Minuman Candu. Ya Allah, aku terjebak!!!

Pada February 5th, 2008, ia ditulis oleh Al-Irfan

Walau sekebat ringgit setinggi gunung emas yang kau tawarkan, jangankan seteguk, malah setitik pun takkan aku titiskan ke atas lidah. Apatah lagi menghidu aromanya, yang aku bayangkan seperti sebuah paya dari lombong tinggal. Sangat memusingkan. Melainkan jika mata beliung terlekat di leher, mungkin aku akan bermati-matian menggogoknya.

Aku menggeleng-geleng kepala sebaik kaki menjejak tanah berpenghuni mata sepet. Di mana-mana saja minuman ini terjual. Bermacam bekas aneka harga. Ya. Maksud saya TERjual itu adalah “habis dibeli”. Tempoh luput paling lama adalah 9 hari dan dalam tempoh itu sering saja ditukar ganti. Aku mula membenci Jepun.

Masih teringat detik bersejarah itu tatkala sertai rombongan ke Osaka. Kami bersila beramai-ramai di depan 7-11. Sahabatku Salleh, bersahaja meneguk dengan bekas tinggi. Huihh.. meremang bulu roma. Menggelikan. Orang kalau haus, air sejuklah penghilang dahaga. Salleh tak ubah seperti raksasa. Haha..

“Aku dulu pun anti benda ni. Sejak datang sini, entah kenapa rasa sedap pula,” Salleh bijak membaca riak wajahku.

Aku menggeleng-geleng.

“Cubalah. Ermm.. sedapnya..” cuba menggoda, sambil menghulurkan padaku.

Aku pun merapatinya dan menyambut huluran Salleh.

Tarik nafas sedalam-dalamnya. Tahan sejenak dan kepil hidung. Jantung menghantuk-hantuk dada. Semakin cemas. Lalu setitik demi setitik ia menerobos ke liang tenggorokan. Berdebar-debar menanti reaksi tubuh.

“Eh, macam layan je. Boleh tahan,” tersenyum aku pada Salleh.

“Hahahaha… ” kami bergelak sakan. Aku rasa, inilah satu-satunya kejayaan yang paling puas dalam hidup ini. Aku berjaya mengatasi satu lagi kelemahan diri. PUAS. PUAS. PUAS. Terima kasih, Salleh.

Kini, jangankan aku ketagih susu. Malah, semakin bijak menilainya. Cubalah menduga aku apa bezanya susu murah dengan susu mahal? Susu kotak kecil dengan kotak besar. Jenama A dan jenama B. Sehinggakan aku sudah mampu membaca perubahan harganya untuk setiap hari ia dipamerkan. Susu yang hampir ke tempoh luput, murah harganya, tapi tak cukup enak dibanding yang segar.

Kau anti susu? Aku cabar kau. Atasi kelemahan diri juga adalah satu hijrah. (alasan je tu.)

susu.jpg

P.S; Bro.Jimi ada rekomen satu susu mahal (dalam gambar atas). Aduhai, setelah meneguknya, aku seperti bergentayangan di ruang angkasa. Baru ku tahu kenapa harganya mahal. Haha..

Tiada katakunci yang telah saya set.

Sudah menjadi ahli Sahabat Sang Pelangi? Ada hadiah bonus, tau. Sila masukkan:

Nama Panggilan:
Alamat Emel:

Sila semak peti emel anda untuk melihat balasan dari saya (termasuk di kotak SPAM). Jika tidak menerima apa-apa, boleh hubungi saya di ruangan kontek di atas, ya?


Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.