Bilakah waktu jujur yang paling jujur?

Pada October 17th, 2008, ia ditulis oleh Al-Irfan

Dalam pelukan itu, sayup terdengar suara dia berbisik,

“Irfan, aku mahukan sebuah hadiah yang lebih mahal dari ucapan selamat tinggal.”

-”Apa itu?”

balasku sedikit sentak.

“Selama perkenalan kita, aku mahu kau menyebut keburukan diriku yang tertulis di kaca matamu.”

Bertambah pelik.

-”Untuk apa?”

“Kerana sekarang ini, adalah waktu yang paling jujur di antara yang jujur.”

-”Baiklah. Selama perkenalan kita, cara kau bercakap tanpa lapik dan kawalan emosi. Aku pernah terguris, tapi dah lupakan semuanya.”

“Keikhlasan kata-kata kau ini, akan menjadi saksi persahabatan kita. Aku berazam, bermula di sini, aku akan jadi insan yang lebih berhati-hati dalam menjaga perasaan orang.”

Aku serba tak kena. Sepertinya aku juga ingin mendapat hadiah semahal itu.

-”Ku mohon, kau kutuklah peribadi insan yang di depanmu juga.”

“Irfan yang aku kenal, orangnya tak ada sabar. Kemarahannya tak menentu. Semoga aku melihat Irfan yang lain di masa mendatang.”

-”Terima kasih, kawan. “

sambil berpesta tangis (sesama lelaki).

Terasa betapa deritanya untuk meleraikan dakapan seorang sahabat. Yang dulunya pernah sama-sama berkongsi tadahan airmata, dan kantung ketawa. Aku cuba membuka genggaman salam pula. Tak bisa, ada ribuan rantai.

Kalian semua, jangan malu segan bertukar kritikan diri pada waktu tersisa di hujung pertemuan. Percayalah, ia rakaman terbaik yang paling bernilai untuk dimain semula. Semoga hari itu, adalah titik perubahan terbesar di dalam diri kita.

p/s: Ditulis pada 12 September 2008. Sebuah pengalaman ketika di bangku sekolah bersama seorang sahabat. Biarlah aku rahsiakan namanya.

*Untuk entri ini, aku tak buka ruangan komentar. Kerana sedang melayan perasaan bersama jendela dan berteman bulan bintang.

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya. Klik tajuk di bawah.