“Kerana Ifan sayang Ama… Tolong…”

Pada May 8th, 2010, ia ditulis oleh Al-Irfan

PONNNNNNNNN!!!!!!!!!

Tersentak dengan ngauman hon yang bagai halilintar, mengejutkan longlai kelopak mataku. Di depanku kini bukan lagi jalan raya, tetapi adalah mulut gaung ngeri yang ternganga. Tanpa dikawal, sejurus kilat tangan kananku tergerak merentap stereng melawan arah, sambil tangan kiriku menyentap brek tangan.

SHRIKKK…!!!

Berpusing keretaku ini 360. Asap kepul-kepul dari bawah kereta merebak ke persekitaran berteman bau hangit, seperti ada yang terbakar. Kaku, sepi, melainkan bunyi deruman enjin yang teresak-esak. Tidak pasti sama ada gigilan kencang ini datang dari kereta ini atau tubuhku sendiri. Lori kontena tadi baru saja melepasi laluan itu.

Beristighfar panjang. Baru tersedar, rupanya sudah beratus kilometer aku kenderai Kancil ini sepanjang dua tiga hari ini. Waktu tidur pula tidak menentu. Doa siapalah gerangannya yang menyelamatkanku daripada celaka yang tidak terjangka, sudahpun Dia makbulkan.

****

“Ifan… Kenapa Ifan lakukan semua ini?”

Empang tangis ibu pecah, meruntuhkan ego seorang lelaki yang bernama aku. Dirinya seperti anak kecil, minta dijaga, dijenguk, namun lidahnya sering menidakkan. Baginya, azab seksa dunia yang ditanggung itu adalah miliknya sendiri. Sedangkan hidupnya juga milik aku. Milik anak-anaknya yang lain juga. Jua milik seorang yang dinamakan abah olehku.

“Kenapa? Kenapa susah-susahkan diri lagi. Biarkan Ama begini…”

Sepantas kilat aku memancah kata-katanya,

“Kerana Ifan sayang Ama… Tolong…”

Entah kenapa ada perkataan ‘tolong’ itu. Aku seakan merayu agar ibu menerima simbol cinta ini. Tembakan matanya kutelan dengan renungan mataku sedalam-dalamnya. Sebesar manalah usahaku ini andai dibandingkan dengan kerahsiaan tenat jiwa yang disimpan olehnya selama ini; sejak aku masih bersekolahan di tanah sakura lagi. Kerahsiaan seksa Ama demi kejayaanku, adalah suatu hutang yang mustahil terlangsaikan.

Biarlah. Cita-citaku membina masjid yang terkubur tempoh hari, kuanggap sebuah hadiah yang paling mewah. Hadiah daripada Dia, agar aku boleh sering bersama Ama. Kerana belum pasti andai aku sudah berpasangan nanti, si dia sanggup duduk sama-sama di sebelahku merapi ibu.

Aku gulungkan, segala rencana cita yang terkumpul atas permaidani dunia. Aku bakarkan, potret-potret cinta sementara yang melalaikan itu. Aku berundur, dari padang perjuangan ini dan meneroka hutan juang yang satu lagi.

Moga-moga, sekembalinya aku dari jemputan Ilahi, biar aku yang memimpin tangan ibu, menuju ke pintu syurga. Walau seandainya saat itu belum layak lagi aku masuk ke dalam bersama-samanya, namun Ama harus bergelar penghuninya terlebih dahulu.

Andai ini adalah ciumanku yang terakhir di pipinya… ingin aku katakan,

Aku cinta Ama, lebih dari nyawaku sendiri.

P/S: Biar berat hati meninggalkan ibu yang kedua demi ibuku yang pertama, namun nilai cintaku terhadap kedua-duanya tetap sama.

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya. Klik tajuk di bawah.