Archive for the Aku di Jepun category

Summer Camp IPIJ 2008

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Akan aku ulas sekembalinya dari Fukui nanti,

tentang apakah maknanya bertemu dan berpisah kerna Ilahi.

Silakan dulu ke laman ini.

Faizal Tahir ke-2 bakal lahir?

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Baiklah, entri ini sedikit ber’bau’ hiburan dan mungkin ini kali pertama aku mencuba-cuba untuk menulis artikel berbentuk berita industri seni tanahair negara (walaupun hati tetap berkata tidak, tapi tangan gatal untuk menaip)

Entri ini ditulis tatkala sedang menempuh peperiksaan kemasukan ke Universiti Fukui selasa ini. Aku disuruh tonton sebuah video di Youtube oleh kawan sekolahku, Hisyam. Lagu M.Nasir bertajuk ‘Apakolips’, dibawakan oleh dua penyanyi (popularkah? mungkin juga) iaitu Faizal Tahir, dan bekas peserta AF5, Aizat Amdan.

Sepanjang menonton, sedikit terkejut bila Faizal menyebut yang Aizat itu sebagai adiknya. Walau aku tahu mereka berdua ber’bin’kan berlainan, aku sudah terbayang sebuah wajah yang mirip-mirip Faizal Tahir di benak yang pernahku lihat sebelum ini. Tapi di mana, ya?

Pencarianku semakin menumpu, setelah menonton sebuah video klip Aizat Amdan. Tertulis nama penulis lagu tersebut, Anas. Tapi lagu “Hanya Kau Yang Mampu” itu ditulis oleh abangnya sendiri, iaitu Anas Amdan. Aku percaya Anas yang berbinkan Tahir mungkin ada sedikit persamaan. More

Dapatkan Dewan Sastera edisi Julai 2008

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Semalam mendapat forwarded emel tahniah dari Bro Fahd Razy melalui GKLN. Ia berbunyi:

Salam! Nampaknya ada orang telah mula memeriahkan kempen “Jom Tembus Media” sempena cuti musim panas ini! Tahniah kepada Lailati (Mesir) dengan puisi “Kitab Pengalaman” dan Al Irfan Jindullah (Jepun) dengan puisi “Nafiri Sakti” dalam majalah Tunas Cipta Dewan Sastera Julai 2008! Moga banyak lagi menyusul! Jangan lupa nyatakan untuk ruangan Tunas Cipta! Jom Tembus Media. InsyaAllah, kita akan cuba serapkan nama mereka yang berjaya untuk antologi tahun depan (kalau ada) .

Alhamdulillah. Setelah menanti jawapan dari pihak editor sejak September 2007, “Nafiri Sakti” tersenarai akhirnya untuk edisi Julai 2008 dalam sisipan Tunas Cipta. Penantian yang sungguh menyeksakan, kini berbuah hasil. Walau dinyatakan tiga bulan adalah tempoh yang agak lama, inikan pula sebelas purnama.

Sesiapa di Malaysia, minta tolong ambilkan gambar “Nafiri Sakti” untuk aku. Seberat awanan yang menggendong harapan, terima kasih aku hujankan di tanah kalian.

Kepada sahabat yang lain,

Ayuh Tembus Media!!

p/s: Cadangan untuk usaha dakwah melalui URTV dan Mangga, jujur aku katakan ia tindakan yang bijak. Kita pusingkan antena stesen mereka 180 darjah. Aku sedang berkira-kira untuk ke sana pula. Gempur!!

Sekembali dari Jalinan Ukhwah, Asakusa 2007

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Sungguh mengujakan, bila Ustaz Ariffin (kita memanggilnya Ariffin Sensei), membawa bersama beberapa orang muslimah Jepun yang Mualaf dari pelbagai lapisan umur. Memang ada bezanya wajah orang Jepun bila cahaya keimanan terpancar bersinar-sinar. Selamat kembali ke agama asalmu buat kalian.

