Negara Syaitan #1
Aku menggigil bukan dikeranakan sejuk melampau, tetapi ketakutan. Tubuhku tidak semena-mena bertukar putih. Mataku jadi bercelak paling hitam dan bibir memerah bagai digincu. Tangan dan kakiku bertambah ketar ibarat dilistrik kejang. Dari sepanjang kedua-dua siku hingga ke pergelangan tangan, sekali pintas membentuk corak batik gemawan hitam. Dari lutut hingga ke tumit kaki turut memberi respons serupa.
Waarkhh hummm!!!
Aku menjerit campur mengaum. Ngaumanku membentuk gelombang angin, hingga menerajang seluruh lingkungan 100 meter di sekeliling bermagnitudkan kakiku yang berpijak. Akibat tekanan mega frekuensi, tanah yang dihinjak ini merekah. Akhirnya, kedua-dua kakiku terbenam. Jelmaanku membentuk susuk jaguar putih, separa lengkap.
Mampus kita! Cepat! Irfan terjangkit.
Sahabatku yang paling akrab, Faizal, dalam kocoh menyambar tanganku sambil berlari ke depan.
Deras! Kita harus cari cepat petunjuknya!
Itulah Bart, sahabatku yang entah dari mana aku mengenalinya. Bart menolakku dari belakang; berkejar ke suatu arah. Aku tidak tahu ke mana aku akan dibawa.
Namun, tidak sampai lima puluh meter, Faizal yang berlari bersama kami tiba-tiba segera menahan kejaran. Tubuhnya bagai selesai keluar dari kolam mandi. Berpeluh. Faizal terpinga-pinga,
Api biru! Bagaimana kita mahu mencari api biru?
Aku terpandang pada sebuah pasaraya 7-11 yang baru ranap hasil ngaumanku tadi. Aku mengunjuk pada kacanya yang polos,
Itu! Ikut aku!
Kami menukar haluan ke situ. Kemudian, bergilir-gilir melompat masuk melalui salah satu lohong besar di kaca itu. Faizal yang pertama melompat, bergaya tiruk. Lepas. Aku pula dengan jurus harimau yang terbang di atas deretan anak-anak kambing. Ya, itu aksi Silat Gayung. Bart pula dengan gaya bebas semberono. Serupa betul dengan beruk yang bergayut dari tali ke tali pohon.
PRANG!!!
Terbabas. Pecah kaca-kaca berlekatan di tubuhnya. Sah, dia tidak berkeyakinan maksima. Bart lantas bangkit daripada hempasan tadi dan masih cergas. Macam tiada sakit, walau darah di lengan menitis-nitis. Rupanya semangat Bart masih keras,
Bagaimana pula 7-11 ada api biru?
Aku tertoleh-toleh di kiri dan kanan, mengesan kalau-kalau Allah ilhamkan sesuatu sebagai ikhtiar. Idea, idea, mari ke mari. Aku mencapai sebotol kecil pelembap muka berjenama Biorle, bersalut biru. Meneliti secara kilas senarai kandungan kimianya,
Jumpa!
Lalu Faizal menjerkah,
Kau sempat bergurau? Biorle itu pembersih wajah. Kita kena cepat. Mendung di langit semakin tipis!
Kami saling berpandangan, kemudian menoleh ke langit luar melalui polos kaca yang makin besar dilanggar Bart. Kepul awan mendung kian merawak pergi, meninggalkan purnama cerah keseorangan di tengahnya.
Lompat lagi?
Bart pasrah. Mujur Faizal menemukan ubatnya,
Itu. Pintu di situ.
Faizal berlari duluan. Kami pula mengekor dari belakang, keluar dari perut ‘kedai segera’ itu demi mencari ruang selesa. Tidak jauh berlari, di sebelah bangku panjang ala-kantin kami berhenti. Aku membuka kepala penutup Biorle. Sampai habis kupicit keluar isi putihnya ke atas lantai.
Biorle ini tiada tanda halal. Alkoholnya 0.03 peratus daripada seluruh kandungan. Bart, nyalakan isi Biorle ini dengan pemetik apimu. Faizal, kau ada 5 saat sebelum sepertiga api biru habis menyala. Kau bacakan sesuatu, serukan alamat Negara Syaitan.
Aku memberi arahan pada mereka berdua.
