Ke mana selepas ini aku dicampakkan?
Persoalan di tajuk itu, kononnya berbau nasib kita sejurus ditarik nafas oleh Yang Punya Nyawa. Ke neraka, atau ke syurga? Kalau ke neraka pula, di lapisan yang mana? Sama halnya andai ke syurga.
Ya, boleh juga persoalan itu dipandang begitu.
Selepas ini, ke mana pula aku dicampakkan?
Ah, aku tidak sekali lupa, saat ayat ini pertama kali merasuk ke pemikiranku.
Ketika itu, aku bersama teman-teman seperjuangan lain bermusafir ke sebuah tanah dingin di utara Jepun. Kami berjuang buat kali yang terakhir bagi mendapatkan tempat di Universiti Muroran (kejuruteraan aero-angkasa ada diajar di situ). Muroran, tanah terutara dan tersejuk pernah kujejaki di pulau Hokkaido. Ia adalah destinasi terakhir kami, musafir terjauh dan terkesan di dalam diri.
Masing-masing di antara kami memegang rekod tersendiri. Aku sendiri sudah lima buah universiti yang kucuba nasib. Sahabatku lain lebih hebat, ada yang mencecah tujuh dan lapan buah universiti.
Bayangkan pula belanja membeli borang penyertaan saja sudah berharga ratusan ringgit. Belum lagi yuran menduduki satu peperiksaan kemasukan sahaja memerlukan lebih kurang seribu ringgit. Jaraknya pula ratusan (malah ribuan) kilometer di antara ke semua destinasi ini. Maka, dicampur pula dengan penginapan, makan minum, dan belanja hal-hal lain.
Segala tambang itu tidak pernah ditaja sesiapa. Segalanya adalah hasil tabungan yang sudah kami jangkakan, hasil nasihat dari senpai-senpai (senior). Jumlah belanjaku ada kira-kira RM15 000 kesemuanya. Sahabatku ada juga yang mencecah RM30 000. Itulah nilai-nilai yang kami bakarkan demi mencapai cita-cita itu.
Kami menyeberang gunung-ganang, melangkau pulau-pulau, menongkah lembah dan sawah. Dengan galasan beg seberat puluhan kilo, kami berkongsi teksi, keretapi, kapal terbang, malah dengan feri juga (kerana lebih murah, tetapi lembap). Dari satu destinasi ke satu destinasi, tidak dilantik secara rasmi, namun ada saja di kalangan kami yang bertindak sebagai ketua musafir. Sang ketua, masing-masing punya jadual perjalanan yang disiagakan. Andai terjelopos pelan rangkaan, maka tidurlah kami di mana-mana stesen keretapi sehingga subuh menjengah.
Berbantalkan buku-buku dan baju sejuk yang sehelai dua, berselimutkan helaian nota dan soalan-soalan universiti dari tahun-tahun yang lepas. Biar mandi kami pernah juga dengan tuala atau tisu basah, namun nikmat solat itu paling manis yang pernah kami dapatkan. Bayangkan kami berjemaah di ceruk-ceruk kesibukan dunia. Terasa benar perjalanan kami bagai sepasukan tentera ke medan perang. Adakala diawasi polis peronda dan khalayak ramai, kerana hairan dengan perkumpulan kami.
Sepanjang perjalanan itu, sedang sahabatku sendiri tidak tahu akan doaku kepada Dia cuma satu:
Ya Tuhan, temukan kami dengan hamba-hamba-Mu, yang bertemu dan berpisah kerana-Mu.
Tika destinasiku yang terakhir, saat dalam perjalanan pulang kembali ke Numazu (tempat asalku di sebelah Fujisan), emosiku menyentuh di poin paling rendah yang pernah dicapai dalam hidup ini. Saat itu, aku seperti menjangka akan gagal buat sekelian kali, lebih-lebih lagi dalam perjuangan yang terakhir ini.
Aku pura-pura memandang ke luar tingkap bas, menyembunyikan terjunan air mata yang laju sekali. Ketika itu juga, sahabatku yang paling akrab menggenggam bahu kananku dengan tangannya. Aku berdegil tidak menoleh. Lalu, dia mencapai tanganku dan bersalam dengan genggam juga. Gigil tubuhku menahan sendu tidak terbendung. Pernahkah kalian alami syahdu yang diserabutkan lesu?
Aku menoleh ke arahnya, terlihat matanya juga penuh permata. Kata-kata ini terluncur dari lidahku tanpa bersinggah ke otak,
Selepas ini, ke mana pula kita dicampakkan?
