Jangan Perkecil Kemampuan Ciptaan Anak Bangsa Sendiri.

Pada October 6th, 2008, ia ditulis oleh Al-Irfan

Setelah puas mencarinya semula di internet, ternyata pihak Utusan masih menyimpan artikel ini di dalam pustaka arkib mereka. Entah kenapa, nostalgia sekali dirasakan, kerana ia adalah artikel pertama yang aku hantarkan ke media ketika selepas zaman persekolahan dulu.

Di SangPelangi, aku persembahkan kembali artikel itu di sini. Sayangnya, tak berkesempatan untukku rakamkan komentar dari penulis lain yang membalas artikel ini, tapi keratan itu masihku simpan di Malaysia (bila berpeluang, akan dikemaskini entri ini).

Pada asalnya, artikel ini adalah sepanjang lima helaian A4 yang dicetak depan dan belakang. Tapi, bila disukat dari apa yang terpampang di akhbar, ianya cuma berskala satu helaian A4 sahaja, iaitu bersaiz separuh halaman penuh dalam ruangan forum di  Utusan Malaysia. Jadi, aku tidak menyalahkan editor dalam hal ini. Kerana, mungkin kalau disiarkan artikel asal secara penuh, pasti akhbar itu sudah tiada ruangan lagi untuk memaparkan berita yang lainnya. :lol:

*********

Tajuk: Jangan Perkecil Kemampuan Ciptaan Anak Bangsa Sendiri.

MALAYSIA tidak ketinggalan mengorak strategi untuk melahirkan saintis dan jurutera yang mampu bersaing di peringkat dunia. Antaranya mengadakan pertandingan dan pameran inovasi ciptaan.

Sejauh manakah hala tuju ciptaan anak Malaysia ini dapat diketengahkan?

Sejauh mana pula ia dapat diaplikasikan dalam aktiviti harian kita?

Soalan ini bermain di kepala saya setiap kali berkunjung ke pameran inovasi dan teknologi yang disertai oleh pelajar dan orang awam. Saya adalah bekas pelajar di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tahun 2002/03.

Di MRSM, pelajar tingkatan tiga dan lima perlu menyiapkan satu tesis sebagai syarat wajib untuk lulus dalam sistem Purata Nilaian Gred (PNG). Ia bertujuan menggalakkan pelajar menterjemahkan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas (P&P) ke atas helaian laporan kajian. Dua kategori diperkenalkan ketika itu iaitu kategori reka cipta dan kategori kajian teks.

Saya secara berkumpulan telah berjaya mencipta ‘Topi Keledar Pintar.’ Topi keledar ini berfungsi mengingatkan penunggang motosikal supaya memakai topi keledar dengan betul sebelum memulakan perjalanan. 

Dengan menggunakan teknologi tanpa wayar dan aplikasi daripada subjek Fizik yang dipelajari, motosikal tidak dapat dihidupkan jika tidak memasang klip tali keselamatan pada topi keledar. Alat penggera akan berbunyi dan lampu akan berkelip-kelip sebagai tanda menyuruh penunggangnya memakai topi keledar dengan betul.

Ia secara tidak langsung dapat `memaksa’ penunggang yang tidak gemar menggunakan topi keledar untuk berbuat demikian. Selain itu, dengan teknologi ini juga sistem keselamatan pada motosikal dapat ditingkatkan. Motosikal hanya boleh dihidupkan jika menggunakan topi keledar yang tertentu sahaja.

Keseluruhannya, topi keledar ini dapat mengurangkan risiko terhadap penunggang (jika berlaku kemalangan) dan mengurangkan kadar kecurian motosikal. Kajian yang memakan masa enam bulan itu telah dibentangkan di hadapan umum di maktab kami dengan dinilai oleh tenaga pengajar di situ. Hasilnya, kami merangkul Anugerah Pesta Type III 2003 setelah menjadi johan dalam kategori reka cipta.

Hasil kajian itu dibawa ke Pertandingan Tunas Saintis MRSM SeMalaysia 2003 untuk dipertandingkan di bawah kategori Fizik. Pertandingan yang disertai pelajar-pelajar MRSM seluruh negara ini diadili oleh wakil-wakil syarikat, pensyarah IPT dan pakar yang berkaitan.

Ketika membentangkan hasil kajian di hadapan ramai pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan nada berseloroh, salah seorang daripada mereka berkata:”Wah, kalau ada helmet macam ni, kuranglah kerja polis nanti. Tak payah kami menahan penunggang yang tidak memakai topi keledar sebab lepas ini semua orang akan pakai.”

Baru-baru ini, ketika membelek Utusan Malaysia bertarikh 23 November 2005, saya terkejut. Dua mahasiswa Universiti Rajamangala di Thailand dilaporkan telah berjaya mencipta satu sistem yang sama dengan hasil kajian saya.

