Dewa Jaket Jerami dan Cintanya

Pada October 1st, 2012, ia ditulis oleh Al-Irfan

Musim salji, biar butir salji pertama hinggap ke tanah adalah bahagia, namun sehari demi sehari salji yang disangka cinta bertukar menjadi duga. Salji yang menghimpun dan menebal, meredahnya dengan kaki ternyata seksa sekali. Kuucap syukur juga di tanah Numazu ini, walau berjiran Fuji, salji menjadi sahabat kerna turunnya tipis-tipis menghinggap pipi.

Salji di Jepun amat sinonim dengan kegiatan ski. Dikeranakan Numazu saljinya tipis-tipis, kami pasti mengembara ke tanah tinggi, atau ke utara lagi demi menghayun ski. Hari itu, masuk minggu kedua ribut salji di kaki gunung Tagonoura, aku diajak Ohara Sensei ke rumah datuk dan neneknya di sana.

Usai menghayun ski di siang hari, kami lemah gemalai pulang ke rumah nenek Ohara Sensei. Kakiku selang kira-kira 10 langkah terpusing, akibat sesekali terbalik terlentang terpelecok melanggar itu ini. Esok, kami akan berperang lagi, melawan musuh diri; sang takut.

Terlihat datuk kepada Ohara Sensei, bersiap-siap akan ke Ofuro, tempat mandian panas yang tradisional. Menurut nenek, bilik ofura itu diperbuat daripada kayu, yang dibangunkan oleh datuk bersama teman sekampung.

Hai, atuk tak sejukkah ke rumah sebelah tak berbaju?

Seloroh Ohara Sensei pada datuknya. Singkat saja balasan dia,

Sejuk? Apa kau tahu tentang sejuk?

sambil melangkah berseluar pendek, berlenggeng atas bersama sehelai tuala kecil di bahunya.

Ohara Sensei menggantung jaket skinya terbalik. Meleleh air yang tadinya ais, keluar sepenuh satu jag.

Nenek! Basahlah bahagian dalam baju sejuk saya ni. Macam mana ni, nek?

Jerit Ohara Sensei pada neneknya di dapur.

Kau gantunglah di sebelah unggun api.

Nenek Ohara keluar membawa dua cawan cilik teh panas bersama ibunya, sang teko.
Ohara mengibas-ngibas jaketnya,

Alahai, kalau saya gantung di sebelah api pun, tetap tak sempat kering esok.

-Hah, kalau begitu, kau pakai jaket jerami. Ada nenek gantung di bilik stor.

Ohara ketawa kecil.

Haha. Itu fesyen purbalah, Nek.

Duduk perlahan si nenek menemani kami. Tersenyum sinis si nenek, berbisik,

Jangan main-main. Jaket itu ada dewanya.

Kami sama-sama terbeliak. Duduk bersila ketiga-tiganya, lutut bertemu lutut, dan berkawan cawan. Sunyi malaikat lalu. Keriuk unggun memercik berkerupus.

Datukmu sudah pergi kan? Kalau begitu, bolehlah nenek bercerita.

Kami berdua sesekali mencicip teh hijau panas. Peh tawar yang nikmat. Tidak bergula. Nenek ini pandai bercerita.

***

Pada zaman dahulu, duduk seorang gadis di pinggir kota. Namanya Omitsu. Kerjanya setiap hari adalah ke pasar menjual sayur-sayuran yang ditanam ayah dan ibunya. Ditambah adiknya cacat anggota, kehidupan mereka sekeluarga amat teruji. Bumi 4 musim mendidik mereka sering bersedia bekalan makan dan sumber haba; daging dan bulu.

Setiap hari jika ke pasar, Omitsu akan menyelusuri sederet perkedaian di pekan. Ada sebuah kedai pakaian, yang setiap hari dilaluinya tiada hairan, namun hari itu benar-benar menahan kembaranya. Terpacak Omitsu di tengah kedai jahit ini, menatapi sebidang dada patung yang peragakan sepasang kimono jingga. Kemas, dan keemasan. Inilah pakaiannya yang diimpi sepanjang hayatnya.

Sejak hari itu, perjalanan Omitsu ke pasar setiap hari penuh senyuman. Dia menghempas keringat bertingkat-tingkat dari sehari ke sehari, demi meraih Kimono khayalannya. Pernah disuarakan mimpinya ini kepada ibu dan ayahnya.

Menitis airmata Omitsu, saat ibunya memegang bahu Omitsu dan memujuk.

Omitsu, Kimono ini pakaian orang kaya-kaya. Ibu berjanji akan habiskan usia ibu demi menghadiahkannya padamu. Akan ibu hadiahkan kimono ini di hari perkahwinanmu nanti, nak.

Omitsu menangis sendirian di bilik mengenangkan kata-kata ibunya itu.

