Pontianak, maafkan aku.. taringmu tak ku takut lagi..

Pada February 24th, 2007, ia ditulis oleh Al-Irfan

Malam tu yang jelas cuma bisingan cengkerik. Semua orang sedang tunduk bertentang mata dengan buku. Ada juga yang terangguk-angguk bila dilihat seakan berzikir. Rupanya zikir itu disulam dengan dengkuran garau. Itulah situasi malam yang penuh kekhusyukan tatkala minggu peperiksaan melanda di bumi Mersing ini. Perpustakaan dan bilik kuliah penuh dengan manusia mengendong buku berbondon-bondon.

Keasyikan malam tiba-tiba diragut. Datang penghantar utusan tercungap-cungap membawa berita,

“Papa datang… Papa datang… Spot Check… “

Berubah terus bilik itu menjadi pasar. Masing-masing cemas ke sana sini. Meja depan yang tadinya ramai dengan kumpulan Revisi Bio terus hilang berdesup entah ke mana. Deret buku panjang sedepa terus serabut jadinya.

Nama Papa Azmin, panggilan manja untuk ketua warden kami memang masyhur di pelosok maktab. Ke hulu ke hilir ke mana sahaja dengan senjata saktinya, “Rotan Papa” yang bisa terbang hinggap ke tubuh sesiapa selaju cahaya. Sebut saja nama itu, gegak gempita seluruh alam. Yang tidur boleh bertukar menjadi jaga, yang brutal boleh bertukar semulia pendeta.

Malam itu, dia datang dengan mengejut mencari mangsa. Barangkali senjata hikmat itu sudah lapar dengan nikmat tubuh manusia. Sudah maklum dengan khabaran ini:

tong..tong.. tong.. (bunyi gong istana)

“Al-kisah..Barangsiapa berselipar jepun, berbaju santai kemeja T berleher bulat, rambut panjang lepasi piawai, atau berbagai-bagai.. Nescaya akan datang satu garis kilauan merah di tubuhnya… itu semua antara punca jadi gejala”.

Malam itu dek kejar masa aku terus menyarung selipar jepun TERsengaja. Al-maklum, tangan ini gatal basuh sepatu di waktu senja. Sampai ke malam pun takkan kering walau diseterika.

Degup jantung ini jangan disukat dengan jam randik. Jangan diintip dengan stetoskop. Pasti kau tahu sekencang mana ia bergoncang. Rasa cemas dan takut, bimbang kalau-kalau tubuh kering ini kan makin keding. Aku mencari jalan lari. Peluang yang ada cuma tiga. Tingkap? Tangga depan? Atau laluan makmal?

Andai tingkap jadi pilihan, esok mungkin ku berkaki tiga. Kalau tangga depan ku terjah terus, takut terserempak dengan Papa, rotannya akan terhunus. Jalan terakhir?? Laluan makmal…???

Ia memang heboh dikata ramai penuh dengan keseraman. Di situ terlihat badut berbaju biru oleh ayahanda (pengetua), mesin kebuk wasap makmal terpasang sendiri, bunyi pelik selalu muncul di bulan purnama dan macam-macam lagi. Laluan itu bukan pilihan kami. Ramai pesalah sedari awal menerjah tangga utama sebelum kedatangan Papa.

Aku dalam dilema. Pilihan aku cuma laluan misteri itu. Masih berkira-kira untuk menyerahkan punggung pada “rotan Papa”, atau berkorban mental pada puaka.
Tiba-tiba, suara senjata sakti itu semakin jelas kedengaran.

SAASS…. SAAASSSSS…. SAAASSS….

Bunyi itu memang ku kenal lama. “Rotan Papa” sedang mengganas nampaknya.

Terus ku lari menyusup laluan misteri itu. Hantu, jembalang, pontianak, sundel bolong.. ahhh….persetankan semua. Aku sanggup digigit dracula dari merasa libasan Papa. Biar segerombolan angkatan “askar jepun berdarah” berbaris dengan senjata sepanjang laluan, aku tak gentar. Ketakutan pada “Rotan Papa” itu lebih melangkau dari mereka semua.

Akhirnya, aku selamat sampai untuk sembunyi di asrama. Aku boleh duduk dan baring mengikut suka, takkan ada jalur merah di punggungku.

Lega..

Tapi, aku masih tertanya-tanya, dari mana datangnya bunga putih yang yang melekat pada beg aku ni.

p/s: Kisah ini memang benar-benar berlaku sewaktu aku berkampung di Mersing menuntut ilmu….kecuali ayat terakhir itu cuma rekaan.

Moral: jangan langgar peraturan sekolah, nanti buruk padahnya..hehe

Sudah menjadi ahli Sahabat Sang Pelangi? Ada hadiah bonus, tau. Sila masukkan:

Nama Panggilan:
Alamat Emel:

Sila semak peti emel anda untuk melihat balasan dari saya (termasuk di kotak SPAM). Jika tidak menerima apa-apa, boleh hubungi saya di ruangan kontek di atas, ya?


Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.