Archive for the Nota realiti category

Kerja + Hal Peribadi = Hidup

posted by Al-Irfan in Nota realiti

Setiap dari kita pasti punya tanggapan berbeza terhadap kerjaya mereka. Sesetengahnya amat berpantang, hal peribadi jangan dicampur adukkan di dalam kerja. Dalam kategori ini, dia itu akan sering bertindak mengasingkan dua medan tersebut untuk berketrampilan selesa. Terkadang punya dua talian telefon yang berbeza, dua akaun emel atau laman social network yang berlainan, dan berencam ragam.

Ada juga yang lebih suka mencampur adukkan kesemuanya. Sudahnya di meja makan bersama keluarga, dia itu akan bercakap tentang untung rugi saham berbanding puji-pujian pada masakan isterinya. Jika kerja seharian memotivasikan orang lain, maka di rumahnya juga pasti berkumandang syarahannya. Cara fikir di pejabat dan di rumah berpadu, membentuk penampilan yang sama.

Namun, pro dan kontra dalam memilih salah satu darinya adalah sesuatu yang tidak harus dibasa-basikan. Saya secara peribadi, seperti juga semua orang di dunia, memasak cita menjadi insan yang seimbang segala segi. Namun, kerja dan hal peribadi bagi saya adalah hidup yang sama. Disebabkan itu, saya merasa sangat tidak berdosa untuk mencoretkan perihal kerja di taman larangan ini, yang tumbuhan melatanya adalah kisah-kisah peribadi lampau. Kendatipun sebati, pada saat tertentu ia wajar ditembok besi dengan imbangan otak kanan dan kiri.

Saya gembira terjun ke dunia baru. Biar menuntut di bidang robotik, bacaan saya adalah kewangan dan ekonomi. Menulis dan berfikir dalam sastera, walau hobi menjurus grafik. Saya gembira jadi manusia begini. Jujur, ia membuatkan saya sangat cerewet memilih kerja. Tapi tidak bermakna kita tidak menyambar mana-mana peluang yang ada.

Tiga peluang sekali datang melepuk, buat saya terjaga. Di simpang tiga jalan, harus dipilih salah satu sebaiknya. Dua datang dari syarikat multinasional dengan imbuhan setimpal, dan satu lagi peluang hadir dengan pakej ilmu yang melangit lumayannya. Maka kepada Tuhan jua kita mintakan diberi alamat paling berhikmat.

Syukur saya di sini. Sepanjang pergi dan pulang ke pejabat berjalan kaki, sejauh empat kilometer sehari-hari sering dihias senyum yang menguntum seri. Setiap hari adalah hari-hari yang sarat dengan ilmu yang baru. Insan-insan yang saya temu punya laut ilmu yang harus saya ceduk satu persatu. Lalu dicurahkan kembali buat telaga kering yang tergali.

Begitulah perasaan saya yang sama diperkatakan oleh sahabat saya, Sang Bayu Permata Nusantara yang bertajuk Andai Ada Jalan Yang Lebih Baik,

Ada yang berkata…rugi ya meninggalkan pekerjaan yang sepatutnya dengan kelulusan di Universiti…namun, saya langsung tidak merasa rugi walau sedikit pun…jika disuruh untuk memohon pekerjaan lain..hati saya seakan berat untuk melakukannya…keikhlasan dalam bekerja itu sendirinya melahirkan ketenangan dalam jiwa…sungguh saya merasa tenang dengan apa yang saya lakukan setiap hari…

p/s: Ini juga adalah luahan pertama kali berkenaan bidang kerja saya sekarang. Buat Mama, terima kasih atas restumu ke atas pilihanku.

Eksperimental Bahasa Tanpa Kata-kata.

posted by Al-Irfan in Nota realiti

Sepanjang langkahan kaki, kepalaku pasti melilau ke sana sini memerhati sekeliling diri. Terasa bebanan kerja yang tertanggung sedari pejabat tadi, sehelai demi sehelai gugur melayang hinggap di gigi jalanan. Dalam tak sedar, sebuah Kancil meluru laju hampir menyondol kepala lututku dari belakang. Mujur hon dari hidungnya sempat menghentikan lamunanku.

PINGGG….

Semasa Kancil itu melintas perlahan di sebelahku, aku sempat melirik pada seisi perut yang ada di dalamnya. Kesemuanya dihuni kanak-kanak lelaki di bawah lingkungan empat tahun, dengan dipandu oleh kakaknya dalam belasan tahun.

Tak semena-mena, seorang darinya mengacu tangannya bergaya pistol ke arahku, sambil mulutnya terpercik air liur mendenguskan bunyi yang kukenal betul, semestinya bunyi pistol.