Omitsu menyesal dengan permintaan pada ibunya yang dirasakan bodoh sekali. Dia nekad berusaha sendirian demi Kimono ini. Dia mendapat idea untuk menganyam jerami membentuk sepasang jaket. Sudah dicubanya jaket jerami ini, benar-benar menghangatkan. Lagi-lagi di saat salji, apatah lagi musim hujan. Jaket ini ringan dan kalis air. Sayangnya rupa jaket jerami jahitan Omitsu tidak secantik hasil tangan tukang jahit di pekan.

Omitsu membawa jaket jerami ini, dan dipamerkan di hujung longgokan sayurnya. Setiap kali disinggahi pelanggan, Omitsu tidak penat memperkenalkan jaket jerami ini pada mereka.

Menyedihkan, sudah berminggu-minggu jaket jerami ini dipamerkan, tetap tidak memancing minat pelanggan. Walaupun jaket ini semakin mengering, tangkai-tangkai jeraminya tetap tidak patah dan tercabut. Ini kerana jahitan Omitsu benar-benar kemas dan tegap. Cuma rekabentuknya saja yang tidak cantik, menyerupai boneka musim panas.

Satu hari, datang seorang pemuda gagah yang menggendong sebuah kotak kayu di belakangnya. Dari peralatan yang dibawa, tahulah Omitsu pemuda ini adalah seorang tukang kayu. Tukang kayu itu bertanya pada Omitsu,

Cik, apakah ‘benda’ ini?

Dek tiada pernah menarik perhatian pelanggan, Omitsu jadi malu-malu dan segan.

Oh, ini sebenarnya jaket sejuk. Saya anyamkan dengan jerami supaya lebih hangat dan selesa.

Baru saja tukang kayu ingin membuka mulut, Omitsu beriya-iya menidakkan,

Tapi, Tuan. Jaket ini tidak cantik. Tidak ada orang pun yang menginginkannya.

Tanpa peduli kata-kata Omitsu, tukang kayu mengangkat jaket jerami yang hodoh itu. Diperhatikan betul-betul jahitan dan anyaman jaket ini. Ternyata ia amat tegap dan kukuh sekali, menggambarkan betapa teliti si pembuatnya.

Jika tidak jual, kenapa ada di sini? Saya ingin membelinya.

Betapa terujanya Omitsu mendengarkan kata-kata tukang kayu. Ia menjadikan Omitsu semakin bersemangat menjahit lagi jaket jerami ini. Nampaknya impian memiliki Kimono jahitan emas tiada mustahil lagi. Omitsu menjahit lagi sepasang demi sepasang setiap hari.

Lebih menghairankan, pemuda si tukang kayu setiap hari pasti datang membelinya. Berkali-kali. Lebih memelikkan Omitsu, pemuda ini datang dalam keadaan terkocoh-kocoh dan bersemangat. Walaupun ia adalah rezekinya mendapat jualan setiap hari, namun lama-kelamaan Omitsu serba salah. Disangkanya jaket jerami buatannya tidak kukuh dan kemas, sehinggakan terpaksa pemuda ini membelinya setiap hari. Dan tabungan Omitsu kian meninggi, bersama tingginya rasa bersalah dan malu dengan sang pemuda.

Satu hari, Omitsu memberanikan diri bertanya kepadanya.

Wahai lelaki yang baik, kenapa kau membeli jaket jeramiku setiap hari? Adakah kerana buatanku tidak kukuh dan kemas. Adakah tangkai jeraminya tercabut, sampaikan kau membeli dariku berkali-kali?

Dalam keadaan bersungguh-sungguh, lelaki ini bercerita.

Cik adik usah bimbang. Aku membelinya setiap hari kerana kubelikan untuk ahli keluargaku. Aku tunjuk cara anyaman jeramimu pada mereka, akan betapa kemas dan kuatnya ia.

Omitsu terpisat-pisat malu. Dia tetap tidak berpuas hati,

Tapi bentuk baju itu amat buruk dan menakutkan. Aku malu ia dipakai orang dan ditunjuk-bangga pula.

Si tukang kayu tersenyum sendirian. Dia menyambut keluhan Omitsu,

Tahukah kau? Aku ini seorang tukang kayu, suatu kerja yang amat aku cintai. Aku mengetuk dengan cinta. Aku memahat dengan cinta. Aku memotong juga dengan cinta. Walaupun tidak cantik atau mewah hiasanku, namun buatanku tetap kemas dan jitu. Mana mungkin aku tak mampu bezakan mana satu buatan tangan yang penuh rasa cinta ataupun rasa tamak?

Dia berhenti berkata-kata. Tadinya dia berdiri di hadapan Omitsu yang menjual secara duduk, kini dia mencangkung dan meletakkan beg perkakas kayunya di tepi.

Kau penjual sayur. Kau juga penganyam jaket jerami. Kamu amat jujur dan baik hati.

