Archive for the Kisah Mistik category

Atok Aki Bertarung dengan Ular Laut

posted by Al-Irfan in Kisah Mistik

Tempoh bacaan: 15 minit untuk pembaca pantas.

Tahun kejadian: masa aku Tingkatan Dua. (aku lahir tahun 1986)

——————————————————————————

Jam menunjukkan 2.30 petang.

Sebentar aku lalai dengan “dunia” ku yang satu lagi itu. Macam biasa, aku dengan makanan ruji ku, “Red Alert: Tiberian Sun”, hasil pemberian Pak Mahid sempena pembelian PC dengan PERKESO Abah. Tak sedar sudah 1 jam aku menghadapnya sedari pulang dari sekolah.

“Jangan lupa, Abah ko lambat balik hari ni, Ko kene jalan kaki..”, peringatan atok selepas kenyang dengan santapan. Santai benar dia bersandarkan kerusi kegemarannya.

“Aaa?? Alaa… Kalau tau awal, tak de la terperuk kat depan PC tadi..”, aku mengeluh, agak kesal nada itu.

Aku mencapai tuala. Berlari ke bilik mandi. Cuma 5 minit sahaja prosesnya. Mengapa? Jangan tak tahu, gosok gigi, sabun, syampu, bilas.. kesemuanya serentak menjadi satu. Itulah aku. Bukannya mandi yang semacam kerbau itu, tapi “mandi kerbau” yang bersabun dan bersyampu.

Aku ke beranda, terus duduk di anak tangga. Terkocoh-kocoh mengikat tali untuk “Pallas”, kasut rasmi ke kelas agama.

Tiba-tiba.

“Nnnggg……”

Berdesing telinga kiri aku tak semena-mena.

“Eh, ada orang meninggal agaknya di belah kiri ni..”, bermonolog sendirian. Biasalah, cakap orang-orang tua, cuma prasangka tiada fakta. Banyak sungguh petua orang tua, ada yang benar jangan taksub padanya. Ada yang salah, jangan dientengkan pemikiran mereka.

Siap semua. Tak sabar rasanya ke kelas Cikgu Salbiah. Sejak pagi aku tertunggu-tunggu, menanti subjek kegemaran ramai di kelas agama. (subjek “munakahat” hari Selasa,hehe..).

Sambil memandang Casio di lengan kiri. Telinga ini reaktif kembali.

“SSSSsssst….”

Sesuatu bunyi seakan berdesir seperti suara kentutan lembut. Secara automatik, kepala ini terpusing 40 darjah. Mata ini terceruk ke sudut meja. More

Ketukan yang Ngeri… (Episod 2)

posted by Al-Irfan in Kisah Mistik

Baiklah, setelah lama menanti, saya persembahkan episod kedua dalam siri keseraman kita. Bagi yang belum membaca episod pertama, lebih baik menghayati dahulu sebelum melompat ke cerita seterusnya. Klik di bawah ini untuk Siri Ketukan Yang Ngeri (episod 1)

http://sangpelangi.wordpress.com/2007/04/05/ketukan-yang-ngeri-episod-1

(nampaknya pelawat semakin bertambah sejak akhir-akhir ni. Mungkin dek lambaknya kisah tahyul dan misteri yang keluar panggung.)

——————————————————————————————————————–

Tanpa terima kasih, ku tekan suis pemati dan mengetuk kekunci nombor. “Hello… ni balai Rengit ke? Ada hal kecemasan” Aku cuba menebak.

-”Ya, di sini Balai Rengit. Boleh saya bantu?” More

Pernah jumpa manusia tanpa kepala? Bergerak-gerak?

posted by Al-Irfan in Kisah Mistik

“Dah pukul 9 malam ni. Tadi siang tak nak gunting. Tu lah.. buat kerja selalunya last minit… bla bla bla “, mama dengan nasihatnya yang berdepa-depa.

“Ala.. kalau esok pagi dah temuduga, bila lagi nak gunting rambut?” aku berdegil dengan mama. Temuduga JPA adalah jam 9 pagi. Jadi aku mesti bertolak dari rumah dalam pukul 5 pagi untuk ke Kuittho (atau nama barunya Universiti Tun Hussein Onn, Parit Raja)

“Yelah.. suka hati Ifan lah. Baik-baik bawak motor tu”, mama berlembut juga. Hehe.. Terima kasih ya mamaku sayang.

Weeenggg…. ” (bunyi bukan macam mat rempit ya, ekzos aku ada “silencer”, harap maklum.) Ku pecut skuter kuning tu ke jalan belakang. Pak Bu tukang gunting jadi tujuan.