Cuma yang berbeza dengan ciptaan mereka, sistem saya dilengkapi ciri-ciri keselamatan motosikal sekali gus. Dengan mendapat liputan meluas oleh media cetak dan elektronik di negara tersebut, sistem itu akan dilaksanakan secepat mungkin di negara mereka. Kerajaan Thailand jelas memandang serius fakta peningkatan kematian penunggang motosikal di negara mereka.

Bagaimana dengan negara kita? Apa kurangnya dengan ciptaan anak bangsa kita sendiri? Mungkin saya silap sebelum ini kerana tidak bertindak cepat untuk memastikan ciptaan saya ini diaplikasikan.

Bukannya saya tidak pernah mencuba. Malah banyak saluran telah saya hubungi dan sudah banyak wang dibelanjakan untuk tujuan itu. Bagaimanapun, saya hanya penat berusaha dan cuma dapat mengharapkan ‘keajaiban’ akan wujud. Keajaiban yang mampu merealisasikan impian mereka yang gemar mencipta inovasi teknologi.

Saya dapati daya cipta masyarakat kita sangat memberangsangkan. Betapa peneroka sawit di kampung saya iaitu Kampung Seri Merlong, Batu Pahat yang tidak mempunyai ilmu dalam bidang kejuruteraan mampu mencipta lori pengangkut sawit hanya menggunakan enjin skuter Vespa. Ada juga yang telah mencipta pencantas pokok secara automatik dan banyak lagi ciptaan mereka yang tidak sempat saya nyatakan di sini.

Kejayaan mereka saya rasakan hanyalah sekadar memberi kepuasan kepada diri mereka sendiri dan masyarakat di sekitarnya. Mahukah kita lihat kejayaan ini hanyalah sekadar `jaguh kampung’ sahaja? Tentu sahaja tidak.

Perpindahan teknologi yang dibawa masuk dari negara maju seperti Jepun, Korea dan lain-lain rancak berlaku. Kita seolah-olah tidak sedar dengan kemampuan anak bangsa kita sendiri. Tanpa kita sedar adakalanya idea mereka melebihi kemampuan orang luar. Jangan pula nanti kita dikatakan “anak sendiri ditinggalkan, kera di hutan disusukan.”

Di mana silapnya? Walaupun mereka mempunyai daya kreativiti yang tinggi, tetapi pengetahuan tentang selok belok protokol dan prosedur bagi memasarkan hasil ciptaan masih di peringkat rendah. Mereka perlu diberikan pendedahan dan bantuan dari segi sokongan dan nasihat.

Bagaimana mahu mempatenkan ciptaan, bagaimana mahu menjaga hak cipta barang ciptaan, bagaimana mencari pasaran, bagaimana mahu menggunakan aplikasi dan teknologi berkaitan semua ini perlu diambil tahu. jIka hendak mengharapkan usaha pihak kementerian tertentu tidak cukup. Pihak lain juga perlu berganding bahu.

Antara langkah lain, kerajaan mungkin boleh melantik satu badan yang mampu mempromosikan hasil mereka kepada syarikat-syarikat tempatan atau antarabangsa untuk di pasarkan. Syarikat televisyen pula mungkin boleh memaparkan hasil kesungguhan mereka dalam satu rancangan khas yang disiarkan satu jam seminggu dalam waktu perdana.

Selain itu, janganlah menjanjikan hadiah berbentuk kebendaan kepada pemenang pertandingan inovasi dan reka cipta. Tetapi, sediakan satu jaringan dengan syarikat-syarikat tertentu supaya teknologi ciptaan mereka dibangunkan.

Harapan saya (dan mungkin harapan pereka cipta yang lain) selepas ini, tidak ada lagi idea-idea sebegini diperkecil-kecilkan dan dipinggirkan. Kerana idea yang kecil itu setelah diolah, mampu mencetus perubahan besar dalam kehidupan seharian manusia.

- MAZNI AL IRFAN JANI, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

(sumber: Arkib Utusan 30/11/2005)

************

Baru-baru ini, aku dikejutkan dengan sebuah mesej dari seorang junior di maktab dulu. Namanya Syahid Nafi, atau mesra dengan panggilan ‘Bert’. Katanya beliau sedang melakukan kajian untuk menaiktaraf ciptaan Topi Keledar Pintar itu sebagai projek tahun akhirnya di Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Dibantu pensyarahnya, kali ini, topi keledar itu akan menggunakan gelombang Gigi-Biru pula (bluetooth :lol:) berbanding gelombang radio pada asalnya. Ditambah dengan beberapa lagi elemen keselamatan tambahan di dalamnya seperti hands-free dan banyak lagi.

Selamat maju jaya aku ucapkan kepada Bert.

p/s: Kalian punya buah fikiran untuk ciptaan baru? Tapi, masih ragu-ragu? Kurang berkeyakinan dengan prospek dan keberkesananya? Relevan atau tidak ideamu itu, jangan segan-segan ke ruangan “kontek” di menu atas, untuk menceritakannya kepada saya. Jangan bimbang, idea anda dijamin selamat. Saya bersedia membantu anda selagi mampu.

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.