Keajaiban dalam hidupku, atas pertolongan Dia.

Pada July 31st, 2009, ia ditulis oleh Al-Irfan

Nota: SangPelangi sedang proses transformasi blog dari bahasa SMS ke tulisan penuh. Tulisan asal adalah bertarikh Julai 11, 2006, 2.44 pagi.

Petang tadi adalah hari bermakna dalam hidupku. Ujian Judo yg diadakan dalam bentuk pertandingan itu benar membuatkan semua rakan sekelas makin tertekan. Entah ke mana melayangnya hilai tawa sesama kami sepanjang sesi latihan selama ini. Kini, kedut dahi yang mencerut, alur bibir yang terherot, adalah simptom-simptom keseriusan tahap tinggi yang terpamer di wajah semua.

Gayaku waktu itu usah diteka. Mana mungkin insan selemah aku bisa senyum kambing di ceruk sana. Tambah-tambah, acara ini diisytihar mengejut, buatkan nadiku terus-terusan memecut. Andai kutahu hal ini sehari dua, pasti petang-petang sudah kuhayun balak melatih jiwa. Biar kental. Biar urat kawat berselirat tegang. Sayangnya..

Dua puluh orang dari kuliah Digital, dua puluh lagi dari kuliah Mekanikal, digabung menjadi satu angkatan besar. Satu demi satu nama dipanggil ke depan untuk ditimbang berat, lalu masing-masing menyahut dengan jerit HAITT!! yang paling gerun.

Terasa ingin melontar seranah saat namaku dicampak ke kumpulan F. Dianggotai jejaka berbadan gempal, tinggi menunjang. Rata-rata punyai lengan setebal peha dan berketul-ketul. Ahli dalam kategori ini, yang paling rendah beratnya adalah 68 kilo, paling tinggi adalah 102 kilo. Siapa tak ‘angin’ kalau yang paling ringan di situ adalah kita sendiri! Aduhai.

Pemarkahan ujian Judo ini sudah dikhabarkan akan direkod, lalu dihimpun ke dalam poin prestasi semester hadapan. Andai gagal kuraih markah tertinggi, untuk menyaingi tangga Kawafune-san di dalam kuliah pasti tinggal mimpi.

Satu lawan satu, versi ‘kalah mati’. Pertarungan berlangsung ikut giliran, di tengah dewan yang berlantaikan Tatami (anyaman jerami padi) yang disokong ribuan spring. Di sinilah bunyi-bunyi hentakan tubuh yang terhasil sepanjang sesi latihan, hingga bisa didengar dari sebatu jauh. Di tengah dewan, tersiap gelanggang yang sudah ditandakan, kini dikerumun semua peserta.

Peringkat demi peringkat acara dilaksanakan. Satu demi satu nama dicabut, demi tentukan lawan di dalam medan. Sambil menunggu giliranku menjengah waktu, aku masih tetap di bucu dewan, duduk bersila. Terkadang merukuk kemudian bersila semula, menahan kecut perut yang menggila. Ketaran tubuhku ini rasanya sudah menendang spring di bawah lantai berkali-kali.

Tiba saatnya, dari tengah gelanggang, seorang pengadil bertubuh sasa menjerit namaku penuh girang,

“Grupu Efu, Irfan-san to, Sasaki-san! Douzo maeni kite kudasai!” (Grup F, Irfan dan Sasaki, silakan tampil ke depan.)

Sasaki?? Hampir meletup dada mendengarkan nama itu. Berat badanku yang paling kecil, bakal melawan berat tubuh yang paling besar di antara kami. Sasaki adalah sahabatku yang paling besar di situ. Bekal makanannya setiap hari adalah daging belaka. Biar tubuhnya gempal, dia juga digelar Tangan Besi kerana lemparan bola lisutnya yang menggerunkan.

Longgar sungguh rasanya engsel lututku ini saat melangkah ke tengah. Biarpun namaku diseru ramai berkali-kali, tapi kedengarannya semacam angin lalu,

“Irufan! Irufan! Ganbare! Makeruna! (Irfan! Irfan! Berusahalah! Jangan kalah!)

