Bedah ebook. Million Dollar Wedding Photographer

Pada December 2nd, 2008, ia ditulis oleh Al-Irfan

Sejak mengenali internet, aku boleh digelar hantu buku digital. Pantang kalau dijual di internet segala rencam spesis ilmu yang berkaitan perniagaan dan motivasi keusahawanan, aku pasti akan menyambarnya. Apatah lagi ditulis oleh anak watan kita sendiri. Dalam sejarah hidupku, ebook termahal pernah kubeli bernilai RM400 sebuah, mengajar aku menjadi seorang jurugrafik sambilan seperti sekarang. Aku kira, budaya membeli ebook di Malaysia masih lagi kurang menyengat jika dibandingkan di negara-negara maju yang lain.

Baiklah, kembali pada tujuan asal entri ini, ingin memberikan ulasan meleret (kira macam bedah buku juga) terhadap sebuah ebook bertajuk “Million Dollar Wedding Photographer” yang ditulis oleh Saiful Nang. Tahniah pertama sebab ia berbahasa Melayu.

Tajuknya saja terang-terangan adalah berkaitan perniagaan fotografi. Niat asal membelinya, adalah untuk kuhadiahkan kepada adikku, Zafran, memandangkan dia begitu obses dengan kamera. Namun, setelah membaca habis dari muka ke muka, aku sudah jatuh hati dengannya (err.. maksud saya dengan buku itulah).

Mengisahkan sepak terajang dalam industri fotografi, perihal jatuh bangun figura jurugambar dalam menepis duri, membuatkan beliau bangkit dengan begitu drastik. Ya, dari RM90 hingga RM1 juta, dalam dua tahun. Dari sebuah hobi kepada minat, seterusnya mencapah ke kerjaya, telah mencetus nilaian juta dengan segera. Aku dapat membayangkan beliau sambil tersenyum, bersama peluh-peluh yang menitis di sepanjang jalan yang penuh seksa.

Pertama, aku ingin mengkritik. Bayangkan 213 halaman ingin dihabiskan dek semangat yang membara, membuatkan mataku letih dan berair. Akhirnya, aku terpaksa berehat untuk menenangkan diri berselang setiap 50 muka surat. Aku rasa di pertengahan buku, ada sedikit kesilapan ejaan yang kecil dan gaya bahasa yang agak memeningkan. Aku kira beliau ini sudah dilanda keletihan (mengantuk) menulis barangkali. Ada beberapa episod yang aku baca dua kali untuk memahaminya.

Kritikan lain, buku ini terlalu “jujur” yang pernah aku baca. Sehinggakan perincian terma dan syarat bersama pelanggan atau staf, semuanya didedahkan kepada pembaca. Beliau tanpa segan silu membuka rahsia perjalanan syarikat yang aku kira adalah senjata untuk beliau terus kekal di puncaknya. Rupanya, Saiful Nang ini bukan calang-calang juga orangnya. Pesaing itu sendiri lahir dari hasil didikan beliau. Pengajaran yang aku dapat, adalah sebuah kata-kata hikmat beliau yang berbunyi:

Sekiranya ada yang mengejar, mestilah lebih laju kita berlari

Terkenang satu tulisan ustaz Hasrizal berkenaan pemerintah Dubai yang berprinsip teori singa dan rusa :

Sama ada kamu rusa atau singa, itu tidak penting. Apa yang utama ialah kamu harus segera berlari dan terus berlari lebih pantas dari sainganmu.

Kemudian, aku teringat nasihatku terhadap adik perempuanku dulu,

Kejayaan itu makin dekat, bila ada musuh yang menarik kita dari belakang. Syabas. Selamat datang ke pintu kejayaan. Sikit lagi.”

Jadi, kritikan tadi boleh diabaikan kerana ia adalah kekuatan kepada ebook ini.

Saiful Nang menyenaraikan begitu banyak kesilapan sebelum menubuhkan empayar fotografi perkahwinanan yang menerbangkan beliau ke arena jutawan. Jikalau tidak berakibat kesilapan itu, beliau pasti mencapai status jutawan cuma dalam tempoh setahun saja. Namun, itulah namanya aturan Tuhan, kerana kegagalan di tahun pertama itu adalah lebih berjuta dolar harganya.

Kemudian, beliau ada menguatkan teori Blue Ocean Strategy (aku pernah membaca teori ini dari Irfan Khairi). Apakah helahnya untuk menjadi sebutir buih terbaik antara buih di pantai? Bukan saja menjadi sebutir buih yang dilihat unik, malah berpotensi besar dalam apungan ombak pasaran yang melambung. Selain itu, ada contoh jadual pengurusan harga dan pakej yang mudah dengan memperkenalkan teori yang beliau cipta sendiri (kini diamalkan meluas oleh penggiat servis fotografi).

Aku sebagai seorang jurugrafik bebas (dalam perancangan untuk sepenuh masa), menganggap metod Bro Saiful ini bisa diaplikasikan ke dalam mana-mana syarikat yang menyediakan servis, ataupun yang menjual produk (berkaitan intelek kreatif seperti perisian ataupun sistem). Beliau mendedahkan teknik berfikir untuk mengkaji pasaran, kuasa disiplin dan kepentingan bekerja secara berpasukan.

Masih berdarah luka di ingatanku mengenangkan pedihnya melayan seorang pelanggan yang terlalu cerewet hingga menyebabkan segala urusan lain tergendala. Dek kerana begitu menjaga kredibiliti dan jenama, aku terpaksa tertumpu padanya saja selama seminggu. Alhamdulillah, menerusi ebook ini, Bro Saiful memecahkan kebuntuan, mencerahkan lagi dengan satu rahsia terbaik untuk mewujudkan situasi menang-menang. Terima kasih, bro. Seperti mahu memeluk kamu sekarang juga. Haha.

Kamu ada kamera? Kamu seorang freelancer? Saiful Nang ada sebab kukuh kenapa kamu tak patut melakukannya secara sambilan. Keutamaan fokus pada satu bidang kerja adalah rahsianya. Nak tahu lagi? Kenalah beli, ya.

Jadi, apa tunggu lagi? Kepada pembaca di SangPelangi, marilah membeli sambil menderma. Boleh menggunakan kad kredit ataupun Maybank2U. Sahabat di Jepun yang tidak mempunyai kad kredit, boleh hubungi aku untuk furikomi. Akan aku hantarkan terus kepada beliau. Klik link ini atau butang di bawah:

p/s: Ini bukan entri berbayar. Ini adalah pertama kali aku membuat review untuk sesebuah ebook. Mudah-mudahan ada saham untukku dan kalian semua yang menyalur ke Rumah Pengasih Warga Prihatin di sana. Blog SaifulNang boleh dicapai di sini.

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.