Laluan potong ke Taman Kota Masai, jadi pilihan pemandu yang pulang kerja waktu malam. Masih terang dengan lampu-lampu kereta. More

Pontianak, maafkan aku.. taringmu tak ku takut lagi..

posted by Al-Irfan in Kisah Mistik, Zaman Sekolah

Malam tu yang jelas cuma bisingan cengkerik. Semua orang sedang tunduk bertentang mata dengan buku. Ada juga yang terangguk-angguk bila dilihat seakan berzikir. Rupanya zikir itu disulam dengan dengkuran garau. Itulah situasi malam yang penuh kekhusyukan tatkala minggu peperiksaan melanda di bumi Mersing ini. Perpustakaan dan bilik kuliah penuh dengan manusia mengendong buku berbondon-bondon.

Keasyikan malam tiba-tiba diragut. Datang penghantar utusan tercungap-cungap membawa berita,

“Papa datang… Papa datang… Spot Check… “

Berubah terus bilik itu menjadi pasar. Masing-masing cemas ke sana sini. Meja depan yang tadinya ramai dengan kumpulan Revisi Bio terus hilang berdesup entah ke mana. Deret buku panjang sedepa terus serabut jadinya.

Nama Papa Azmin, panggilan manja untuk ketua warden kami memang masyhur di pelosok maktab. Ke hulu ke hilir ke mana sahaja dengan senjata saktinya, “Rotan Papa” yang bisa terbang hinggap ke tubuh sesiapa selaju cahaya. Sebut saja nama itu, gegak gempita seluruh alam. Yang tidur boleh bertukar menjadi jaga, yang brutal boleh bertukar semulia pendeta.

Malam itu, dia datang dengan mengejut mencari mangsa. Barangkali senjata hikmat itu sudah lapar dengan nikmat tubuh manusia. Sudah maklum dengan khabaran ini:

tong..tong.. tong.. (bunyi gong istana)

“Al-kisah..Barangsiapa berselipar jepun, berbaju santai kemeja T berleher bulat, rambut panjang lepasi piawai, atau berbagai-bagai.. Nescaya akan datang satu garis kilauan merah di tubuhnya… itu semua antara punca jadi gejala”.

Malam itu dek kejar masa aku terus menyarung selipar jepun TERsengaja. Al-maklum, tangan ini gatal basuh sepatu di waktu senja. Sampai ke malam pun takkan kering walau diseterika.

Degup jantung ini jangan disukat dengan jam randik. Jangan diintip dengan stetoskop. Pasti kau tahu sekencang mana ia bergoncang. Rasa cemas dan takut, bimbang kalau-kalau tubuh kering ini kan makin keding. Aku mencari jalan lari. Peluang yang ada cuma tiga. Tingkap? Tangga depan? Atau laluan makmal?

Andai tingkap jadi pilihan, esok mungkin ku berkaki tiga. Kalau tangga depan ku terjah terus, takut terserempak dengan Papa, rotannya akan terhunus. Jalan terakhir?? Laluan makmal…???

Ia memang heboh dikata ramai penuh dengan keseraman. Di situ terlihat badut berbaju biru oleh ayahanda (pengetua), mesin kebuk wasap makmal terpasang sendiri, bunyi pelik selalu muncul di bulan purnama dan macam-macam lagi. Laluan itu bukan pilihan kami. Ramai pesalah sedari awal menerjah tangga utama sebelum kedatangan Papa.

Aku dalam dilema. Pilihan aku cuma laluan misteri itu. Masih berkira-kira untuk menyerahkan punggung pada “rotan Papa”, atau berkorban mental pada puaka.
Tiba-tiba, suara senjata sakti itu semakin jelas kedengaran.

SAASS…. SAAASSSSS…. SAAASSS….

Bunyi itu memang ku kenal lama. “Rotan Papa” sedang mengganas nampaknya.

Terus ku lari menyusup laluan misteri itu. Hantu, jembalang, pontianak, sundel bolong.. ahhh….persetankan semua. Aku sanggup digigit dracula dari merasa libasan Papa. Biar segerombolan angkatan “askar jepun berdarah” berbaris dengan senjata sepanjang laluan, aku tak gentar. Ketakutan pada “Rotan Papa” itu lebih melangkau dari mereka semua.

Akhirnya, aku selamat sampai untuk sembunyi di asrama. Aku boleh duduk dan baring mengikut suka, takkan ada jalur merah di punggungku.

Lega..

Tapi, aku masih tertanya-tanya, dari mana datangnya bunga putih yang yang melekat pada beg aku ni.

p/s: Kisah ini memang benar-benar berlaku sewaktu aku berkampung di Mersing menuntut ilmu….kecuali ayat terakhir itu cuma rekaan.

Moral: jangan langgar peraturan sekolah, nanti buruk padahnya..hehe

Entri Terkini
Entri Malar Segar
Sahabat SangPelangi


Rainbow Ribbon by eCoverApple.