Nota dari Korea #2

Pada March 18th, 2008, ia ditulis oleh Al-Irfan

Bila melawat sesuatu tempat, aku akan selalu memerhatikan sistem perancangan bandar di kawasan itu. Dari segi cara pembangunan masyarakat dan susur galur sistem pengurusan manusia, kita bisa mem‘baca’ strategi pemikiran rakyatnya. Setiap kemudahan yang diberikan, pasti akan ada pro dan kontranya tersendiri.

Kita sedia maklum bahawa kemajuan pembangunan di negara-negara besar pasti akan meninggalkan kesan buruk. Salah satunya, kadar jurang kemiskinan akan bertambah. Golongan kaya semakin kaya dan golongan miskin semakin miskin. Suasana serupa berlaku di Korea. Walau bagaimanapun, tindakan Korea mengatasi masalah ini dirasakan lebih bijak di mana undang-undang untuk menjaja di jalanan kelihatan longgar.

13.jpg
Sebuah lori yang digunakan untuk menjaja roti.

Di mana saja ada orang menjaja. Sekali pandang, suasana tak tumpah seperti di tanah air sendiri (Stesen Masjid Jamek atau Pasar Seni). Pada pandangan kamu, adakah menjaja itu suatu yang menyakitkan mata terutama di bandar besar? Pada saya, ia patut digalakkan. Cuma, sebaik-baiknya kerajaan menyediakan prasarana yang lebih cantik dan bersih untuk mereka yang ingin menjaja. (aku sedaya upaya untuk tidak mengatakan Seoul sebuah bandar yang agak kotor. Cuma ia lebih bersih berbanding KL).

Update: Tindakan MB Perak, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menghapuskan kompaun  menjaja  pada  kaca mataku,  punya hikmahnya tersendiri. Kita tunggu  dan lihat kesannya nanti.

5.jpg
Menikmati wafel sambil menunggu ketibaan keretapi.

Sepanjang menaiki keretapi, pelbagai ragam yang boleh dilihat. Seperti juga di Jepun, orang-orang tua yang terbongkok-bongkok itu, semasa memasuki keretapi, merekalah yang paling cergas bila hendak berebut tempat duduk. Orang Korea tak akan memilih siapakah yang duduk bersebelahannya dalam keretapi. Asalkan ada kekosongan, pasti akan dipenuhi juga. Jika di Tokyo, jika ada orang asing bersebelahan tempat kosong itu, mereka akan teragak-agak untuk memenuhinya. Orang asing akan terasa begitu asing di Jepun. Suasana ini agak berlainan ku rasakan di Seoul.

Pernah sekali ketika sedang asyik berborak di dalam keretapi, tiba-tiba datang seorang yang berpakaian kot lengkap menyorong sebuah troli. Rambut tersisir rapi dan sepatu digilap kilat. Sambil menggayakan mesin pencukur janggut serbaguna, jurujual itu begitu petah berhujah. Sangkaan aku barangan itu tak laku ternyata meleset. Ada juga lima enam orang yang membelinya.

6.jpg
Gaya seorang jurujual di dalam keretapi.

Tak tahu pula sama ada kegiatan menjaja di dalam keretapi adalah dibenarkan. Tapi, dari kacamata kita, ia seperti sudah menjadi kebiasaan. Walau bagaimanapun, keadaan itu agak sedikit mengganggu perjalanan rakyat Seoul yang sering berkejaran ke sana sini.

Selepas menjelajah dengan keretapi, kami menuju ke apartmen kediaman Zafran di Sindorim dengan menaiki bas. Kita biasa melihat LRT atau MRT di negara-negara maju. Namun, Korea agak berbeza di mana mereka mempunyai dua laluan khas untuk bas di tengah-tengah jalan raya.

7.jpg
Sedang menunggu bas untuk menuju ke Fantastic Studios.

