Mahalnya sebuah ketakutan.
Datang cepat! Tolong aku!
Telefon bimbit terlepas dari genggaman kiri dan tanganku bertindak memaut dada. Tulang rusukku seperti disentak dari belakang. Tak sampai seminit, bayang Wong Fei Hung pun muncul.
Ifan! Kenapa ni? Muka kau pucat!
Wong menderu dapatkan aku. Disorongnya kerusi yang kududuk rapat ke katil. Tanpa soal dia terus mengangkat tubuhku untuk memindahkannya ke situ.
Ark!!! Perlahan.
Detak jantung berketuk beribu sesaat membuatkan jalur nafasku terputus-putus. Berbatuk aku menjahitnya semula. Tambahan hidungku dibuntu flu, merengsa faktor keaktifan cungap. Segala jari tangan dan kaki berjangkit pucatnya wajah, jentera darah segan berkejaran. Aku terketar-ketar menggigil kedinginan.
Wong segera menyelak tingkap dan pintu, luas-luas. Memberi laluan agar oksigen dapat berebut masuk ke tenggorokan. Ya, aku bernafas dengan mulut. Semakin dalam udara kusedut, semakin kuat suara yang terpekik dek jantung dan paru-paru yang hidup berjiran. Tubuhku diselimut tebal oleh dia. Tangan dan kaki dibalut dengan sarungnya.
Tuhan, Kau lebih tahu pedih yang kulalu. Butir kilauan cilik yang tertampung sedari tadi di bucu mata, lambat mengesot. Lalu membasahkan permukaan bantal yang menanggung kepala.
Aku dulu ada seorang kawan. Satu hari, dia sangat sakit kepala hingga dia ingin ke hospital untuk X-Ray. Rupanya doktor kata tiada apa-apa. Kau tahu berapa kos semuanya?
Kedengaran suara Wong menceritakan sesuatu. Aku menjawab dengan gelengan.
Satu mang (RM300). Kau tengok! Mahalnya sebuah ketakutan. Semua orang pasti takutkan penyakitnya. Ketakutan cuma membuat kau cemas. Cemas itu menyakitkan.
Wong menghulurkan tangan, sepantas kilat aku mencengkamnya. Saling mengepal kemas tautan genggam, bersama ungkapan sejuk dari lidahnya, rupanya terluntur kotoran resah jiwa. Serentak meruntuh retak gejolak dada. Sedikit demi sedikit. Suasana kembali tenang.
Terima kasih, Wong,
sambil lenganku menyapu bekas laluan basah di pipi.
Tidurlah, kawan. Malam ini, biar aku jaga di sebelah kau.
p/s: Esok keputusan penuh pemeriksaan ultra-bunyi oleh doktor. Doakan agar hayat SangPelangi dapat terus bertahan, atau ada seseorang yang perlu berganti menulis denganku.
p/p/s: Aku tidak membuka ruangan komentar kali ini, kerana aku belum bersedia. Aku pernah berjanji, bahawa coretan hitam tak akan sekali mencalari SangPelangi. Dan hari ini aku memungkirinya. Dari sepuncak ubun ke tumit kaki, aku merendah diri agar maaf terlurut dari hati.





