SangPelangi » Habuk Sajak..

Sajak: Jerung Retak.

Jerung Retak.

Bilis Kayu membiduk selat,
“Kita ke hulu,” tempik nakhoda.
Sedang arus melawan lalu.

Di kuala temu,
bertempur hebat dengan Jerung Retak,
buangan dari si Paus Besi.

Kala menang,
sekocoh-kocoh nakhoda melompat;
ke Jerung Retak yang kian karam.

Apa lagi ingin dikejar?
Harta rampasan perang?
Peta tinggalan Qarun?
atau labu-labu balingan Luncai?

Biarkan Nakhoda yang bijak pandai.
naikkan sauh,
“Ke hulu misi kita!!”;
pemangku nakhoda menduga langkah.

Al-Irfan
Numazu 080601.

P/S: Ini bukan main ‘lompat-lompat’. Katanya ‘kepulangan’ semula nakhoda lama.

Sajak dari ibu: Pencarian yang Ketiadaan Noktah

Semalam, semasa aku menelefon ibundaku, Ama, aku diperdengarkan sebuah sajak bertema ketuhanan. Sajak ini ditulis ibunda sewaktu pulang dari mengerjakan haji 2006. Jadi, atas keizinan ibunda, aku mempersembahkan, Pencarian yang Ketiadaan Noktah untuk lauk santapan rohani kalian.

Penghayatan sajak ini, memerlukan penelitian pada teknik pembacaan. Jadi, aku cadangkan kalian mengawal intonasi demaklasi berpandukan tanda baca di setiap akhir ayat-ayat dan bait-bait.

Selamat menjamu rohanimu dengan penuh selera. Read the rest of this entry »

Sajak: Nafiri Sakti

Nafiri Sakti

Tatkala itu,
guntur memanah berserakan,
pohonan tumbang bersilangan,
tanah berlipat terbentur rapat,
dijungkir balik seluruh jagat.

Aku tercari-cari di mana payung,
buat menahan runtuhan awan.
yang tiangnya jatuh dipanah getaran.
Aku serba kecipal mencari capal,
menahan perih terpijak onak,
yang tumbuh melata dari timbunan dosa.

yang permata meraja jiwa,
yang maruah dibida di papan bursa,
yang caci cerca bahan ceria,
yang kuasa ditukul besi,
yang berjiran ditembok batu,
kini berwajah sesal,
dek kendong ilmu tinggalkan amal.

Nafiri sakti ditiup,
gempita alam sekali desup,
desingan bingit memarit langit,
selautan insan lentang,
longlai gelintang bak sungai kontang.

Disergah lagi bunyi nafiri sakti,
bangkit tubuh ditimbang kati,
berat di kanan atau dikiri,
sudahkah dapat kau pasti?

Irfan Jani
070724 Numazu,Shizuoka.

P/S; Sajak ini setelah dibedah oleh anggota GKLN (Grup Karyawan Luar Negara) yang dikepalai saudara Fahd Razy. Sayangnya, masih gagal menembusi akhbar perdana. Dua buah majalah dalam pertimbangan. Masih menunggu jawapan. Tak mengapa. Terus berusaha!!

P/P/S; SangPelangi tiada cerita menarik kali ini. Cuma dipenuhi dengan habuk-habuk sajak hijau. Sebenarnya sedang mood minggu peperiksaan. Haha. Ada lagi seminggu. Urghh… Sabar ya.

Sajak: Paus Besi

Paus Besi.

Gelombang China Selatan melonjak-lonjak,
diterajang angin ribut 13 Februari.

Nakhoda tua menghunus keris menitah,
“Kau, kau, kau.. Terjun!”
“Itu, itu, itu.. Campak!”

“Kayuh! Kayuh!” jerkah si pengawal angkuh.
Sahaya dengan tubuh terbirat luka,
dikerah hayun sedang kaki dirantai besi.

Paus Besi terus gah membelah ombak.
Gelora kian meninggi,
langit semakin hitam.

Oh,
Bilis Kayu yang dibuang tadi,
termuat tubuh-tubuh kecil yang berjiwa wira,
kini selamat tiba di pulau abadi.

Khabar Paus Besi ditelan angin sepi,
Ke manakah pergi? Disedut pusaran laut, mati?
Barangkali..

Irfan Jani,
080224 Numazu,Shizuoka.

P/S: Hari ini penamaan calon. Selamat tinggal nostalgia lama.

Hukum Tukul

Hukum Tukul.

Merdunya derap palu,
Jadi siulan perindu hukum.
Kau semayam di singgahsana,
Bertilamkan pelantar emas.

Baid sama paku,
apatah puing rekahan batu.
Karibmu cuma dengan dia,
jubah baldu di atas takhta.

Tapi sayang,
Hargamu yang semahal antik,
dijaja murah di pasar gelap
oleh serakah yang tamak harta.
Terpadam sudah hikmat perkasa.
Habis pudar kilauan tubuh.
Kau kini tukul biasa,
buat merapat tanggam berongga.