Psstt.. Psst.. Buzzzz…

Aku membalas ‘tembakan’ itu dengan senapang senyapku (lagak dua tangan), lalu dia menggayakan ala cedera. Kedua-dua adiknya di kerusi belakang perasan abangnya sedang terluka.  Apa lagi, mereka terus membuka tingkap dan cuba membuat serangan balas terhadapku. Aku dengan senyum berlagak, berlakon kononnya kebal dengan tujahan peluru biar tembakan mereka bertalu-talu.

Trit trit trit… Trit trit trit..

Si kakak itu pastinya tidak menghiraukan adik-adiknya kerana sibuk mencari parkir di hadapanku. Saat Kancil itu berhenti di sebuah ruangan kotak kuning, anak-anak itu segera berkejar girang mendapatkan aku. Si kakak bertanya hairan,

Err.. Kamu ini seorang artiskah? Kenapa mereka kenal kamu?

Jawapanku sekadar angkat bahu tanda tiada tahu. Tapi, sebenarya terkandung bermacam makna, biar bahasa tanpa kata-kata. Haha.

AWAS! Kejahatan di Depan Matamu!

posted by Al-Irfan in Nota realiti

Aku terkedu. Kira-kira 100 kaki dari tancapan mata, ada seorang yang lemah sedang dikeremuni oleh dua orang bertubuh sasa. Mangsa berkaca mata, kukira dia seorang yang lemah daya pemikirannya (baca: down syndrome). Situasi memberitahu, bahawa si lemah itu sedang ingin melepasi satu lorong sempit di belakang sebuah pasaraya ternama di tempatku ini, tapi perjalanannya dihalang.

Tiba-tiba, yang berbaju jingga merampas bungkusan plastik yang dikendong mangsa, tapi dia melawan. Lalu plastik terkoyak hingga isi dalamnya terburai. Gugur sepasang sandal biru, cantik, elegan, yang dibeli tadi dari pasaraya di situ oleh si mangsa. Lantas si baju jingga menyarung kakinya, dan menggantikan selipar buruknya ke dalam ronyokan plastik.

Derap jantungku yang semakin laju mengkehendaki tanganku berbuat sesuatu. Malangnya masih tetap kaku. Kenapa begitu? Klik untuk membaca lanjut.

Eksperimen Tatabahasa Melayu Tinggi : Berhasil!

posted by Al-Irfan in Nota realiti

Sejurus sesi perkenalanku bersama Ustaz Ashraf, Tuan Ali Atan dan Cik Marianti semasa bengkel anjuran Puan Ainon petang semalam, aku bercekal hati menjalankan ujikaji, bagi melihat sejauh mana keberkesanan beberapa teori Tatabahasa Melayu Tinggi yang telah kami pelajari.

“Keropok lekor, dik?”

Seorang perempuan bertudung litup yang berpangkat makcik, dengan dialek bahasa yang berbunyi seperti dari tanah seberang, cuba menegurku tatkala aku mendekati gerai tepi jalannya yang tidak jauh dari tempat perbengkelan kami. Tuan-tuan pasti terkejut dengan reaksiku pada pertanyaan pendeknya itu. Aku cuba menulis entri ini dengan menggunakan Tatabahasa Melayu Tinggi seperti yang diajarkan oleh Puan Ainon. Seandainya Tuan Puan dapat mengesan sesuatu yang tidak kena, diharap dapat berkongsi di ruangan komentar, ya. Klik sini untuk teruskan bacaan.

Aku Cuma Seorang Anak Muda

posted by Al-Irfan in Nota realiti

Usah ditanya ke mana aku pergi, sedang kalian sedia tahu jawapannya. Ya, SangPelangi sedang menuju ke tanah abadi, seperti yang terkandung di dalam doa kita sehari-hari. Biar jalanannya sedikit berkabus dan memedihkan mata, melangkah tetap jua kaki ini kuarah.

Berpijak pada tanah yang darahku terpercik dulu, mengundang hairan yang berbondong-bondong. Benarlah kata makrifat tua, memikul sepicing gelaran anak muda bukanlah semudah yang disangka.

Tidak kusanggah kakiku yang terhayun deras, seakan lincah macan yang laparkan rusa. Tapi, sesak tetap bersarang di dada bila aku dilabel seorang insan yang serabut kepala. Setiap butir kata yang aku lontarkan, dikata orang sedang gelojoh menjolok mimpi yang masak ranum di rimbunan langit.

Benarkah? Atau sebenarnya sang masa yang berlari-lari?

Aku cuma seorang anak muda.

Perkataan ‘cuma’ itu harus kubuang jauh-jauh.

Entri Terkini
Entri Malar Segar
Sahabat SangPelangi


Rainbow Ribbon by eCoverApple.