Isu Palestin, berwaspadalah di Internet.

Pada January 14th, 2009, ia ditulis oleh Al-Irfan

Istilah ‘trafik‘, atau bermaksud aliran keluar masuk pelawat memang selalu dikejar tuan tanah (baca: webmaster). Trafik inilah sumber pengaruh, wang ringgit dan kekuasaan manusia di dunia maya. Tinggi trafik, semakin tinggilah nilai sesebuah laman itu.

Seperti yang pernah aku utarakan kepentingan SEO bagi sesebuah laman, kata kunci yang mesra enjin carian amat diperlukan.

Contohnya, bila ada peristiwa seorang menteri X yang terkentut di tangga pesawat, pastinya tiga katakunci ini, iaitu  ”menteri X”, “kentut”, “pesawat” akan sering ditaip di enjin carian (sekadar contoh). Maka, apa saja laman atau blog entri yang terdiri dari ketiga-tiga katakunci ini, sememangnya akan duduk pada tangga teratas jika ketiga-tiga kata kunci itu ditaip di enjin carian.

SangPelangi telah dengan tanpa sengaja, terkesan juga dalam hal ini. Artikel yang cuma kusalin dari sahabat (tanpa usul periksa) telah menjadi bualan hebat di ruang maya, terutamanya di Indonesia, bila pautan dari entri berkaitan isu Sai Baba dan Dajjal itu disebar dengan begitu pantas. Perdebatan hangat di gelanggang komentar itu terpaksa kututup setelah muncul video penipuan Sai Baba yang rupanya cuma bermain silap mata.

Baiklah. Ia adalah kesilapan terbesar yang pernah aku lakukan di SangPelangi, itu aku akui seikhlas hati. Selepas itu, dan sehingga kini, aku lebih berhati-hati dalam mencoret ketujuh-tujuh warna di awanan maya.

Baru-baru ini, setelah peristiwa serangan Zionis ke atas Gaza memuncak, beberapa laman web muncul untuk menarik trafik dari katakunci yang berkaitan. Perumpamaan ‘menangguk di air keruh’, memang tidak dapat lari dari dunia maya.

Berikut aku apungkan salah satu contoh dari ribuan laman yang merencanakan agenda tersembunyi sebalik isu saudara kita di Palestin itu:

tipu1

(aku tidak menyatakan alamat URL laman itu di sini, kerana tidak mahu menyumbangkan walau sekelumit pun trafik dari SangPelangi ke sana.)

Ini antara taktik keji individu tertentu, dengan sengaja meletakkan statistik peratusan sokongan terhadap Palestin yang rendah berbanding Israel, manakala beza antara keduanya cuma sedikit saja. Tujuan utama, mestilah ingin menarik trafik.

Bila seseorang Muslim yang sedang menggelegak amarahnya melihatkan statistik sebegini, dengan segeralah si dia itu akan mempromosikan laman itu kepada sahabatnya. Kononnya ingin berlawan sokongan siapa yang paling kuat. Bukankah kita sedia maklum, hampir seisi perut bumi yang menempelak hasil tangan Zionis?

Kau bawalah seberapa ramai sanak saudaramu ke laman tersebut. Pastinya tiada apa manfaat pun yang dapat dikutip. Cuma akan tersimpullah senyuman liar individu di balik semuanya ini. Lihat saja iklan bersepah-sepah di sana sini. Kalau sekalipun tiada klik ke atas iklan itu, jangan tak tahu ada iklan yang dibayar mengikut jumlah impression, contohnya dibayar $1 untuk 1000 impressions (pelawat). Jadi, trafik itu sendiri sudah dikira rezeki buat mereka.

Jadi, apa yang boleh dilakukan? Soalan itu mudah saja untuk dijawab.

1. Sumber dipercayai.

Kalian perlulah terus kekal membaca maklumat penting dari sumber yang dipercayai, dan kalian betul-betul kenal penulisnya. Jika ada iklan sekalipun, pastikan sumber pendapatan iklannya itu  untuk keperluan laman itu bertahan, atau disalurkan kepada mereka yang tertindas. Kemudian, barulah kalian sangat digalakkan untuk klik iklan di laman itu.

2. Berfaedah.

Kalian cuma perlu memberikan sokongan terhadap laman yang memberikan kesedaran akan kemurungan Palestin, bukannya mengajak kamu untuk membuang masa seperti bermain permainan Flash, atau mengundi sesuatu, atau menandatangani apa-apa petisyen (kecuali sahih bahawa hasil petisyen itu akan diketengahkan oleh pihak tertentu ke peringkat pemerintah).

Nota: Maaf, aku kurang setuju dengan permainan baling kasut kepada Bush. Melainkan aku termotivasi setelah membaca ayat dorongan di sini.

3. Berwaspada.

Gunakan tool Who.Is . Masukkan alamat URL (dot com) laman yang kau curigai di situ untuk mengenal siapa pemiliknya. Seperti laman Fotopages.com, pemiliknya bertapak di Israel (rujuk di sini). Kalau pemilik laman undi di atas (screenshot tadi), pemiliknya bertapak di Amerika.

Atau seperti saranan Bob (gunakan plugin NetCraft):

Sekian saja, perkongsian dan luahan rasa dari insan yang ‘agak’ terganggu, dengan kehadiran laman-laman tanggukan di air keruh ini.

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya. Klik tajuk di bawah.