Kerja + Hal Peribadi = Hidup
Setiap dari kita pasti punya tanggapan berbeza terhadap kerjaya mereka. Sesetengahnya amat berpantang, hal peribadi jangan dicampur adukkan di dalam kerja. Dalam kategori ini, dia itu akan sering bertindak mengasingkan dua medan tersebut untuk berketrampilan selesa. Terkadang punya dua talian telefon yang berbeza, dua akaun emel atau laman social network yang berlainan, dan berencam ragam.
Ada juga yang lebih suka mencampur adukkan kesemuanya. Sudahnya di meja makan bersama keluarga, dia itu akan bercakap tentang untung rugi saham berbanding puji-pujian pada masakan isterinya. Jika kerja seharian memotivasikan orang lain, maka di rumahnya juga pasti berkumandang syarahannya. Cara fikir di pejabat dan di rumah berpadu, membentuk penampilan yang sama.
Namun, pro dan kontra dalam memilih salah satu darinya adalah sesuatu yang tidak harus dibasa-basikan. Saya secara peribadi, seperti juga semua orang di dunia, memasak cita menjadi insan yang seimbang segala segi. Namun, kerja dan hal peribadi bagi saya adalah hidup yang sama. Disebabkan itu, saya merasa sangat tidak berdosa untuk mencoretkan perihal kerja di taman larangan ini, yang tumbuhan melatanya adalah kisah-kisah peribadi lampau. Kendatipun sebati, pada saat tertentu ia wajar ditembok besi dengan imbangan otak kanan dan kiri.
Saya gembira terjun ke dunia baru. Biar menuntut di bidang robotik, bacaan saya adalah kewangan dan ekonomi. Menulis dan berfikir dalam sastera, walau hobi menjurus grafik. Saya gembira jadi manusia begini. Jujur, ia membuatkan saya sangat cerewet memilih kerja. Tapi tidak bermakna kita tidak menyambar mana-mana peluang yang ada.
Tiga peluang sekali datang melepuk, buat saya terjaga. Di simpang tiga jalan, harus dipilih salah satu sebaiknya. Dua datang dari syarikat multinasional dengan imbuhan setimpal, dan satu lagi peluang hadir dengan pakej ilmu yang melangit lumayannya. Maka kepada Tuhan jua kita mintakan diberi alamat paling berhikmat.
Syukur saya di sini. Sepanjang pergi dan pulang ke pejabat berjalan kaki, sejauh empat kilometer sehari-hari sering dihias senyum yang menguntum seri. Setiap hari adalah hari-hari yang sarat dengan ilmu yang baru. Insan-insan yang saya temu punya laut ilmu yang harus saya ceduk satu persatu. Lalu dicurahkan kembali buat telaga kering yang tergali.
Begitulah perasaan saya yang sama diperkatakan oleh sahabat saya, Sang Bayu Permata Nusantara yang bertajuk Andai Ada Jalan Yang Lebih Baik,
Ada yang berkata…rugi ya meninggalkan pekerjaan yang sepatutnya dengan kelulusan di Universiti…namun, saya langsung tidak merasa rugi walau sedikit pun…jika disuruh untuk memohon pekerjaan lain..hati saya seakan berat untuk melakukannya…keikhlasan dalam bekerja itu sendirinya melahirkan ketenangan dalam jiwa…sungguh saya merasa tenang dengan apa yang saya lakukan setiap hari…
p/s: Ini juga adalah luahan pertama kali berkenaan bidang kerja saya sekarang. Buat Mama, terima kasih atas restumu ke atas pilihanku.
















azeyra berkata,
August 1st, 2009 at 1:03 pm
Pada pendapat saya,tak salah kita memilih pekerjaan yang berlainan dari apa yang kita belajar semasa di universiti. Sesetengah orang memilih sesuatu pekerjaan kerana inginkan kepuasan bekerja, sesetengah yang lain kerana gaji atau faktor-faktor lain. Terpulang pada individu itu sendiri sebenarnya…(ini komen pertama saya sepanjang jadi pembaca sangpelangi =)
Balas komen ini.
Husna Adnan berkata,
August 1st, 2009 at 9:43 pm
Assalamualaikum, saudara Irfan.