Apakah cabarannya sebagai seorang Mualaf di bumi Jepun? Ternyata cabarannya bukan sedikit. Pandangan serong rakyat Jepun sendiri memberi kesan implikasinya tersendiri. Ini tidak hairan kerana mereka berpaksikan media yang berkiblatkan Barat. Bila ditanyakan tentang penerimaan keluarga sesudah bergelar Muslim, seperti biasa keluarga menolak keras pada asalnya. Itu sudah menjadi lumrah cabaran hidup bergelar Mualaf di mana-mana. Syahdu sungguh kisah yang diceritakan kepada kami, tentang perasaan, liku-liku hidup bila menanggung nama “Muslim” sepanjang di gurun kafir. Aku terbayang kisah-kisah penyeksaan sahabat Baginda, sedikit keawang-awangan.

Aku sedikit terjelepuk, bila ditanyakan,

Apakah pula cabaran mereka yang dilahirkan muslim?

Bukankah hebat dugaannya untuk mengekalkan, dan memperkasakan tahap keimanan sedia ada?

Di kepala, simbol tanda soal sudah berselirat erat. Itulah yang perlu dimuhasabahkan oleh diri. More

Promosi Jalinan Ukhwah: Mari Beriman Sejenak.

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Saya memang tak dapat sabar lagi. Pengalaman bersua dengan Mualaf warga Jepun di Tokyo nanti pasti akan terlipat kemas sehingga nafasku yang terakhir. Mudah-mudahan Tuhan memudahkan urusan dan perjalanan kami untuk menggendong kenangan manis ini.

Pihak Ikatan Persaudaraan Islam Jepun tahun ini melakukan satu kejutan besar. Penganjuran Program Jalinan Ukhwah yang akan dilakukan di empat lokasi berbeza serentak di seluruh Jepun iaitu kawasan Kantou, Hokuriku, Tohoku dan Toukai; bertujuan menjalinkan ukhwah sesama kita, selain memberikan perkongsian jiwa dan rasa dalam memahami apakah sebenarnya cabaran sebagai seorang muslim dan apakah di sebalik persepsi orang Jepun terhadap agama kita yang dicintai ini.

Disebabkan saya berdekatan dengan pusat bandar Tokyo, jadi saya dan beberapa orang junior akan menyertai untuk program di Kantou pada 14 Jun 2008 bertempat di Masjid Asakusa.

Menariknya tema yang diangkat, adalah berbunyi “Mari Beriman Sejenak” yang dipetik dari ungkapan bahasa Arab “Hayya Nukmin Sa’ah“. More

Hari ini hari aku.

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Nun di hujung sana, menghadap anime. Seorang di sudut lain dengan dunia permotorannya. Yang berhias segak asyik mengikuti hal ehwal aliran fesyen. Ada juga dua tiga pasang rakan yang berbual hangat. Pendek kata, semuanya membuat kerja sendiri. Mereka tahu kerja rumah pengaturcaraan JAVA itu boleh diselesaikan tak kurang dari 15 minit, jadi ke mana pergi saki 75 minit lagi? Begitulah penyelesaiannya. Hari ini, secara alami seperti Hari Kebebasan Pelajar pula gamaknya. Kerja JAVA dicampak tepi, hal sendiri meraja hari.

Aku? Masih tergaru-garu di makmal komputer, apa yang hendak ditulis di atas kertas ini? Aku tinggal 30jam lagi sedari kini sebelum terlewat. Biasanya Katou-san di sebelah akan menghulur tangan. Apakan daya, dia lebih terpesona dengan lagu-lagu Ikimonogakari. Huh!! Aku tak suka lagu Jepun. Entah. Tunggu saja kemunculan album nasyid di bumi Jepun nanti. Haha. More

Doa yang tak dimakbul Tuhan.

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun, Monolog Sendiri

Malam itu sujudku yang berlagu sendu, membuat sejadah berlecun air masinan mata. Tak tahu apa lagi yang mesti dipinta dari Si Maha Melihat yang tahu keberadaan ini. Terasa berbongkah-bongkah besi berdiri di atas bucu yang merodok bahu. Aku tak punya cahaya lagi. Gelap.

“Mulakan dengan dua rakaat sujud taubat, diikuti dua belas rakaat hajat,”

pesan Ama, ibunda tercintaku yang lebih dulu merasa pahitnya hidup menanggung serangan psikologi. Berani ku kata, kisah hitam Ama yang berhadapan seorang manusia yang berlagak Tuhan di memori lalu, lebih dahsyat dari yang ini.