Pemuda ini mengeluarkan sesuatu dari dalam kotak perkakasya. Dia mengeluarkan sebatang sanggul emas. Omitsu terpinga-pinga, tidak faham dengan tindakan si tukang kayu.

Pemuda ini menyambung,

Mahukah kau duduk bersamaku di belakang bukit ini, dan menganyam untukku jaket jerami setiap hari?

Dengan mengejut, Omitsu menutup mukanya dengan tangan. Tidak disangka-sangka hari itu dia dipinang oleh seorang lelaki. Tidak terfikir olehnya dengan penampilan compang-camping dan bersolekkan tanah sayuran, masih mendapat kepercayaan memikul gelaran isteri. Dia malu ya amat melalui saat-saat berharga itu.

Pemuda itu menyarungkan sanggul emas warisan keturunannya ke rambut Omitsu. Dia berkata lagi,

Pembuat sesuatu barang yang membuat dengan penuh ikhlas, pasti inginkan keselesaan dan keseronokan pada penggunanya. Pembuat seperti ini bagaikan ‘dewa’. Jika kamu sudi bersamaku di belakang bukit ini, akan kujaga kau seperti seorang ‘dewi’, kerana aku juga dewa.

*****

Nenek Ohara tiba-tiba menghentikan ceritanya, rupanya semata-mata ingin menghirup teh. Kami yang tertegun sedari tadi, pastilah ingin benar mengetahui sambungan kisah ini.

Apa jawapan Omitsu itu, nek? Adakah dia sudi berkahwin dengan lelaki itu?

Aku cuma terdiam, biar dalam hati terkinja-kinja menggila demi mengetahui pengakhiran kisah ini.

Nenek bertanya kepada Ohara Sensei,

Kamu tahu nama nenek, bukan?

-Ya, pastilah tahu. Tidak silap saya, Yamada Mitsu. Arkh! Mitsu? O-mitsu itu adalah nenek? Dan lelaki tukang kayu itu… Wah!!!

Kami melompat kegirangan, sambil saling bertamparan tangan.

Nenek itu tersenyum dan bingkas bangun. Dia berlari-lari anak ke bilik stor. Selang beberapa saat, nenek Ohara kembali ke ruang tamu sambil membawa dua benda.

Nah, Ohara! Inilah jaket jerami buat ganti jaketmu untuk ski esok.

Ohara merampas jaket jerami itu dari tangan neneknya. Sesekali dia mencium jaket itu, sambil berairmata.

Ahh, ai no nioi ga ippai aru ne… (Ahh, bau jaket yang penuh cinta.)

Nenek menghulurkan padaku sebuah kotak kayu yang diukir kemas. Nenek berkata padaku,

Datuk Ohara sudah pandai mengukir bunga.

Perlahan-lahan kubuka kotak kayu itu. Terlipat kemas sebentuk kain kimono yang cantik. Dengan sedikit silauan oren, jelas jahitan emasnya, biarpun sedikit berbau debu.

Kerana terlalu sayangkan kimono ini, nenek tak sanggup memakainya. Sampailah nenek terlupa diri ini sudah tua.

Tidak berupaya lagi kukawal mataku, tetap berkaca. Akhirnya menitis juga.

Ohara Sensei mencapai kotak kayu itu dari tanganku. Bagai diarah seseorang, tidak semena-mena kami melihat rambut nenek. Sanggul emas masih tetap terselit kemas di rambut nenek.

Tuk! Tuk! Tuk!

Bunyi terompah kayu dari luar rumah. Berdirinya datuk Ohara di muka pintu, sambil berkata,

Saya dah pulang.

Ohara menyambut ucap selamat itu,

Selamat kembali, si tukang kayu.

*****

Wahai suriku yang sedang membaca entri ini. Tahukah kamu betapa perasaan cinta ciptaan Allah ini begitu rahsia sekali? Ternyata cinta selepas penikahan ini adalah perkenalan buat kita setiap hari. Setiap hari ada saja perkara baru yang kupelajari tentang dirimu.

Maafkan diriku andai sesekali tidak mampu memenuhi impi dan mimpimu. Cukup saja kuketahui setiap hasil tanganmu, seperti masakan, kemas rumah, melayan karenah tika sakitku, adalah penuh teliti dan hati-hati. Betapa cukup kuketahui ia penuh cinta. Kau juga telah ketahui, betapa kerja tanganku untukmu juga tidak pernah dengan senafas hela.

Semoga cinta kita juga bersemi seperti nenek dan datuk Ohara Sensei. Malah lebih jauh lagi; ke syurga.

Ini saja yang mampu kulakukan, walaupun tidak sempurna. Kerana kita ketahui juga, hasil kerja Allah tidak pernah sia-sia.

Nantikan Encik Sangpelangimu pulang dari Kuantan dengan gembira, ya. InsyaAllah.

Jemput menjenguk entri yang lain. Pilih di bawah.