Menurut Zafran lagi, cadangan menggunakan sistem laluan khas bas oleh perdana menteri mereka pada asalnya dibantah oleh rakyat Korea yang merasakan ia akan menambahkan lagi sesakan lalulintas (sudah lupa pada zaman pemerintahan siapa. Nanti akan tanyakan semula pada Zafran). Tapi, cadangan itu tetap diteruskan oleh perdana menterinya ketika itu yang berpandangan jauh. Ternyata sistem ini benar-benar berkesan. Laluan khas bas tidak diganggu langsung oleh kenderaan-kenderaan lain. Sela masa 2 – 5 minit untuk setiap bas yang menuju ke sesuatu destinasi sememangnya tak akan merisaukan kita jika bimbang terlepas bas.

Tapi, awas. Pemanduan bas di Seoul tak ubah seperti bas mini di KL. Brek dan pecutan mengejut boleh melucutkan genggaman tangan pada palang ketika berdiri. “Orang Korea ni kalau bawa kereta macam orang gila, tapi tak pernah pula kemalangan,” kata Zafran. Kecekapan pemanduan kenderaan di kalangan rakyat Korea tak boleh disangkal lagi.

15.jpg
Bas di Seoul cuma mempunyai satu baris kerusi di kiri dan kanan.

Dengan penggunaan “T-Money” sistem kad prabayar untuk tiket bas dan keretapi, boleh aku katakan pergerakan penduduk di bandar Seoul lebih pantas berbanding di Tokyo. Mesin automotik tiket telah dihapuskan sama sekali. Tiket masih boleh dibeli di kaunter untuk kes kredit prabayar tidak cukup atau kehilangan kad prabayar.

(Penggunaan “Suica Card” di Tokyo masih belum fleksibel kerana masih terdapat mesin wang untuk membeli tiket. Begitu juga dengan “Octopus” di Hong Kong. Sistem “EZ Link” di Singapura pula kini semakin meluas sehinggakan kebanyakan tempat meletakkan kenderaan di sana telah mewajibkan penggunaannya.) Sebetulnya, aku mengikuti teknologi kad pintar ini sejak di bangku sekolah lagi. Aku punya satu buah fikiran untuk mengaplikasikan teknologi ini untuk menghapuskan sistem kaunter di pasaraya.

Kad prabayar untuk kenderaan awam.

Jika di Seoul, cuba kalian cari kenderaan dari negara asing. Yang bermaharajalela cuma Kia, Hyundai dan beberapa lagi jenama tempatan lain. Walau seburuk mana lori ikan atau van penjual roti, tertulis jua jenama buatan tempatan yang masih gah tersergam. Mungkin kita boleh katakan mereka mencintai barangan buatan tempatan. Tapi, mungkin kerana faktor cukai kenderaan import yang terlalu tinggi maka situasi begini terjadi. Sekurang-kurangnya, strategi mereka menjadi. Kenderaan buatan tempatan menjadi pilihan utama. Begitu juga barangan elektrik rumah. Nama LG dan Samsung lebih jelas dibaca berbanding yang lainnya.

12.jpg
Hampir 80% kenderaan di jalanraya berjenama tempatan.

Baiklah. Satu lagi yang memelikkan. Cuba kau cari, di mana motosikal mereka? Dalam 100 kenderaan yang lalu di hadapan kau, mungkin baru sebiji motosikal yang bisa ditemui. Mengapa? Inilah nasib motosikal-motosikal mewah di Korea. Kepada peminat motosikal berkuasa tinggi, sila ucapkan selamat tinggal pada Korea, ya?

8.jpg
9.jpg
10.jpg
11.jpg

Kebanyakan motosikal mereka digunakan untuk servis penghantaran barang dan makanan. Aku pernah melihat Harley Davidson yang senasib dengan gambar di atas. Mungkin inilah akibatnya jika kenderaan awam menjadi pilihan utama. Secara peribadi, sekurang-kurangnya penggunaan sumber asli petrol dan diesel dapat dikurangkan. Apatah lagi kecederaan teruk dari kemalangan yang membabitkan penunggang motosikal.





Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya. Klik tajuk di bawah.