu pembaca kenal dan merasa dekat dengan mereka.

Saya menyedari kepentingan penjenamaan ini sejak generasi pertama pengunjung tetap SangPelangi pergi dengan perlahan. Sudah masuk generasi kedua, akhirnya saya menubuhkan “Sahabat SangPelangi (SSP)” demi “menjejak kasih” dengan pembaca lama dan baru.

Ada apa dengan SSP?

SSP adalah ruangan untuk saya mengumpul emel pembaca supaya saya dapat sering menjejak mereka. SSP adalah dunia saya di alam maya. Sebulan sekali saya akan menghantar emel kepada semua ahli SSP untuk bertanya khabar, berkongsikan sesuatu dan membincangkan isu ringan. Balasan yang diterima bertalu-talu. Walaupun saya tak dapat untuk membalas kesemuanya, sekurang-kurangnya mereka sedar bahawa pemilik SangPelangi ini sedang merindui para penghuninya.

Penemuan baru yang mengejutkan.

Dari maklum balas, ternyata ada juga pembaca yang sejak kelahiran awal SangPelangi lagi sudah mengikutinya tapi tak pernah meninggalkan komentar. Sebahagian pembaca SangPelangi tidak ingin komentar mereka dipaparkan, ia khusus untuk bacaan penulis. Mereka merasakan pandangannya itu terlalu peribadi dan jika pun mahukan komentarnya dibaca awam, mereka pasti akan menggunakan nama samaran yang berbeza-beza, dan akhirnya saya hampir-hampir tidak mengenali mereka.

Itu hak mereka dan saya menghormatinya. Jadi, saya gunakan emel sebagai medan pengantaraan kepada semua. Alhamdulillah, saya bisa menyesuaikan diri. Terasa lebih dekat dan bersahabat (tapi komentar untuk paparan umum itu tak ternilai harganya).

Kesimpulannya, seperti yang saya sering nasihatkan kepada penulis blog yang baru mengenali dunia baru ini:
1. Paparkan emel anda *(SangPelangi menyediakan borang ‘Kontek’ di atas).
2. Berinteraksi dengan pembaca.
3. Lawati blog mereka, dan meriahkannya di sana.

Dunia blog, adalah dunia persahabatan. Perbincangan kita dapat menggoncang semesta; seperti yang sudah digegarkan di alam politik negara (amboi hiperbola!). :lol:

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.