Archive for the Diari Lusuh.. category

Kesetiaan + Keikhlasan = Kepercayaan

posted by Al-Irfan in Diari Lusuh.., Kaca Mata Usang

Merindukan arwah Tok Aki saban hari saat usia menginjak tinggi, lebih-lebih lagi diri ini bakal tidak bersendiri lagi. Sesekali aku bertandang ke sebuah kedai makan di pinggir Sg Chua yang terkenal dengan kesedapan ‘Ayam Dadah’nya. Itulah nama resipi rahsianya.

Dikepalai tauke yang selorohnya saling tak tumpah dengan Tok Aki, Pak Lang panggilannya. Membuatkan aku sesekali ke kedainya demi hilangkan rindu pada gelagat sang tua.

Telatah Pak Lang sering menghiburkan. Kadang-kala, dia berbalas pantun dengan pelanggannya. Lebih ceria, ada pula pelanggan yang melayan berbalas pantun saat pinggan cawan saling berlaga. Aku tidak dapat mengingat sebarang pantunnya, melainkan tiga baris ini (ya, ia adalah pantun enam kerat tapi aku lupa pembayangnya),

….
Kasih tak kasih,
Sayang tak sayang,
Bayar tetap bayar.

Beberapa hari lepas, ada kisah yang ditakdir Allah kepadaku. Usai makan macam biasa, aku ke kaunter untuk membayar.

-Pak Lang, jumlahkan sekali Ayam Dadah seketul, ya. Belum saya ambil lagi.

Hah, nanti lepas bayar, bungkus sendiri guna kertas pembungkus di sebelahnya.

Setelah kuterima baki dari bayaran tadi, segera kutuju ke tempat ayam. Tangan kanan menyepit seketul ayam, bahagian dada. Tangan kiri memegang beg kertas, pembungkus ala restoran makanan segera.

Dengan saiz beg kertas yang besarnya tiga kali ganda dari ayam, terdetik niatku mengusik Pak Lang. Sengaja kukembungkan beg kertas lalu kukunci lipatan hujungnya, bagai termuat tiga ketul ayam di dalamnya. Aku siap-siap ingin kembali pada Pak Lang.

Tiba-tiba Pak Lang datang dari belakangku, menepuk bahu.

Hati-hati memandu, ya nak.

Kulayang-layangkan beg kertas yang mengembung itu di hadapannya.

-Ha Pak Lang. Tak mahu buka tengok saya ambil berapa ketul?

Kalau dia membukanya, boleh kuusik dia dengan seloroh baru. Namun sekonyong-konyong Pak Lang berubah. Dia memandangku dengan raut berkerut. Cerianya tadi tenggelam. Tidak dia endah pelanggannya yang berbaris di kaunter sana.

Sambil jari telunjuknya digoyang-goyangkan ke arahku, Pak Lang bernada serius,

Jangan. Jangan kau uji kesetiaanku.

Aku terpaku,

-Setia? Apa kaitannya dengan setia?

Nak, setia itu macam kau dan aku. Setia kau ke mari, setia aku memberi, tidak boleh dibuktikan lagi. Kesetiaan dan keikhlasan tak boleh diuji-uji.

-Apa pula kaitannya dengan ikhlas?

Kalau kau ambil lebih sekalipun, secara terang mahupun curi, sudah kuhalalkan dari dulu. Seperti kau ikhlas melayanku, membawa temanmu ke mari, sedang untungku di luar pengetahuanmu. Kita saling ikhlas.

Aku sekadar mengangguk. Termenung.

Nak, kesetiaan dan keikhlasan itu namanya kepercayaan. Seperti itulah iman. Kau setia menganutnya. Kau ikhlas mentaati-Nya. Dia saja yang layak menguji kita.

Berhari-hari kurenungi kata-kata ini sampai ke saat ia dituliskan kini. Kukenang semula rentetan jalan hidup setahun ini yang penuh pancaroba. Sudah sekian banyak kesetiaan yang kukhianati. Sudah sekian timbun keikhlasan kuragui. Diri ini bagai peluh bermandi dosa. Persahabatan, bisnes-perjuangan, kawan punya kawan, dan teman persekolahan. Cinta, suami-isteri, ibu-anak, dan hamba-kekasihNya. Siapa lagi yang ikhlas dan setianya disukat-sukat, sedang Allah lebih layak menduga kita?

Aku penuh percaya, kalian yang membaca ini masih setia di sekelilingmu. Namun masih juga ada yang terkorban, pastinya yang tidak kalian sengajakan. Bagi yang mengenaliku, ampuni aku andai selama ini kesetiaan dan keikhlasan kalian pernah kucalari. Kuingatkan diriku, biar melaras ikhlas dan setia ke angka sifar. Yang terkubur kita nisankan. Yang hidup kita talkinkan. Kembali fitrah.

Episod Pertemuan Semula dengan Ustaz Fakih.

posted by Al-Irfan in Diari Lusuh..

Kisah ini adalah sambungan kisah benar tentang seorang ustaz yang telah banyak memberikan perangsang dalam hidupku. Kepada yang belum membaca siri pertama, bolehlah baca di pautan ini (Klik Sini)

——————————————

Aku berlari ke sana sini. Sebagai seorang yang diberi amanah menguruskan keadaan peralatan P.A System di maktab, tugas itu seolah-olah seperti seorang jurutera bergaji tetap. Bezanya, bukanlah mendapat apa-apa habuan, apatah lagi diberi pujian bila memberangsangkan. Tapi, entah kenapa aku begitu berminat dengan kerja itu. Klik untuk membaca lanjut.

Menjinak Bongkak, Bagai Mengopak Balak dengan Kapak.

posted by Al-Irfan in Diari Lusuh..

Setakat ini, apa perubahan pada diri selama di sini?

Kemudian diselang diam yang lama. Persoalan itu tak pernah aku tanyakan sendiri kepada diri ini. Pengurus unit yang tak suka digelar bos itu tiba-tiba menanyakan soalan yang tidak disangka-sangka, selepas mengajakku duduk bertentang empat mata untuk sesi bermuhasabah, atau disebut post-mortem dalam istilah profesionalisme.

Saya semakin kasar.

Jawabku itu adalah kudus yang paling kudus. Klik sini untuk membaca lanjut.

Mahalnya sebuah ketakutan.

posted by Al-Irfan in Diari Lusuh..
comments off

Datang cepat! Tolong aku!

Telefon bimbit terlepas dari genggaman kiri dan tanganku bertindak memaut dada. Tulang rusukku seperti disentak dari belakang. Tak sampai seminit, bayang Wong Fei Hung pun muncul.

Ifan! Kenapa ni? Muka kau pucat!

Wong menderu dapatkan aku. Disorongnya kerusi yang kududuk rapat ke katil. Tanpa soal dia terus mengangkat tubuhku untuk memindahkannya ke situ. Klik sini untuk teruskan bacaan

Bilakah waktu jujur yang paling jujur?

posted by Al-Irfan in Diari Lusuh..
comments off

Dalam pelukan itu, sayup terdengar suara dia berbisik,

“Irfan, aku mahukan sebuah hadiah yang lebih mahal dari ucapan selamat tinggal.”

-”Apa itu?”

balasku sedikit sentak.

“Selama perkenalan kita, aku mahu kau menyebut keburukan diriku yang tertulis di kaca matamu.”

Bertambah pelik. Klik untuk sambung membaca.

Entri Terakhir
Entri Malar Segar
Sahabat SangPelangi


Rainbow Ribbon by eCoverApple.