Saya terpanggil memberikan komen di ruangan blog saudara ini apabila saya membaca perenggan pertamanya. Saya, adalah salah satu manusia yang sudah membezakan dunia peribadi dan kerjaya saya. Dan saya akui, sangat selesa begini. Ketika saya berkeputusan untuk memisahkan kedua-duanya, saya sudah berfikir panjang. Saya ambil masa hampir 8 bulan untuk melihat sama ada perlu ataupun tidak. Akhirnya, saya yakin jawapannya ialah perlu. Mungkin gaya hidup saya yang membuatkan ia sesuatu yang perlu. Tepuk dada, tanyalah selera.
Berkenaan pemilihan kerjaya saudara pula, saya setuju. Memilih kerjaya yang tidak selari dengan apa yang dituntuti dahulu adalah sesuatu yang biasa. Dalam bidang penerbitan sahaja, sudah ada pelbagai graduan undang-undang, kedoktoran dan perhutanan yang menjadi editor. Maka saya lihat, keputusan saudara memilih kerjaya saudara ketika ini adalah yang terbaik sekiranya saudara berasa puas dan menjalani setiap hari dengan penuh minat. Semoga terus mencedok apa yang perlu!
Balas komen ini.
ridzuan berkata,
August 2nd, 2009 at 1:39 am
semoga dapat kongsi lebih banyak lagi suka duka kehidupan.suka menggali pemikiran seseorang.
semoga terus bersemangat dalam lapangan kerja. semoga terus berjaya.
salam perjuangan.
Balas komen ini.
mollek berkata,
August 2nd, 2009 at 11:06 am
Ruang untuk ilmu itu harus dibuka seluas-luasnya. Pilihan yang bagus ialah apabila kita memilihnya, kita tidak lagi merisaukan pilihan yang lain. Bagus juga ye, belajar jurusan robotik, sekarang menelaah ekonomi dan kewangan. Aku yang belajar ekonomi ni, mungkin perlu menelaah robotik pula ye? hihi
Balas komen ini.
sil berkata,
August 4th, 2009 at 3:46 am
Salam..Saya rasa tidak ada salahnya…Sebab saya pun tergolong sekali macam saudara SP. Bidang kerjaya yang sangat jauh berbeza. Orang selalu berkata ‘hai ruginya’. Saya akan senyum saja dan berkata ‘yang penting halal’ atau ’saja tukar angin’ atau pekakkan telinga & buat tak tahu..Semua yang terjadi ada hikmah tersembunyi kan kawan-kawan..
Balas komen ini.
eyeman berkata,
August 4th, 2009 at 7:19 am
buat apa yang kita mahu.
Balas komen ini.
3 Dunia dalam 1 Bumi: Dunia MLM, Dunia Melayu dan Dunia Blogging.. | Melayu Boleh di OhMelayu.com berkata,
August 4th, 2009 at 11:06 am
[...] Hati melayu boleh aku aman seketika. Membaca sesuatu di blog Irfan. Lama tak ke [...]
anego berkata,
August 4th, 2009 at 10:15 pm
wah mesti seronok bila kegemaran menjadi kerjaya. nanti2 kamu bolehlah alihbahasa ilmu robotik kamu dalam bahasa ibunda ya fan, supaya anak2 kampung yang tinggi minatnya pada robotik tapi terbatas dek kerana bahasa dapat mengembangkan lagi minatnya macam kamu ini.
gambatte irfan-kun!
Balas komen ini.
Azree Hanifiah berkata,
August 5th, 2009 at 12:39 am
Membaca entri ini buat saya berasa tenang. Irfan, kita serupa!
Dan begitu juga saya ingin sekali mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa saya yang merestui pilihan saya. Tak tahu bagaimana ingin saya membalas jasa mereka yang ketika dahulu asyik ditanya oleh rakan-rakan sekerja, mak saudara dan bapa saudara tentang status saya.
Balas komen ini.
aman berkata,
August 6th, 2009 at 5:31 am
buat apa yang kita minat =D
Balas komen ini.
yaya berkata,
August 6th, 2009 at 10:26 pm
kerja + hal peribadi = hidup..
pelengkap kedua2nya adalah ibadah
nice post!
teruskan menulis sebelum berkeluarga… hehe
Balas komen ini.
delphinium berkata,
August 9th, 2009 at 5:46 am
salam..mmg menarik ttg ulasan saudara pasal keje+hal peribadi tu..
kadang-kadang kita tak sedar pilihan ibubapa ttg pemilihan pekerjaan adalah baik untuk. kita jugak.
kita takkan sedar sehingga kita mencuba..
bila mencuba baru kita akan terasa baiknya sesuatu itu..
