Lafaz yang Tersimpan (bukan lirik lagu UNIC)
Tidak kusangkal, setiap yang dipanggil manusia pasti menyimpan kemas sebaris kata-kata. Kata-kata ini boleh jadi sebuah hasrat, perasaan, keluhan ataupun ayat kaku yang tidak berinti apa-apa. Aku lagi pasti, kata-kata itu tidak sekali akan kau luncurkan pada mana-mana telinga di dunia, walau ia sedang siaga mendengarnya.
Mengapa begitu tamak aku menyimpannya sendiri? Adalah kerana aku tidak pasti apakah kesannya kata-kata ini kepada dunia di persekitaranku. Kerana kita kan makhluk yang bukan biasa-biasa, namun tak bisa jua meramal apa yang di depan. Boleh jadi, sepotong ayat ini mampu mencarik jiwa dan meracun rasa mereka. Boleh jadi, ayat ini berupaya menyorakkan manusia-manusia di sekelilingku, namun dampak buruknya pula menyorok padaku.
Ya. Dengan akuan yang paling jujur, kupunya juga sepotong ayat yang sebegitu. Lafaz ini mustahil terluah, tidak kutelan tidak kukunyah. Di bibir ia sedia terkunci dan membeku lidah. Sesekali, ada juga kunukilkan sebahagiannya dengan sedikit tinta. Kemudian, kurenyukkan semula dan diperbakulkan. Berkali-kali juga kurakamkan dan kudengarkan semula. Entah kenapa, aku lebih berbangga, malah bahagia, apabila aku dan Tuhan sedang saling menyimpan rahsia.
Fuh. Biar nyawa di hujung urat, biar hari bertemu akhirat, kata-kata ini adalah rahsia yang paling rahsia. Hanya aku dan Dia saja menggenggamnya.
Kalian punya juga kan, rahsia yang tidak diceritakan kepada sesiapa selain Dia?
Mujur ada Dia…
hiT-dYh- berkata,
May 13th, 2010 at 6:44 am
interesting (^^,)
Balas komen ini.
MS Rizal berkata,
May 14th, 2010 at 6:45 pm
Fuh, seakan-akan seperti ada aura tasawuf ketika aku khusyuk membaca!
Balas komen ini.