Awal-awal lagi aku merangkakan beberapa helah, sekadar untuk kekalkan seri. Mana mungkin meraih menang kalau lawanku bukan calang-calang.

“Kalau takut berhadapan seseorang, bacakan Al-Insyirah. Tiupkan di mukanya, atas niat hatinya melembut salju. Mudah-mudahan kau ditolong Allah.”

Pesan arwah Tok Aki sewaktu sebelum kulangkah masuk ke meja temuduga JPA sewaktu dulu. Masih terngiang-ngiang. Kuturuti amalan itu, diiring doa yang berbunyi,

“Sesungguhnya bukan menang yang kumahu, melainkan semata-mata kerana ilmu”

“HAIT….HAJIME!!!!” (mula…)

Sasaki lincah menerkam lengan bajuku terlebih dahulu. Kaki kanannya menghayun dari sisi melanggar lututku. Aku elak. Kemudian aku rentap lengan kirinya dan menghayun ke kanan, sambil kakiku sempat mencelah di kelangkangannya untuk menarik keluar kakinya. Tiada kesan. Struktur kekudanya sekukuh akar banir yang mencengkam bumi. Kali ini, kakinya yang membentes. Mujur sempat kutepis. Aku pula yang membentes, lalu ditepis dia. Begitulah pergelutan berulang-ulang.

Pertarungan kian hangat. Satu minit, terasa satu jam lamanya. Sokongan penghuni dewan seakan sedang memihak padaku (mungkin atas sebab tubuhku yang kurus lagi ringan, dan Sasaki sebesar bas sekolah. Sudah pasti yang lemah jadi pilihan.)

Tidak semena-mena, secara MENDADAK!! Mana mungkin energiku bertahan lama. Sasaki memaut kedua-dua lenganku, lantas ditendang kaki kiriku yang kian melemah. Oh tidak! Seakan duniaku berakhir di situ. Aku pasti kalah!

Siapa sangka ajaib bertandang tidak diduga. Saat tubuhku terhumban ke lantai, jemariku tergenggam kedua-dua lengan bajunya sekali. Paling erat yang sukar disukat.

Apa lagi? Tanpa membuang masa, aku mengguling ke lantai dengan tangan yang masih mencengkam. Kedua-dua kakiku saat itu benar-benar terletak kemas di perutnya. Tenaga disumbat ke hujung kaki. Pinggang mengeras menahan pinggul.

ZUPPPPP!!

Kakiku menolak perutnya, lalu tubuh Sasaki terbang keluar ke arah kepalaku (aksi ini pernah dipelajari di dalam siri latihan terdahulu)

Pengadil menjerit.

“HAIT!!! IPPONG DESHTA!!!” (ippong= 1 batang. Tapi di dalam judo bermaksud menang mutlak.)

Mengikut syarat, untuk menang, peserta harus tumbangkan tubuh lawan ke lantai dan menguncinya dalam masa satu minit. Atau, menghayun tubuh lawan hingga anggotanya menyentuh luar garisan. Seperti dalam kes ini, aku tidak ditumbangkan. Malah menumbangkan diri sendiri untuk mencampak lawan keluar kawasan gelanggang.

Seisi dewan menjerit kegembiraan. Tepukan para penonton menggegar dewan gelanggang judo, mungkin yang paling gemuruh dalam sejarah pembinaannya. Kata-kata pengadil tiada sekali akan kulupa,

“Kono shiai wa, ichibang omoshiroi to omotta” (bagi saya, ini perlawanan yang paling menarik)

p/s: Sebenarnya, terasa sangat ringan tubuh Sasaki saat perutnya kutendang keluar. Maha Benar, ia memang satu keajaiban. Dia pasti beri petunjuk pada masa tertentu, biar tanpa kita disedari. Dengan kesyukuran saja yang mampu kubayar semula.

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.