Aku tak berdaya lagi menahan dugaan ini.

Hari itu, tatkala tempoh makmal kian menuju hujung, Kawafune-san dan Sasaki-san mula berkemas awal. Melihat mereka terkocoh-kocoh, membuat punggungku terinjak-injak. Aku tak mahu ditinggalkan berdua-duaan bersama Funada Sensei. Jika tidak, pasti bertubi-tubi cacian dan makian yang menembak tepat ulu hatiku nanti. More

Baju Melayu belum tinggal kenangan.

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Dulu, sejak kecil kami enam beradik punya baju Melayu yang sama corak serupa warna. Setiap tahun, mata Ama pasti lebam dek saking pedih mata Mama menahan kantuk, sehinggakan selalu saja kocek atas bertukar dada. Kadang-kala baju Ama pasti yang terakhir disiapkan.

Masih aku ingat lagi sewaktu aku berumur empat tahun. Ketika itu pertama kali Ama mula menjahit untuk kami anak beranak. Seluar kami adik beradik punya kelengkang besar, dengan kelim tebal pada lengan baju dan hujung seluar. Hinggakan kami terpaksa menggulung seluar di pinggang kerana hujung seluar menyapu lantai.

Aku bersyukur kerana masih punya baju raya untuk bersukaria menyambut hari mulia. Tambah tunduk lebih berterima kasih kerna masih punya ayah dan ibu, yang sanggup membanting tulang untuk menggembirakan hati-hati penghuni syurga (rumahku, syurgaku). More

Harga sebuah kekuatan diri.

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Omae bakka,” (kau bodoh!!) herdik Funada Sensei.

“Lupakan hasrat untuk ke Universiti Toyama dan Fukui. Kau tak layak,” entah sejak bila dia menjadi seorang pelabel.

Omae bakka da yo. Shitteru kai?” (Kau memang bodohlah. Tahu tak?)

Aku diam menunduk sambil jelingan tajam menembak lantai.

“Hoi. Hoi. Kiite iru kai omae? Ha?” (kau dengar tak ni?) sambil jari-jari Funada Sensei mencucuk-cucuk bahuku. Matanya kemerahan; bak kata juniorku, seperti orang kemabukan arak.

Ugh. Mujur bahu yang ditunjal-tunjal. Kalau dahiku yang jadi mainan, entah mungkin tunggang terbalik gerobok di depan ni agaknya. (istighfar)

“Hait,” ringkas aku menjawab. More

Pengetua aku ditangkap rasuah.

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Semalam beberapa orang junior yang baru tiba dari Malaysia mendapat sekeping surat rasmi dari pihak pentadbir. Surat itu juga dipaparkan dalam laman rasmi kampus kami di sini.

Ia berbunyi:

Seperti yang semua maklum, pengetua kita telah ditahan atas dakwaan rasuah, adalah sesuatu yang paling memalukan. Kami (sangat) memohon maaf atas kerisaun yang timbul di pihak anda semua.

Mendapat kerjasama penuh dari pihak err.. (macam BPR) sambil menunggu laporan penuh, segala aktiviti pembelajaran di kalangan pelajar tidak akan memberi kesan.

Kepada semua penuntut dan ibu bapa penjaga, kami secepat mungkin akan memaklumkan kepada anda semua jika terdapat sebarang berita. More

Manusia punya error?

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

“Faham semua?” Jeong Sensei bertanya.

Jeong Sensei, rakyat Korea yang fasih berbahasa Jepun, pensyarah JAVA di tempat kami.

“Faham..” suara yang menyahut boleh dibilang dengan jari.

“Sebelum saya masuk ke topik ‘Interface‘, saya nak ulang kembali apa yang kita belajar tadi.”

“Kawafune. Ada berapa jenis error dalam JAVA?”

“Dua”

“Bagus. Irfan-san, bagi satu contoh?”

Syntax Error?” aku meneka. Itu pun aku baca di nota di papan kapur bertingkat dua. Aku juga terlelap sebelumnya.

“Ok. Yoshikawa, bagi saya satu lagi contoh?”

“Err..” tak sempat Yoshikawa membuka suara.