Dalam serak yang tersekat-sekat, sahabatku yang bernama Idris Che Mahzan, membalas soalanku dengan menuturkan bait ini, penuh hati-hati, perlahan,
Irfan… Orang hebat, jalan hidupnya tak pernah sunyi. Tahniah kepada kita.
Jawapanku tidak dengan kata-kata lagi. Kami berpelukan erat dan menangis di bahu yang sama-sama kami pinjamkan. Kami saling berjanji, perjuangan kami tidak sekadar di atas kertas semata-mata. Sejak detik itu, aku mengulang-ulang doa yang sama. Walau dalam solat yang diimamkan olehku, ada doa yang kusenyapkan bagi menanamkan ia dalam-dalam.
Ya Tuhan, temukan kami dengan hamba-hamba-Mu, yang bertemu dan berpisah kerana-Mu.
Di sinilah aku dicampakkan, ke PTS. Ke sebuah sarang yang dihuni oleh lebah-lebah Allah yang rajin mengumpulkan manis madu berkualiti buat umat Baginda, Muhammad SAW. Lebah yang dilatih seorang ratu, diajar satu per satu bagaimana meragut butir-butir debunga. Debunga ini bakal ditebarkan ke kebun-kebun yang lain, tidak kira ke mana-mana muka bumi yang ditentukan. Biar pepohon dan tumbuhan di kebunan lain dihias bunga. Tahukah kalian ini adalah hadiah paling bermakna sepanjang aku bergelar manusia?
Ke mana selepas ini aku dicampakkan?
Soalan ini terpacul lagi. Akhirnya aku bersandar dan merenung kembali. Rupa-rupanya, aku tidaklah dicampakkan oleh Allah ke mana-mana. Sebetulnya Dia sedang meletakkan aku perlahan-lahan, cermat, dan dengan manja. Biarlah ke mana saja, aku berserah bulat-bulat. Doaku masih tidak berubah,
Ya Tuhan, temukan kami dengan hamba-hamba-Mu, yang bertemu dan berpisah kerana-Mu.
SangMentari berkata,
June 10th, 2010 at 4:15 pm
Aduhai, sungguh itu yang dinama sebuah penghidupan. Tulisan ini hampir-hampir menitiskan air mataku, Fan.
p/s Kat mana kita dicampak, di mana kita berbuat amal, itu tak penting. Tapi sejauh mana besarnya sumbangan kita kepada yang bernama diri dan masyarakat. Itu yang akan dinilai. Selamat berjuang, sahabat!
Balas komen ini.
anego berkata,
June 11th, 2010 at 12:42 am
muroran….cantik kan? pernah menjejak muroran waktu jelajah hokkaido…itu juga perjalanan, bas, keretapi, kapal terbang dan feri semua dirasa. semua buah pengalaman tetap jadi kenangan. cuma bagaimana kita menentukan hasil buah itu baik atau buruk.
waimah dimanapun kita dicampakkan, gambari mashou ka
Balas komen ini.
cikgu zam berkata,
June 12th, 2010 at 1:50 am
salam, semoga kita semua sentiasa menjadi insan yang semakin tabah dalam mengharungi hidup ini, Amin
Balas komen ini.
Azizah Aling berkata,
June 13th, 2010 at 12:19 am
Benih yang baik, dicampakkan ke udara sekalipun terus menjadi burung. Dicampakkan ke laut pantas ia menjadi pulau, dibaling ke tanah tetap ia menumbuhkan pepohon yang segar, rendang dan merimbun buat memberi teduh kepada yang lain. Selamat menumpahkan bakti Irfan.
Balas komen ini.
TheDreamer berkata,
June 14th, 2010 at 10:21 pm
Salam Irfan.
Sangat terharu bila membaca artikel ini.
Jujur ku katakan, diri ini sendiri pun dah lupa yang pernah berkata-kata begitu. Tak sangka kau sahabat masih ingat kata-kataku yang tak seberapa itu.
Moga-moga segala ujian atau dugaan dapat kita atasi dan menjadikan kita orang yang lebih baik. Jalan Irfan dan jalan aku berbeza, tetapi segala kenangan bersama takkan ku lupa. Matlamat dan tujuan kita adalah sama.
Aku juga berdoa “Ya Tuhan, temukan kami dengan hamba-hamba-Mu, yang bertemu dan berpisah kerana-Mu.”
Moga-moga kita bertemu kembali dalam waktu terdekat iA.
Kita ditemukan sebagai rakan sebilik di pusat persediaan dahulu, dan aku sentiasa melihat kembali kepada saat itu dan tersenyum. Kerana disitulah aku jumpa seorang yang bernama SAHABAT SEJATI.
Ukhuwah Fillah.
Balas komen ini.