Ketukan yang Ngeri… (Episod 2)

Pada April 14th, 2007, ia ditulis oleh Al-Irfan

Baiklah, setelah lama menanti, saya persembahkan episod kedua dalam siri keseraman kita. Bagi yang belum membaca episod pertama, lebih baik menghayati dahulu sebelum melompat ke cerita seterusnya. Klik di bawah ini untuk Siri Ketukan Yang Ngeri (episod 1)

http://sangpelangi.wordpress.com/2007/04/05/ketukan-yang-ngeri-episod-1

(nampaknya pelawat semakin bertambah sejak akhir-akhir ni. Mungkin dek lambaknya kisah tahyul dan misteri yang keluar panggung.)

——————————————————————————————————————–

Tanpa terima kasih, ku tekan suis pemati dan mengetuk kekunci nombor. “Hello… ni balai Rengit ke? Ada hal kecemasan” Aku cuba menebak.

-”Ya, di sini Balai Rengit. Boleh saya bantu?”

“Kami ada kecemasan bang. Rumah kitorang naik perompak. Ramai. Tolong bang datang rumah kitorang, bawak kawan-kawan abang sekali. Kitorang dalam bahaya. Mak ayah tak ada kat rumah”, termengah-mengah aku menuturkannya. Harap-harap pihak polis dapat membantu kami kali ni.
-”Kat mana rumah adik? Tu saya dengar macam nak roboh rumah, kenapa?”

“Ni diorang yang ketuk-ketuk rumah kitorang. Rumah kitorang kat Kampung Sungai Tongkang, bahagian tambak, betul-betul depan Masjid Jamek. Abang datang cepat sikit”

-”OK, tunggu situ, jangan buat apa-apa. Jangan bukak pintu tingkap. Duduk dalam bilik, kunci pintu bilik.”

Sementara menanti ketibaan mereka. Aku dan adik-adik tak berbuat apa-apa. Hanya duduk rapat antara satu sama lain. Kami memang betul-betul di bahagian tengah rumah. Berkunci di dalam bilik seperti saranan abang polis itu memang kurang bijak bagi aku. Kerana tingkap bilik kami juga tak terkecuali dalam lingkungan “jajahan” ketukan itu.

Parang yang kupegang cuma untuk bersedia. Masakan aku sanggup keluar rumah dan “berperang” dengan mereka? Walhal aku tetap sangsi akan kesahihan bunyi yang entah dari siapa punya angkara. Aku tak pernah sekali gentar akan mereka. Sumpah. Memang waktu itu perasaan takut tidak ada melainkan rasa tanggungjawab untuk lindungi adik-adikku. Lainlah mereka, adik-adik aku yang masih mentah dan keanak-anakan.

Apa yang aku risau, jika “mereka” mengapa-apakan kami. Saban hari kita mendengar penyamun yang sanggup berbunuhan hanya mendewakan kertas-kertas berharga (maksud saya, wang harta). Jadi, parang ini sebagai pendindingnya selain doa dan tawakal pada Yang Esa.

15 minit masa berlalu. Sedang kami terkumat-kamit dengan segala doa dan ayat suci alQuran, terdengar bunyi enjin motosikal sayup-sayup masuk ke kawasan halaman rumah. Bunyi ketukan itu pula semakin beransur lenyap perlahan-lahan ditelan deruan enjin dari sebuah motosikal yang menjadi tanya tanya.

“Assalamualaikum… Adik.. Oooh Adikk… Ni abang polis yang adik telefon tadi. Adik kat mana tu? ” suara itu terjerit sekencang bunyi ketukan yang telah hilang. Kami berpandangan sesama sendiri.

Izdihar terus berkejar ke arah pintu untuk menyelak daunnya. Aku lantas terus mencapai tangannya.

“Eh, nanti dulu. Kenapa abang polis ni datang sorang? Bukan kita dah suruh die bawak escort ke?” Aku jadi pelik. Mungkinkah itu cuma khayalan minda, atau strategi percaturan mainan “mereka”?

“Siapa tu? Betul ke abang ni polis? Jangan main-main dengan kitorang. Kalau abang ni polis, buktikan pada kitorang” Aku berteriak dari dalam rumah. Walau apa terjadi, takkan sekali aku terpedaya. Biasanya polis akan datang dengan kereta peronda Saga untuk pergi menjalankan tugasnya.

“Ni siapa yang main-main dengan siapa ni? Adik yang main-mainkan abang ke?” Menyirap bunyinya. Aku pun dapat rasa yang ayat itu sudah membuktikan kesahihan status kepolisan abang itu.

Ktik.

Petik suis lampu luar, dan terus membuka tingkap. Terlihat kelibat seorang lelaki berbadan sasa, berkemeja T putih, berseluar jeans. Cuma bersenjatakan sebatang lampu suluh, dan bertemankan Honda kapcai kepala petak yang sudah tua. Apakah…?? (Boleh bayangkan ke polis datang bertugas berkeadaan begini?)

“Abang.. minta tolong ronda-ronda rumah kitorang. Tadi dinding rumah ni ada orang ketuk macam nak roboh. Saya tak boleh bukak pintu ni selagi mak ayah kitorang tak balik.” Walau aku percaya dia seorang polis, sangsi 0.01 peratus tetap ada.

Abang itu terus *menawap rumah kami. Menyuluh ke sana sini, mencari-cari punca segala tragedi. Kami tetap diam di perut rumah. *menawap, atau merujuk membuat tawaf, adalah istilah yang digunakan orang Batu Pahat untuk mewakili kata kerja mengelilingi sesuatu kawasan.Perkataan ini mungkin tidak didaftarkan di dalam Kamus Dewan Bahasa.

