Episod Pertemuan Semula dengan Ustaz Fakih.

Pada December 13th, 2009, ia ditulis oleh Al-Irfan

Kisah ini adalah sambungan kisah benar tentang seorang ustaz yang telah banyak memberikan perangsang dalam hidupku. Kepada yang belum membaca siri pertama, bolehlah baca di pautan ini (Klik Sini)

——————————————

Aku berlari ke sana sini. Sebagai seorang yang diberi amanah menguruskan keadaan peralatan P.A System di maktab, tugas itu seolah-olah seperti seorang jurutera bergaji tetap. Bezanya, bukanlah mendapat apa-apa habuan, apatah lagi diberi pujian bila memberangsangkan. Tapi, entah kenapa aku begitu berminat dengan kerja itu.

Hidup dikelilingi wayar-wayar, batang pemegang mikrofon, kotak-kotak peti suara. Semua itu telah mengajarku erti bekerja di bawah tekanan tinggi, mengawal keadaan di saat genting dan kritikal. Apabila setiap hari berhadapan papan meter kawalan bunyi yang besar, ia mengkhayalkanku ke dunia baru, seperti suasana di dalam kokpit pesawat. Sekali tersilap, maka rosaklah majlis yang diacarakan ketika itu, maka jatuhlah pesawat terhumban ke dalam gaung.

Selepas Asar, aku seperti biasa berlari-lari juga. Aku mesti membuat persediaan secukupnya untuk aktiviti di sebelah malam. Hari itu, maktab kami dijadikan medan tempat qari dan qariah beradu suara. Pertandingan Tadarus dan Tilawah Al-Quran peringkat Negeri Johor 2003. Mujur aku sekadar dilantik pembantu kepada beberapa kakitangan Jabatan Agama Negeri dan RTM Johor. Jadi, segala risiko bukanlah di bawah tanggunganku sepenuhnya.

Dalam berlari-larian anak, tiba-tiba terasa lapar. Lalu kuhenti sebentar di hadapan sebuah kafeteria. Aku menoleh ke dalam ruangan itu. Sedikit hingar dengan bual mesra dan senda gurau penghuni di dalamnya. Terlihat sebaris manusia beratur sambil memegang piring-piring berisi sesuatu. Terus saja aku melangkah masuk tanpa berkira-kira.

Ketika sedang berjalan mengambil pinggan, aku tersentak. Di hadapanku kini seorang yang tak pernah kulupakan wajahnya di dalam doaku selama ini.

Ehem.. Ustaz kenal saya lagi?

Aku cuba menduga dia.

Siapa ya?

Keningnya terenjat ke atas, kononnya penuh tanda tanya. Tapi bibir tetap menguntum senyum. Ahah. Itu wajah orang yang buat-buat lupa.

Ingat lagi? Yang ditempeleng ustaz, terbalik ke bawah meja?

Aku menambah klu.

Sshh.. Apalah kamu ni. Perkataan lempang-lempang itu usah disebut kuat-kuat,

Serta-merta jari telunjuknya dibentang ke atas bibirnya, sambil menoleh kiri kanan, bimbang kalau-kalau rahsia itu dikuping orang.

Luculah ustaz ni, haha.

Pertemuan semula ini berjaya memujuk rinduku pergi. Kasih guru dan murid berpaut lagi kali ini. Banyak sungguh kisah kenangan yang dijungkir balik buat renungan semula. Tidak henti-henti kami mengucapkan syukur atas pertemuan semula itu.

Jadi, apa perancangan selepas ini?

Ustaz Fakih menduga rentakku selepas ini. Dengan sehela nafas kubalas,

Saya ingin ke Jepun.

Diselang bunyi lagaan pinggan kaca di dapur kafe, ustaz kembali menjahit kata-katanya.

Irfan, sesiapa pun boleh ada cita-cita. Kamu harus tahu untuk apa ke sana. Sebagai apa? Untuk siapa? Andai Tuhan rasakan perlu untuk kamu ke sana, maka doa saja yang boleh ustaz hadiahkan.

Renungan tajam ustaz memangkah tancapanku, seakan menyelongkar harapan baru di balik anak mata. Andai kata-kata agung yang dikirim Tuhan melalui pesuruh-Nya dikenal sebagai wahyu, sah-sah lidahku pasti terkelu. Apa agaknya yang boleh kuistilahkan buat kata-kata Ustaz Fakih ketika itu. Ia benar-benar menyihir setiap tidur malamku.

1. Memindahkan teknologi. 2. Mempelajari budaya dan bahasa baru. 3. Memperkasa kemahiran diri. 4. Menuntut ilmu. 5. …

Arkh! Lantas notaku yang bertajuk ‘Untuk apa aku ke Jepun?’ itu dikerumuk lalu kulempar ke bangkul sampah. Memualkan anak tekak tika diamati satu persatu. Aku, juga seperti manusia lain, punya hak untuk mengotakan impian. Sayangnya, aku belum jujur pada diri. Cita-citaku masih bergentanyangan di dalam kabus. Sebetulnya aku sekadar inginkan pengajian percuma, tidak mahu membebankan ayah ibu. Itu saja.

Al-baqarah 216 itu jelas. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. Jadi, sukakan pada apa yang disukai Tuhanmu. Kemudian, berdoalah minta sesuatu yang kamu sendiri tidak tahu apa kebaikannya.

Kupasakkan kata-kata ustaz itu, jauh ke sanubari. Lantas pintaku usai sujudku kepada Dia, telah menjadi sekeping doa yang berbunyi;

Tuhan, andai Kau rasa perlunya aku berada di sana, maka Kau makbulkanlah permintaanku, bersama jawapan terhadap semua keinginan ini.

Bersambung…

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.