Irfan Jani
Numazu Shizuoka
0101 1Feb07,

Aku punya satu pantun buat kalian. Renung-renungkanlah. ;p

Hilang tapak tukul,
timbul tapak canai,
Tak tahu siapa betul,
Dua-dua tak boleh pakai.

P/S: Ulasan terbaik, (sama ada komen pantun atau sajak Hukum Tukul itu), aku beri RM30 melalui Maybank. Jujur tak tipu. Sila tinggalkan emel sebenar anda di petak komen.

Erti Perjuangan.

Lambungan ombak api menyimbah cakaran-cakaran langit itu. Semuanya tenggelam ditimang bahang cairan logam pekat. Aku panik. Aku panjat tangga ke tingkat atas dan memijak keping-keping bumbung. Bangunan itu meruntuh laju. Aku berlari ke hujung genting, lompat ke bangunan lain. Arakian gugur jua ia seperti lainnya. Dan di bangunan terakhir, aku terduduk. Pasrah. Tersedu-sedu aku menangis berdoa meminta petunjuk untuk menyelamatkan diri.

Aku terbangun.

Istighfar sepanjang nafas bersedut hembus. Habis lecun bantalku dengan air mata dan tubuh bermandi peluh. Aku bermimpi rupa-rupanya. 0230. Sepertiga malam. Sesejuk wudhu’ masih belum membilas peluh. Sepanjang minggu aku termangu termenung. Apa gerangan semua ini? Apa sebenarnya yang ingin Kau tunjuk Ya-Rabbi? Read the rest of this entry »

Selamat tinggal Ramadan.

Tinggalkan kebunan Ramadan,

bukan bererti membiarkan lelalang lebat menghijau.

Tapi menyemai benih kekacang,

untuk musim tuaian nanti.

Selamat tinggal Ramadan. ;_(

Al-Irfan

Shimonagakubo.

161007, 4Syawal1428

Syuru’

Sedikit nukilan di waktu Syuru’. Waktu yang dikatakan haram untuk melakukan sebarang solat sunat. Hingga sekarang masih ada di antara “mereka” yang masih lagi dalam dilema. Yang terlajak subuh, masih menunggu waktu Syuru’ berakhir untuk menyelesaikan Qada’ Subuh (kira-kira 28 minit selepas tamatnya Subuh, atau ter”tumbuh”nya “tanduk syaitan” di bawah mentari).

—————————————————-

Syuru’

Raja Syaitan masih di kerusi,
gah bersemayam di bawah mentari,
tersenyum lebar melihatkan jajahan,
tanah taklukan penuh seksaan.
Puas, asyik, girang,
askarnya menang di medan perang,
terhangguk-hangguk ber”Pesta Syuru’”.

Diteliti wilayah kiri,
ada yang lemas dibanjiri mimpi,
ada yang dirantai tujuh belenggu,
ada yang dikarung kebarung khinzir.

Diteliti wilayah kanan,
ada yang berebut harta tawanan,
ada yang rakus menghadap santapan,
ada yang tenang nantikan petang.

Wahai rakan tentera,
bangkit dan genggamlah senjata!
Lupakan cinta dunia!
Abaikan kehendak loba!
Ini medan kita! Ini tanah kita!

Adakah kau lupa,
bukankah sudah diasah parang kalian,
dengan airmata di sepertiga malam?

Adakah kau lupa,
bukankah sudah dilatih dengan ketat,
dengan senaman ribuan rakaat?

Adakah kau lupa,
janji-janji hadiah kemenangan nanti?
Tanah misteri itu bakal kita diduduki,
yang luasnya tak bertepi,
yang sungainya berjuta rasa,
yang bidadari jelita tiada tara,
yang usia kita kan selamanya muda,
apakah itu tak cukup lagi?

Wahai rakan tentera,
usah dinanti bayang sekaki.
Tewas tika di fajar tadi,
jadikan motivasi pembakar diri.
Kini,
peganglah peranmu,
yang sudah dilantik Si Pesuruh,
yang sudah diarah Si Pengarah.
Kerna hakikatnya,
senjata askar insan,
terbina dari besi iman,
lebih tajam dari tanduk si syaitan.

Al - Irfan,
0655, 12 Ogos 2007,
Pasir Gudang,Johor

—————————————————-

Firman Allah swt :- Read the rest of this entry »

Balada orang-orang kalah..

Satu lagi karya Indonesia yang buat aku terkedu sebentar.

Mengapa karya dari seberang yang jadi bacaanku sejak akhir-akhir ini? Jawapannya kerana aku terbawak-bawak dengan penghayatan kamus Wak Jaman yang aku pernah sebutkan dulu.

Mari kita hayati apakah moral disebaliknya.

Balada Orang-orang Kalah

oleh Taufik Ismail, 2003

 

Barangkali kita cuma lelah setelah berabad berdebat,

Melihat pohon dan gunung bertumbangan satu-satu,

Lembah dan kali bertumpukan batu-batu,

Dan hujan yang enggan turun ke tanah

 

Barangkali kita cuma lelah setelah berabad marah,

Melihat sungai dan laut menghitam oleh oli tumpah,

Kapal ikan yang tak henti menebar jala,

Mengusir perahu-perahu nelayan ke tepian

 

Barangkali kita cuma lelah kehabisan daya,

Menghirup asap mobil yang memadati udara,

Bau busuk menyengat dari sampah berserakan,

Parit mampat di seluruh pelosok kota.

