Nota dari Korea #1

Pada March 14th, 2008, ia ditulis oleh Al-Irfan

Sudah hampir beberapa minggu SangPelangi tidak tersentuh. Baru saja kembali dari Seoul, Korea, bertemu dengan adikku, Zafran, di sana. Banyak yang dapat ku pelajari tentang kehidupan Korea di sana. Kami berlima Anuar,Azizol, Nizam, Hazwan dan aku.

Korea sebenarnya terbahagi kepada dua iaitu Korea Utara dan Korea Selatan. Apabila kita menyebut tentang ‘Korea’, yang dirujuk adalah Korea Selatan dimana negara itulah yang lebih terkenal dengan pelancongannya; sedangkan Korea Utara telah memutuskan hubungannya dengan dunia luar dengan menumpukan aktiviti ketenteraan. Api cita-cita mereka untuk memerangi Korea Selatan tidak pernah malap, membalas dendam ekoran sejarah silam mereka yang lebih berfahaman Komunis.

4.jpg
Berlatarbelakangkan sebuah bandar di dalam Seoul.

Menurut Fakhrul dan Ghani (sahabat Zafran), jika ingin melawat Korea, pelancong harus membuat pilihan sama ada untuk melawat Korea Utara ataupun Korea Selatan. Jika memilih bahagian Utara, maka kita dinasihatkan tidak melawat bahagian Selatan atau sebaliknya. Jika kita ingin melawat kedua-duanya, urusan kemasukan akan dihalang oleh prosedur dan protokol-protokol yang agak ketat dan sangat mencemaskan. Mungkin kerana kebimbangan mereka terhadap perisik-perisik perang bertopengkan pelancong asing yang diupah oleh salah satu negara.

Walaupun Korea Selatan mengejar pembangunan, persiapan untuk menghadapi Korea Utara tetap tidak dilupakan. Remaja Korea pada umur sekitar 18 tahun akan diserap masuk ke latihan khidmat negara yang berorientasikan latihan ketenteraan. Remaja Korea akan diajar menggunakan senapang, meriam dan pelbagai senjata api. (Zafran memberi contoh rakan sekelasnya yang dulu kebudak-budakan, lebih berfikiran matang selepas mengikuti program ini)

Ketika kedatangan kami, hubungan kedua buah negara ini masih lagi bergolak.
Korean Air yang membawa kami dari Nagoya mengambil masa 2 jam 30 minit untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Seoul. Pertama kali menjejak di bumi Seoul, aku sudah melihat beberapa kelainan yang aku rasakan sangat unik dalam diri mereka.
Berbeza dengan negara lain (Singapura dan Jepun contohnya), kedatangan kami kali ini disambut oleh anggota kawalan yang tidak bersenjata api walaupun negara Korea sebuah negara ketenteraan.

3.jpg
Bergambar sambil menonton LCD skrin besar.
Aku bersama adikku, Zafran di dalam keretapi
bersama Zafran di dalam keretapi.

“Nanti, kalau Ifan masuk Juhachol (keretapi), ada satu bau pelik”, kata-kata Zafran beberapa hari sebelum aku berlepas, ternyata benar. Orang Korea berbau bawang putih. Jika pertama kali berhadapan dengan situasi ini, mungkin ada yang boleh pengsan ataupun paling kurang berasa tidak senang dengan bau itu. Menurut Ghani, bau itu berpunca dari makanan Kimchi yang menjadi lauk utama orang Korea yang berteraskan sayuran peram dan bawang.

Aku, Anuar dan Wan (aksi) bersama gadis Korea di dalam keretapi
Aku, Anuar dan Hazwan bersama gadis Korea bermata bundar.

Aku melihat sekeliling. Agak terkejut, begitu ramai gadis-gadis Korea yang cantik dan bermata besar. Rata-rata mereka seperti bintang artis yang selalu dipaparkan dalam drama mereka. “Wah, awek-awek Korea ni bermata bulat la..” Anuar mengungkap kata. “Ah, pembedahan plastik semua tu”, bersahaja Fakhrul menjawab. Terbalalak biji mata kami.

dikatakan trend pembedahan ini dipengaruhi oleh artis mereka sendiri (gambar artis Kim Ajoongba)

Rupa-rupanya, hampir 80% gadis di Korea melakukan pembedahan plastik untuk membulatkan biji mata. Lagi 20% adalah kumpulan gadis pedalaman yang kurang terdedah pada fesyen terkini, termasuk yang semulajadi hasil perkahwinan kacuk dengan warga asing; juga yang kurang berkemampuan untuk melakukannya. Trend membedah mata semakin menjadi-jadi sehinggakan ibu bapa sanggup menawarkan pembedahan mata sebagai hadiah untuk anak gadis mereka yang berjaya dalam pelajarannya dan berjaya masuk ke universiti. Ada yang sanggup ke China jika tidak berkemampuan kerana kos pembedahan di sana jauh lebih murah.

Jemput menjenguk entri yang lain. Pilih di bawah.