Dame’ ! Dame’ ! Dame’ !” (jangan! jangan! jangan!), Funatsu tiba-tiba menjerit.

Seisi kelas tersentak dan seluruh mata tertancap padanya. Yang diulit mimpi kini membulat mata. More

Minuman Candu. Ya Allah, aku terjebak!!!

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Walau sekebat ringgit setinggi gunung emas yang kau tawarkan, jangankan seteguk, malah setitik pun takkan aku titiskan ke atas lidah. Apatah lagi menghidu aromanya, yang aku bayangkan seperti sebuah paya dari lombong tinggal. Sangat memusingkan. Melainkan jika mata beliung terlekat di leher, mungkin aku akan bermati-matian menggogoknya.

Aku menggeleng-geleng kepala sebaik kaki menjejak tanah berpenghuni mata sepet. Di mana-mana saja minuman ini terjual. Bermacam bekas aneka harga. Ya. Maksud saya TERjual itu adalah “habis dibeli”. Tempoh luput paling lama adalah 9 hari dan dalam tempoh itu sering saja ditukar ganti. Aku mula membenci Jepun. More

Nasib seekor anjing.

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Lampu merah menyala. Kaki sebelah kiri ku tongkat senget, jemari tangan masih menggenggam hulu. 1654. Agak sibuk juga mereka di waktu petang begini. Yang gagah ada berlarian. Tua membongkok masih lagi kuat menyorong roda. Yang muda berbaju sekolah di sana sini. Tak kurang juga yang seperti aku, mengayuh basikal menyedut udara senja.

Aku asalnya mahu mengejar mesin berhantu itu. Entah kenapa dari dulu nombornya asyik menurun. Cuma sebulan sekali menaik. Itupun nantinya kan turun lagi. Mesin itu kali ini lebih angker. “Tiada dalam perkhidmatan”. Arkhh.. Tekanan.. Tekanan.. Terpaksalah lupakan saja niat berbelanja dapur hari itu.

3 batang nasi gulung yang ku sambar tadi. (kalau mesin puaka tu elok, pastinya tujuh.. Hoho..). Ketiga-tiganya berperisa *Natto. Kalian kenal Natto? Kalau kau bukan anak Jawa, aku beri amaran, jangan sesekali kau sentuh Natto. Apatah lagi nak memandangnya. Rupanya yang agak meloyakan bisa membuat kalian terluah belalah. Namun,sebab rasanya seenak Tempe mentah, aduhai.. nikmatnya Natto mencair dalam tenggorokan. Rindu pada Tempe terubat jua. More

Erti Perjuangan.

Lambungan ombak api menyimbah cakaran-cakaran langit itu. Semuanya tenggelam ditimang bahang cairan logam pekat. Aku panik. Aku panjat tangga ke tingkat atas dan memijak keping-keping bumbung. Bangunan itu meruntuh laju. Aku berlari ke hujung genting, lompat ke bangunan lain. Arakian gugur jua ia seperti lainnya. Dan di bangunan terakhir, aku terduduk. Pasrah. Tersedu-sedu aku menangis berdoa meminta petunjuk untuk menyelamatkan diri.

Aku terbangun.

Istighfar sepanjang nafas bersedut hembus. Habis lecun bantalku dengan air mata dan tubuh bermandi peluh. Aku bermimpi rupa-rupanya. 0230. Sepertiga malam. Sesejuk wudhu’ masih belum membilas peluh. Sepanjang minggu aku termangu termenung. Apa gerangan semua ini? Apa sebenarnya yang ingin Kau tunjuk Ya-Rabbi? More

Adat bertemu dan berpisah..

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Sekian lama aku tak menjengah ke sini. Rindu pada SangPelangi bertandang lagi. Benar kata seorang teman, andai sekali kau terjebak ke kancah persuratan, ia bakal menjadi candu dalam hidupmu. Warkah tetap berhantu. Walau nyawa direnggut, kenangan mungkin boleh dilupa, tapi tulisanmu kan tetap boleh dibaca.

kamiotai1.jpg

Dalam gigil jemari mengetuk kekunci, aku terlihat helai-helai kertas yang tergantung di tepi. Angka 2008 seperti membawa semangat baru. Gelak tawa teman sehati rakan sejiwa masih berngiangan di benak otak. Seperti baru semalam kita bertemu, tapi kini mulai sepi, masing-masing menuju misi.