 

Barangkali kita lelah hampir menyerah,

Pada hukum alam yang mulai berubah,

Barangkali kita lelah karena cahaya api telah padam,

Dihembus angin kencang tanpa halangan.

 

Barangkali kita lelah karena kita sudah lelah,

Kehabisan tenaga kehabisan darah.

Moral: —-hmm.. boleh la fikir-fikirkan bersama———-

Mengantuk.

Sebelum mata ini terlelap,
aku terkebil-kebil membawa hati ke dunia lain.
Merangkak-rangkak ke “laluan masa” sepanjang hari-hari yang berlalu. Cuba mencari apa kurangnya,
apa lebihnya,apa salahnya,
apa kesannya gerak langkah ku pada dunia.

Berkecamuk;
Yang ada cuma keluhan dan ngomelan.
Itulah aku kini.

Jika dulu waktu kecil,
terngiang-ngiang suara abah membisikkan kata perangsang,
sayup-sayup kedengaran suara mama mendodoikan lagu semangat.
Kini semuanya bergentayangan.
Tercari-cari aku di dalam kabus,
kalau-kalau wujud lagi suara halus.

Walau sejauh hamparan samudera,
bisikan dan nyanyian itu sempat juga ku rakam.
Untuk dimainkan sebelum lena,
sebagai pemanggil mimpi indah.

Al-Irfan
4 Feb 2007
Numazu, Shizuoka

——————————————–
Muhasabahlah sebelum dilamun mimpi,
jangan dinanti hari berganti,
takut waktumu kejar berlari.

Maafkan mereka,
maafkan dirimu,
dan minta maaf pada Dia.

SELAMAT TIDURRRR…

Pengemis Budi.

Pengemis Budi I

Alahai nasib,
tika ku terhegehkan bantuan,
terasa diri bak pengemis jalanan.
Manakan tidak,
air yang ku salur, petir yang kau alur,
.
Datang padaku merayu-rayu,
minta padaku tersipu-sipu,
aku tak luntur, walau noda terpalit kotor,
walau tujuh lautan kopi pujian yang kau cangkir,
tetap tebu jua kutanam di bibir,
kerana pesan ibu yang kufikir,
Jangan sekali hati orang kau jolok,
walau sendiri luka dicucuk teruk.

Al-Irfan,
11.26pm,20 Disember 2006,
Numazu, Shizuoka

——————————————————
Pengemis Budi II
.
Ibu,
aku kini terseksa,
batin dihimpit ejekan menghina,
ingatan mu tetap terpahat jua,
kerana ku tahu cahaya itu akan menjelma,
membawa hatiku ini ke jalan bahagia,
selamanya..
.
Tapi ibu..
sampai bila..
sampai bila harus kutahan,
sampai bila kukuhnya perisai ini,
ditujah beratus panahan keji,
ditembak meriam kutukan badi,
tembok ini kan rapuh jua,
menunggu masa menyembah bumi dengan mulia.

Al-Irfan,
11.26pm,20 Disember 2006,
Numazu, Shizuoka

————————————————-
Pengemis Budi III

Anakku,
menangis kerana terasa diri diperbodoh,
biarkan lah..
resam mereka tak kenal diri itu di bawah payung,
jangan kau pasrah disimbah gelombang laut tanpa pendayung.
sekalung doa dariku untukmu, moga mampu menambah tebal,
duduk saja di balik dinding yang kian kebal.
kau sentiasa berteman,
dirimu itu saban hari diperhatikan.
.
bersabarlah anakku…
.
Al-Irfan,
11.26pm,20 Disember 2006,
Numazu, Shizuoka

————————————————————

ARKHHHHHHHHHHHH!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!
SABAR JE LAAAAAAAAA…..

SangPelangi © 2006 - 2008 Adalah Hak Milik Peribadi.
Pengisytiharan!
Blog SangPelangi tidak mempunyai pertalian apa-apa dengan mana-mana agensi/badan/persatuan/parti. Ia cuma sebuah pandangan peribadi yang tidak bersangkut paut dengan mana-mana pihak. Anda dinasihatkan untuk tidak mencerna 100% apa saja yang penulis sampaikan secara bulat-bulat. Anda perlu menggunakan pertimbangan yang wajar untuk menilai setiap pembawaan di dalam SangPelangi. Jika anda tidak merasa selesa, kurang selamat, atau tertekan ketika melawat SangPelangi, diharap dapat meninggalkannya serta menjauhkan diri dari SangPelangi. Ini kerana lawatan anda ke SangPelangi adalah di bawah hak kerelaan sendiri dan tanggungjawab masing-masing. Di atas pengakuan tersebut, maka, saya berhak, secara langsung, atau tidak langsung, untuk tidak diheret ke mahkamah di atas segala kenyataan saya. Di bawah akta Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Perkara 19) : Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. Baca Lebih Lanjut...