Tangan kiri Faizal memaut siku kanannya, dan telapak tangan kanannya menghala ke tompok cecair Biorle. Tanda bersedia. Tidak membazir masa, Bart mengeluarkan Sparky kesayangannya dan cuba memetiknya. Lima kali cubaan. Menyala.
Berdesup api biru ke puncak memakan oksigen. Faizal terkumat-kamit, membaca doa yang pernah diajarkan Tok Aki.
Langit bertukar ungu kehitaman-hitaman. Anak-anak petir berselirat menganyam awan-awan mendung yang kian menebal. Sesekali terpercik api guruh mencicip bumi. Di persekitaran, ribut berlari-larian mengelilingi kami, bagai berada di tengah pusaran ombak.
Kami bertiga kini sedikit kangkang dan mendada ke langit.
Selang tiga detik,
Duumm!
Berdentum. Sekeping anak petir tertembak, dari api biru ini ke pusat himpunan awan di langit. Tersentak. Kepingan petir itu bersimpang-siur membentuk satu corak aksara aneh. Mata kami terpaku, kononnya ‘membaca’ apa yang tertulis di atas sana.
Selesai anak petir itu melakarkan sesuatu, sekonyong-konyong awan hitam menipis dan berlari meninggalkan kumpulannya. Angin sepoi segera menelan ribut yang berpusar tadi. Malam di bumi tiba-tiba bertukar hening.
Kami bertiga masih mendada ke langit. Tenang.
Hu… Huruf… pelik.
Dalam ketar Faizal bersuara. Hanya angin malam yang menjawab pertanyaan dia. Namun, Bart cuba-cuba menggerakkan bibir juga.
Aku pun. Err… Irfan?
Otot-ototku semakin keras dan urat-urat saling mengetat. Kupandang telapak tangan, kemudian perlahan menyusur pandang ke seluruh tubuhku. Kulit yang putih, corak batik hitam di tangan dan kaki, bibir bergincu dan mata bercelak. Tranformasi ini tetap tidak berubah ke sediakala.
Aku nampak sekeping cover buku gergasi muncul dari timbunan awan. Tertulis, Offline dengan Syaitan, ISBN 978-967-5137-83-9. Terbitan PTS Islamika.
Bersambung…
p/s: Kisah ini adalah hasil cernaan mimpiku yang semalam. Sejujurnya, mimpi ini adalah sambungan daripada beberapa mimpi bersiri yang episod pertamanya bermula ketika aku di Jepun. Ini adalah mimpi pertama semenjak aku menjejakkan kaki ke Malaysia, setelah sekian lama tidurku tidak berteman mimpi. Episod sebelumnya sudah aku tuliskan dalam senarai Drafts. Perlu dimurnikan lagi.






irshadian berkata,
February 16th, 2010 at 3:11 am
huruf demi huruf, kata demi kata dan baris aku menekuni..kemudian sebaris gigiku kelihatan menyeringai menahan gelak membacanya
Balas komen ini.
catzer berkata,
February 18th, 2010 at 5:04 am
Dah semakin hebat penulisan awak erk
Balas komen ini.
Kodak berkata,
February 19th, 2010 at 8:07 am
kalaulah kualiti CGI kt malaysia ni best.. bleh bt sci-fi.. ayuh bdak2 ‘menara gading’ yg amek grafik.. cpat sket..
Balas komen ini.
nooreena berkata,
February 21st, 2010 at 10:22 am
Hebat mimpi Tuan Irfan. Lagi hebat apabila berjaya mencernanya dalam bentuk penulisan. *thumbs up*
Balas komen ini.
FarEast berkata,
February 22nd, 2010 at 1:22 am
Kami ex ahli rumah Tuan Irfan di Malaysia gelak terguling-guling bila mengetahui Bart telah menjadi watak protagonis bagi cerita di atas..hahaha
Balas komen ini.
SifuPTS berkata,
February 26th, 2010 at 6:30 am
Ada bau-bau bakat besar sedang mengeluarkan dirinya daripada zon terpendam…..
Balas komen ini.
abgbent berkata,
February 27th, 2010 at 7:33 am
Balas komen ini.
Izanor berkata,
March 10th, 2010 at 10:59 am
Hebat!
Balas komen ini.
tahieyah berkata,
March 12th, 2010 at 4:18 am
haha
Balas komen ini.