Sesungguhnya, aku benci adat ini. Mengapa diciptakan perpisahan, sedang pertemuan itu memang indah. Kita mungkin buta, dihijab dosa yang menghalang mata, dari melihat hikmahnya perpisahan ini. Tapi, percayalah, setiap suratan itu terlipat jua gulungan rahmatNya..

Rakan seperjuanganku, semoga berjumpa lagi.

kami2kecil.jpg

Berucap di khalayak elit

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Petang tadi aku terketar-ketar. Darah sederu kilat menerobos liang pembuluh membuat tubuh bergetar-getar. Di bawah penghawa dingin serasa bak di atas gurun. Berpeluh. Sedari tadi jiwa aku serba tak kena. Di luar dewan, kereta mewah berbaris-baris. Sudah membayangkan situasi yang bakal berlaku.

Aku senyum kelat. Bertentangan, kira-kira 100 orang Jepun berambut uban. Terbongkok-bongkok memegang tongkat. Rata-rata dari golongan pencen yang dulunya elit, kini hidup menghabis duit. Sudah bercucu-cicit, tetap jua gagah menuntut ilmu. Terpegun.

Aku membelek helaian konklusi bancian yang diberi seminggu lalu. Sedikit sebanyak membantu aku mencari data-data, bersedia dengan hujah perisai senjata, takut beku bila soalan pelik yang bakal ditanya. “Mengapa mesti melawat Malaysia?”, begitulah tajuk pembentangan yang dipinta oleh Persatuan Perhubungan Sosial Numazu, Shizuoka.

Selepas pengenalan diri, ada juga yang gatal bertanya, “Status Irfan?”, diselangi hilai tawa seluruh dewan. Entah makcik mana pengubah suasana. Terima kasih kerna beri pecutan emosi. Membuang gemuruh yang sedari tadi belenggu diri. Aku kini sedikit selesa. Sesekali aku hilang punca, beberapa patah kata yang tak dapat ku teka, mujur dibantu Tajikani San yang sejak seminggu lepas menghubungi aku.

Kepingan pamplet dari Pusat Pelancongan Malaysia, helaian poster dan macam-macam lagi. Seperti sedang mengajar kelas orang tua gamaknya. Satu jam aku berucap tanpa henti, diselang-seli soal jawab tak berapi-api. Dari Perlis hingga ke Sabah, satu-persatu keindahan Malaysia yang aku bongkarkan. More

Siapa kata Hari Raya hari ceria?

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

“Lawa baju raya,Kak. Err..tambah sikit lagi lauk ya?” aku membodek. Almaklum, 1 Syawal bersamaan dengan ‘hari makan’ sedunia. Siapa tak juling tengok lauk berbesen-besen (baca: besen besi).

Selepas khutbah Aidilfitri, semua tetamu menjamu selera. Nasi minyak lauk ayam masak merah dan kari dalca. Ketupat sambal kacang menu wajib yang takkan dilupa. Turut sama kuih muih bermacam bentuk pelbagai warna rencam rasa. Jamuan beramai-ramai diselang gelak tawa senyum ceria. Begitu meriahnya suasana di pagi Syawal yang penuh bermakna.

Kami semua berkumpul di kedutaan besar Malaysia di Shibuya. Ada yang datang dari jauh beratus kilometer untuk meraikan hari mulia itu bersama. Dari penuntut, staf kerajaan, pekerja swasta sehinggalah ahli tentera. Hari bermakna disambut meriah tanpa kenal pangkat usia. Senyum mereka menjadi pengubat kerinduan orang tersayang yang di hujung sana.

Seusai makan dan sesi bergambar, masing-masing membawa haluan. Ada terus pulang menyambung kuliah (barangkali), ‘bowling raya’, ‘karaoke raya’ dan entah apa lagi yang raya. Aku turut serta rombongan menyerang rumah terbuka yang ada. Juadah utara lauk selatan tak perlu aku senaraikan lagi. Dari laksa utara hingga soto selatan, semua itu tak kami tinggalkan. Tapi bukanlah haloba yang jadi teman. Dengan akal waras masih terkawal. Cukup ala kadar setakat menjamah. Bimbang tak larat mengusung perut ketika pulang nanti. More

Aksi cemas di “Dunia gerabak”..