Tak lama kemudian, bunyi kereta yang tidak asing lagi. Kepulangan mak ayah yang dinanti-nanti menjadi ubat semua sangsi. Sedikit lega. Suasana kembali tenang.

Aku membuka pintu dan menceritakan segalanya pada mereka. Ayah mak seakan tidak percaya. Pucat di muka kami bertindak sebagai bukti. Aku, ayah dan abang polis itu *menawap rumah tu sekali lagi.

Kami tidak menemui apa-apa. Mungkin malam itu terlalu gelap bagi kami. Lampu suluh sekecil itu takkan mampu menerangkan kesemuanya. Setelah lama berbincang (siap minum kopi), akhirnya kejadian ini disimpulkan sebagai “kejadian aneh” dan tak mampu dirungkai akal manusia.

Abang polis itu pun pulang. Kami sekeluarga tidur seperti biasa. Cuma aku yang masih celik dan memikirkan kejadian tadi. Sesekali bunyi musang berderu, irama cengkerik dilagukan. Tak ubah seperti malam-malam yang lainnya. Puncak cemas suasana rumah itu tadi kembali sedia kala.

“Aku mimpi ke? Mustahil, tapi adik-adik aku pun rasa jugak” bermonolog aku sepanjang malam.

Aku menelefon atok Aki di Shah Alam. Mengutus khabar berkongsi cerita. Menyuruh mereka pulang ke kampung dengan segera. Mereka yang risau keadaan kami, dengan bas sampai juga sebelum subuh menjelma.

Pagi esoknya.

Atok aku mengajak kami *menawap rumah itu. Jawapan dari persoalan itu perlu dicari. Cahaya syuruk yang kebiruan, sedikit cerah, sedikit membantu.

Anda tahu apa yang kami jumpa?

Jembalang?

Pontianak?

Langsuir?

Yang pasti bukan “mereka” semua. Siang bukanlah “waktu pejabat” mereka sebetulnya.

Kami menjumpai KESAN TAPAK KAKI yang SAAAAAAAANGATTTT BANYAAAAAKK….

Kepelikan yang kian memuntah had logik minda manusia ini adalah; kesan tapak kaki berlumpur itu berbekas di dinding luar rumah. Beribu-ribu. Saiz kaki yang satu. YAAA… cuma 1 jenis saiz tapak kaki SAHAJA di situ. Seakan jenis tapak kaki seorang dewasa (yang bersaiz kasut 27 US)

“Celaka… ini rupanya kerja kau…” atok aku bercakap sendirian.

Aku bertambah hairan. Atok aku semacam tahu gerangan siapa yang empunya tapak kaki itu.

Sambil kami mencuci dinding rumah, atok aku bercerita. Menurutnya, ia milik seorang pekerja Indonesia yang bekerja di kebun pisang milik atok dahulu kala. Orang Indonesia itu mengamalkan sejenis ilmu yang masyhur dari Palembang untuk mencuri dan merompak.

Berterusan ulasan atok, ketukan kecil yang mula-mula kami dengar seperti isyarat semalam adalah sebagai sesi percubaannya. Maka kami adik beradik telah berjaya menggagalkan rancangan dia untuk merompak malam itu kerana “membalas” ketukan percubaannya. Sebab itu, ilmunya gagal dan “menggila”. Dek kerana itulah ketukan itu menyelubungi seluruh dinding-dinding rumah kami.

Mujur, tindakan aku membalas ketukan kecil malam itu dapat membantu. Sangat bersyukur dengan bantuan dariNya kerana memberi ilham untuk berikhtiar menyelamatkan diri dari angkara sihir durjana.

Huraian atok ku itu, yang dulu menjadi rahsia antara kita berdua, terbongkar jua di ruangan blog ini. Bukan kami berjanji untuk berahsia, tapi kerana aku lebih suka menyimpannya. Sebab adik-adik ku yang masih kecil dan tak tahu apa-apa, tak teringin aku menambahkan lagi ketakutan mereka.

Jadi, kalau Najian dan Izdihar (adik-adik aku yang terlibat pada malam kejadian) sedang membaca cerita ini, bermakna pada masa inilah mereka baru tahu cerita sebenarnya.

————————————————————————————————————————–

p/s: Rajin-rajinlah mengamalkan doa mencegah dan memagar diri dari ancaman sihir, khianat dan tipu daya. Akan aku kongsikan bersama di siri akan datang.

(Episod seterusnya, Ketangkasan Atok berlawan ular laut dengan buluh panjang. Ini juga kisah benar, dikatakan rentetan dari gagalnya rancangan utama “mereka”. Kisah sekitar akhir tingkatan Dua, yang takkan aku lupa sampai bila-bila.)

Dah lari sekejap tema asal blog ni. Sepatutnya berkisar kehidupan seharianku di bumi Sakura. Tapi dah jadi kisah mistik yang tak ada sudahnya.

Maaf ya kepada pembenci kisah tahyul atau yang menganggap ini tahyul. Apa yang penting, terus memajukan diri dengan ilmu dunia, dan mencari bahagia di alam kemudiannya. Iaitu alam akhirat. Tak payahlah menonton cerita seram yang dibuat atau direka-reka, sedang dalam masa itu juga duit dan masa terbazir sama.

Tiada katakunci yang telah saya set.

Sudah menjadi ahli Sahabat Sang Pelangi? Ada hadiah bonus, tau. Sila masukkan:
Nama Panggilan:
Alamat Emel:

Sila semak peti emel anda untuk melihat balasan dari saya (termasuk di kotak SPAM). Jika tidak menerima apa-apa, boleh hubungi saya di ruangan kontek di atas, ya?


Jika punya waktu, silakan jenguk entri ke lain, ya.
Klik tajuk di bawah.