Kisahku sebagai karyawan jalanan.

Pada October 27th, 2008, ia ditulis oleh Al-Irfan

“Pakcik tak mampu nak upah orang. Tak boleh!”

Bertegas pakcik itu. Terawangan wajah arwah atok, ‘keras’ juga sifatnya.

-”Pakcik, saya sanggup tanpa upah.”

Aku bermuka sepuluh sen, mengemis simpati. Terpacak menghadap duduk si pakcik tua.

Pelik. Aku disuruh menurunkan tandatangan di atas sekoyak kertas, kemudian digumpal dan dicampak ke tong sampah. Betul-betul di depan mata. Lalu diterima bekerja. Sungguh rasa terhina. Tapi aku betul tahu, jalan hidupnya pasti jauh beribu batu. ‘Orang tua’ punya tujuan di balik laku. Itulah ‘sesuatu’ yang aku mahu.

Semangatku menggelegak, itu juga menghairankan. Asyiknya aku bekerja tak bergaji, mungkin dilihat bodoh di mata orang. Kawan sibuk bertanya berapaku dapat, aku menjawab pendek, ‘ada’lah. Yang pasti, ‘gaji’ aku nanti lagi lumayan dan tak boleh dijual beli.

-”Saya boleh tulis khat. Thuluth dan Nasakh.”

Aku menjawab bila ditanya apa kebolehan diri.

“Cuba tulis. Aku nak tengok.”

Lantas dihulurkan sekeping kertas dan marker bermata larus kepadaku, untuk diuji. Agak lama dia membelek.

“Hmm. Baiklah. Untuk cenderamata kayu bertulis khat kita naikkan seringgit. Itu untuk kau.”

-”OK.”

Kemudian, dia menghulurkan sekeping kertas pasir dan sebotol penyembur putih sebagai tugas mula.

“Gosok kilat kayu-kayu sebelum corak. Kerja finishing pun kau pegang. Sembur dan keringkan. Nah.”

Syukur. Hasil yang sempat dititip, mahal sungguh dirasakan. Rupanya tulisan khatku ada banyak kurangnya, kemudian ditunjuk ajar oleh pakcik itu. Bermula menulis khat di atas kepingan kayu, sampailah ke tubuh pasu. Memang sukar, tapi cukup teruja. Dari teknik mem’baca’ jenis kayu, tip memilih tona warna, mengenal jenis-jenis dakwat, sehinggalah cara melihat perwatakan manusia. Pakcik itu bertukar peramah serta merta. Ternyata tak lokek mencurah ilmu pada yang sehijau aku. Setiap saat yang berlalu, memaut mesra antara dua hati.

Teringat satu peristiwa yang berlaku. Ada seorang anak kecil yang berdiri membatu sejak satu jam di situ. Bila ditanya apa yang dikepinginnya, masih kekal sebegitu. Tidak menggeleng tidak mengangguk. Aku memanggilnya rapat ke meja. Teliti dia membelek barisan cenderamata yang dibuat contoh. Lama benar dia menatap papan harga.

“Esok hari jadi umi, tapi.. Err.. Kalau satu ringgit boleh tak, bang? “

Aku terdiam, sambil menoleh ke arah pakcik di belakangku. Menguntum senyum di bibirnya. Sambil tangan bergerak, mencorak kayu berbentuk hati. Tertulis cantik sebuah nota, ‘Terima kasih melahirkanku. Selamat hari lahir, umi.’

Murni sekeping hati milik seorang tua. Kayu cenderamata yang biasa berharga dua ringgit, cuma 50 sen saja untuk si anak kecil. Aku pasti, teriring dua nama pada hadiah itu. Nama si pakcik yang kasihkan si kecil, dan nama si kecil yang sayangkan ibu. Termasuk umi, bergembiralah tiga insan kerananya.

“Tandatangan kau itu, ada garis yang ditarik rencong ke atas. Kau bermisi besar. Jalan kau pasti ada selekohnya nanti. Ingat pesan pakcik, jangan takut. Kau bakal bertemu di hujung titik akhir garis itu,”

Ungkapan terakhir pakcik itu tika salam berpisah. Mungkin itulah maksud rahsia di balik tanda tanganku. Walaupun aku sedikit skeptik dengan pandangan tahyul itu, mungkin kata-katanya adalah menifestasi pengalaman tuanya yang padat. Kuanggap ia sebagai nasihat semata.

Titik tolak hidupku sebagai seorang karyawan jalanan. Bagi aku karyawan itu melaut maksudnya, bukan terhad pada sastera saja. Sering terlihat yang di jalanan di kota ber’lumpur’, bermacam gaya dan cara. Ada yang memetik gitar bernyanyi serak. Ada yang melarik berus di papan lukis. Memintal dawai untuk cenderamata. Sungguh bersahaja. Kagum dengan keberanian muncul di khalayak jalanan. Pelukis, penyanyi, silap mata, dan segala jenis insan di jalanan itu aku namakannya karyawan. Interpretasi karya yang rencam cara, terlihat matang di mataku.

Mereka tiada bantuan. Semuanya dari merangkak. Mereka mungkin tiada masa depan (mungkin ada), tapi mereka bahagia. Siapa tahu?

p/s: Pengalaman dikutip ketika ekspo Hari Terbuka Kolej Kedua, Setapak Jaya 2005.

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya. Klik tajuk di bawah.