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Gerabak keretapi itu berderu perlahan. Agak senyap tak berantakan. Sesekali suara operator mengucapkan salam tak sudah di setiap stesen. Cuaca panas bertukar sejuk mendadak. Ada juga sela batuk berselang seli bermacam versi.

Aku di sebelah cermin. Sedikit pening melihat pohonan satu persatu melepasi pandangan. Tak tahu kenapa tak mengantuk. Sedangkan jika aku mengira pokok-pokok itu, pastinya sekejap saja aku terlelap. “Jalan Jauh ke Ramallah” menjadi santapan.

Tak semena-mena, seorang tua di hujung sana memecah sunyi. Telapak kanan memegang dada mengerang pedih, “Arkhh.. Iteeii.. iteeeiii…. (sakit.. sakit..)”. More

Bila Allah di”bahan ketawa”kan..

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Sudah lama aku nak letakkan kisah ni di SangPelangi. Namun, setiap kali menghadap ruangan menulis di WordPress, pasti cerita lain pula yang keluar. Otak aku ini sebetulnya telah padat dengan beribu cerita. Ada saja benda yang ingin ditulisnya. Kalau dilihat dari senarai “Drafts”, memang bersusun-susun tajuk yang kesemuanya ditulis sehingga berhenti di pertengahan. Ini disebabkan aku dilanda satu penyakit. Penyakit “Semua-Benda-Nak-Cerita” ini memang tak pernah lari dari dunia seorang penulis blog tegar. (aku cuma petanda awal saja, masih belum kritikal lagi kesannya).

Baiklah. Beginilah riwayatnya.

Siapa yang tidak kenal dengan Suguro Sensei di sini. Pensyarah yang sangat berumur dan ceria. Bertindak sebagai seorang ‘datuk’ kepada ‘cucu-cucu’nya menyebabkan beliau disenangi semua orang termasuk pekerja pembersihan. Walaupun telah pencen sejak lima tahun lepas, pihak kolej telah melanjutkan perkhidmatannya secara kontrak atas permintaan anak-anak murid yang tak mahu melepaskan pemergiannya. Bayangkanlah begitu akrabnya hubungan Suguro Sensei bersama “dunia perguruannya”.

Perhubungan aku dan Suguro Sensei juga tak kurang mesra. Selalu berutus surat melalui akaun mel kolej. Ada saja topik yang dibincangkan. Beliau menghantar artikel lalu aku mengulas. (baca: artikel ceduk dari laman berita dan lain-lain) Diikuti artikel kiriman aku pula untuk dikomen. Semuanya bermula dengan sebuah artikel bertajuk “Skop Kesihatan: Bukti Puasa itu Menyihatkan”. More

Puasaku dirai..

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Lemah longlai aku menapak. Tingkat empat dirasakan seperti bertingkat-tingkat sebuah kondominium. Terasa aku seperti bukan menaiki tangga, tapi tangga itu seakan bergerak ke atas. Sesekali aku melihat jam di lengan. Ada sebelas jam lagi menjelang waktu berbuka.

Inilah akibatnya kalau tak bangun sahur. Bayangkanlah, segala juadah sahurku yang tersusun di atas meja. Roti, jem coklat, tin milo, epal, kurma dan entah apa lagi yang tak termasuk senarai. Bukan setakat dua biji jam loceng dah aku kunci, tak termasuk “alarm” di laptop dan dua biji telefon bimbit lagi.

Sayang sekali. Bunyi-bunyian itu cumalah sebagai lagu dodoian saja. Membuatkan lenaku bertambah asyik. Walaupun sedih tak dapat bangun sahur, aku mesti tetap bersyukur sebab Dia masih mahu membangunkan aku ketika waktu subuh. Dalam “kemeriahan” bunyian itu, tetap bunyi azan di laptop juga yang berjaya membangkitkanku. Aku tekad. Akan aku buatkan semua jam loceng dan telefonku melaungkan azan nanti. Tengoklah.. More

Entri Terkini
Entri Malar Segar
Sahabat SangPelangi


Rainbow Ribbon by eCoverApple.