Balas komen ini.
Me berkata,
August 10th, 2009 at 10:06 pm
salam…
post ni buat saya berfikir, walaupun diberi banyak pilihan tapi antara semua kita hanya boleh pilih satu….semoga berjaya
Balas komen ini.
Q berkata,
August 11th, 2009 at 1:14 am
kalau kerjaya dan peribadi itu bercampur baur, mencari titik keseimbangan itu perlu. namun untuk menjadi fleksibel dan fokus pada setiap masa untuk apa juga topik yang sedang dibincang dan difikirkan itu sukar.
Balas komen ini.
ainiaziz berkata,
August 11th, 2009 at 8:12 am
Tahniah!!
-kerana dapat kerja
-kerana suka dgn kerja
-kerana mempunyai kawalan diri yang bagus untuk menguruskan kerja + dan peribadi = dan seharusnya menikmati KEHIDUPAN
dan bersyukurlah:
kerana Allah swt melapangkan untuk kamu..
dan terus berusaha ya. Semoga boleh menjadi contoh yang baik utk kawan-kawan (seperti kami;))
Balas komen ini.
Ainul Arina berkata,
August 11th, 2009 at 5:45 pm
Salam
Pertamanya, tahniah kerana sudah mendapat kerjaya .
Keduanya, sekadar mahu memberi pendapat. Bagi aku, menceburi kepelbagaian bidang di dalah kehidupan adalah satu rahmat dari Tuhan. Tak perlu bimbang tentang kata orang. Yang penting, ilmu itu kita dapat dan kita boleh amalkan. Itu yang sepatutnya. Lagi banyak ilmu boleh dikuasai, lebih banyak yang boleh kita sumbangkan kepada agama, masyarakat dan negara amnya.
Sekali pandang, jalan untuk kamu mencontohi cendikiawan islam zaman lampau nampak terbentang. Contohnya seperti Ibnu Sina; Pakar perubatan, pakar Agamawan, Pakar filosofi, pakar kimia, pakar sastera, pakar geologi, dan banyak lagi bidangnya yang berbeza antara satu sama lain (ini idolaku~). Teruskan mencontohi mereka dengan menceburi bidang ilmu yang luas dan pelbagai. Moga satu hari nanti ada ganjarannya untuk Islam dan untuk diri sendiri di akhirat kelak. Bitaufiq.
* Cemburu. Aku pun mahu jadi multitalented seperti kamu juga. Doakan ya!*
Balas komen ini.
Welma La'anda berkata,
August 15th, 2009 at 7:23 pm
Salam,
Saya selalu berasa cemburu dengan pekerja PTS kerana saya boleh rasakan mereka pasti sangat bahagia dengan kerja mereka. Mereka boleh merasakan suasana ilmu yang berterusan dan terus menerus bekerja untuk memandaikan bangsa. Bekerja untuk memberi dan memberi yang banyak akan membuatkan pelakunya bahagia. Saya tidak rasa pekerja syarikat multinasional merasai semua itu kerana kita bekerja selalunya untuk kepentingan material.
Balas komen ini.
blup berkata,
September 14th, 2009 at 9:27 pm
salam..
bile membaca artikle nie..senyum sendiri..coz ramai anak muda skrang mempunyai masalah mcm nie..tak tahu apa kebolehan diri..tak tahu apa yg diminati..sy pun mcm tu..time kanak2 tgk cite ‘er ‘ nak jadi doc, tgk cite polis nak polis..hee
…tapi disebabkan xde pendedahan n ikot tren..engineering jd pilihan…alhamdulillah..walaupun kurang minat,result agak membangakan…tapi klu di tanya..nak jadi engineer ker?? muke jd ketat..eee
..mcm mane nak hidup dgn mesin nie.??..nak ckp dgn sape..x fun lansung..baru faham..hatiku bkn utk dunia engineering..bile byk membaca buku mengenai..manusia..ur secret skill..quiz.akhirnya baru dpt jawapan..my spirit n passion more on people..more on orginizing..
..tak hairan la..kiranya aku tak kisah klu kne handle n ank2 sedara aku n plan all the activities..coz i like it
,,,so tuk peringatan..ble da ade anak2 nati..cuba la bimbing n cari ape kelebihan diri, n ape yg menjadi minat mereka..supaya mereka tak mengulangi kesilapan kita yg lalu..
Balas komen ini.