Nostalgia Pizza “Love” untuk Mama.

Pada May 10th, 2007, ia ditulis oleh Al-Irfan

Semalam selepas menyiapkan laporan makmal, aku meniarap di atas katil. Cuma beralas selimut berlapiskan *futon (tilam ala Doraemon), melepaskan penat dan lelah. Cukup sejuk ditolak anginan Fuji yang sepelaung jaraknya.

Aku merasakan diri ini, tiba-tiba di alam lain. Sekelilingku tiada apa. Sesekali aku menjerit, melantun-lantun bunyi itu berbalik. Aku di dalam sebuah bangunan kosong. Sepertinya aku ada misi yang perlu diselesaikan, tapi tak terungkap di alam realiti. Aku tau aku perlu lakukan sesuatu, tapi tak ketahuan apa kerjanya.

Aku berjalan ke arah tangga luas. Sungguh mewah buatannya. Berlantai marmar, berkilat, bersinar dipantul cahaya mentari dari atas bumbung. Pegangan tangga dari kayuan jati. Terasa janggal diriku di tengah istana megah. Sangat asing.

Aku menapak setingkat anak tangga. Tiba-tiba, langkah ini terhenti sejenak.

“Ifan, jangan pergi dulu, ifan mesti jumpa mama.”, satu suara bergema. Ku toleh belakang. Dialah Farhan. Saudaraku yang berpangkat angah.

Farhan mengaut tanganku. Dipimpinnya aku ke satu pintu yang sangat jauh. Tersembul cahaya keputihan menyumbat masuk dari ruangan pintu itu. Sebuah pintu yang sangat usang. Aku menurut saja dorongan Farhan. Walau gundah, tidak sepatah aku membetah.

Sejurus melangkah keluar melalui pintu usang, aku terlihat seorang wanita sedang menangis. Tidak sekali ku lupa wajah itu, yang pernah mengereyot menahan sakit tika aku dilahirkan. Wajah itu juga pernah basah, dengan titisan keringat waktu membesarkan aku. Wajah itu juga pernah merah, disinar cahaya kepayahan semasa mencari sesuap nasi.

Kini, wajah wanita itu basah lagi, dengan terjunan air syahdu berjeram suram. Sungguh kasihan keadaan wanita itu. Dengan sedunya berpuluh-puluh dalam sesaat, diselang batuk yang menahan tekak, aku jamin, barangsiapa yang melihat sugulnya wanita itu, pasti tercurah pipimu dengan air masin itu. Walau beribu kain jadi kesatnya, belum tentu kau mampu menyapu kering semuanya.

SANGGUP KAU LIHAT AIR MATA ITU?

SANGGUP KAU DENGAR ESAK TANGIS ITU?

SANGGUP KAU BIAR DIA BEGITU?

Anak siapa yang mampu berdiri diam bersahaja. Emosi aku berbatas juga. Ego perjaka tenggelam terpenjara. Tak dapat ku menahan sebak hati ini. Aku lantas berlari ke arah wanita itu. Melutut dan memeluk seerat-eratnya. Kami saling menangis berpelukan.

“Ama.. jangan nangis ma..”

“Ifan tak sanggup tengok ama nangis..”

“Maafkan Ifan ma.. Kalau ifan salah..”

Aku memeluk lebih erat, mencium dahi Mama.

Selang beberapa minit, Mama bersuara.

“Ama dah maafkan semua anak mama. Ifan tak buat salah dengan Ama..”

“Cuma Ama sedih.. terlalu sedih..”

————————————————————————–

Aku terbangun. Bunyi pengumuman di corong peti suara yang mengejutkan aku.

Astaghfirullah Al-Azim.

Bermimpi rupanya aku. Jarum di dinding menunjukkan 7.50 pagi. Kemudian, aku “menampal” subuh tadi, yang tertinggal jauh berbatu masa. Sebagai janji dari seorang hamba kepada Pencipta.

Aku terus menelefon Mama. Aku ceritakan semuanya pada Mama.

“Sebenarnya, Ama sedih.. Sedih sangat..”

“Sebab…

…sebab…

Kasihan Mama.

(biarlah ini semua jadi rahsia kita berdua)

————————————————————————-

Mimpi ini adalah kali kedua selepas yang ini (klik sini untuk baca). Jalan cerita dan watak pelakon agak serupa. Semoga mimpi menjadi pengantara dua hati. Walau jauh dari pandangan, biar dekat dengan ingatan.

NOTA:
Teringat sewaktu Kursus Persediaan di UTM Semarak dulu. Tiba-tiba teringin nak buat kejutan untuk Mama.

Aku mahu sangat menempah Love Pizza dari Gombak untuk dihantar ke Pasir Gudang. Sepatutnya memerlukan penggunaan Kad Kredit. Apakan daya aku cuma pelajar biasa. Yang dibawa cuma kad ATM saja.

Sebelum melangkah keluar, pengurus Pizza Hut Gombak menawarkan sesuatu. Dia bersetuju aku membayar secara tunai, dengan harga sebenar tidak termasuk caj kad kredit miliknya.

Lalu, Love Pizza itu ditempah dari cawangan Gombak melalui telefon ke cawangan Pasir Gudang. Dihantar terus ke rumah secara mengejut.

Disertakan sekali mesej ini;

“Ifan sayang Ama bukan di Pizza Saja..”

Terima kasih ditujukan khas untuk Pengurus Pizza Hut Gombak. Ternyata kau pun sayang ibumu juga ya. Kerana ibumu itu adalah serupa dengan ibu-ibu lain di dunia ini.

p/s: Tahun ni, aku tak dapat nak bagi mak aku Love Pizza macam tahun dulu-dulu. Nak bagi kejutan apa pula tahun ni ya? hehe..

(Aku tak menyambut hari ibu seperti di Barat. Cumanya, kebetulan di hari itu ada promosi Pizza untuk ibu. Keluarga pula jarang makan pizza. Tak salah,kan?)

Moral: Sayang ibu bukan di hari tertentu. Setiap saat, setiap sayang untuknya.

Pesan arwah atok: “Kalau kau makan sedap-sedap, jangan lupa orang yang kat rumah tu”.

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.