Bila Allah di”bahan ketawa”kan..

Pada September 17th, 2007, ia ditulis oleh Al-Irfan

Sudah lama aku nak letakkan kisah ni di SangPelangi. Namun, setiap kali menghadap ruangan menulis di Wordpress, pasti cerita lain pula yang keluar. Otak aku ini sebetulnya telah padat dengan beribu cerita. Ada saja benda yang ingin ditulisnya. Kalau dilihat dari senarai “Drafts”, memang bersusun-susun tajuk yang kesemuanya ditulis sehingga berhenti di pertengahan. Ini disebabkan aku dilanda satu penyakit. Penyakit “Semua-Benda-Nak-Cerita” ini memang tak pernah lari dari dunia seorang penulis blog tegar. (aku cuma petanda awal saja, masih belum kritikal lagi kesannya).

Baiklah. Beginilah riwayatnya.

Siapa yang tidak kenal dengan Suguro Sensei di sini. Pensyarah yang sangat berumur dan ceria. Bertindak sebagai seorang ‘datuk’ kepada ‘cucu-cucu’nya menyebabkan beliau disenangi semua orang termasuk pekerja pembersihan. Walaupun telah pencen sejak lima tahun lepas, pihak kolej telah melanjutkan perkhidmatannya secara kontrak atas permintaan anak-anak murid yang tak mahu melepaskan pemergiannya. Bayangkanlah begitu akrabnya hubungan Suguro Sensei bersama “dunia perguruannya”.

Perhubungan aku dan Suguro Sensei juga tak kurang mesra. Selalu berutus surat melalui akaun mel kolej. Ada saja topik yang dibincangkan. Beliau menghantar artikel lalu aku mengulas. (baca: artikel ceduk dari laman berita dan lain-lain) Diikuti artikel kiriman aku pula untuk dikomen. Semuanya bermula dengan sebuah artikel bertajuk “Skop Kesihatan: Bukti Puasa itu Menyihatkan”.

Suguro Sensei adalah guru bahasa Inggeris. Sungguh bertenaga walaupun lanjut usia. Suasana kelas pasti meriah dengan senda gurau dan hilai tawa. Pernah dia menghadiahkan aku sebuah kamus Inggeris-Jepun setebal Kamus Dewan. Katanya sudah penuh almari di rumah hasil percuma 10 buah dari pemborong buku setiap tahun. Lihatlah. Betapa mesranya aku dengan Suguro Sensei.

Pada suatu hari (dah macam ceritera kanak-kanak pula)…….

Aku terkedip-kedip. Kelopak mata ini terasa sungguh berat. Aku jarang tidur di dalam kelas. Kendatipun kuliah itu membosankan, pasti ada saja kegiatan bebas yang ku cipta sendiri, seperti melukis wajah pensyarah, melakar logo atau corak kerawang dan macam-macam lagi. Apatah lagi dalam kuliah Suguro Sensei.

Aku takkan semudah itu untuk tidur dalam kelas. Walaupun Isnin adalah hari kebiasaan aku berpuasa sunat, entah kenapa hari itu, aku betul-betul keletihan. Kebiasaannya, sesiapa yang mengantuk, pasti akan disergah. Atau Suguro Sensei akan mengusik dengan soalan-soalan peliknya. Semua orang pasti akan tertawa.

Askar syaitan memang ganas. Habis dihentamnya kelopak mataku ini dengan tongkat kantuk. Aku sudah tidak dapat menahan lagi. Tindakan refleks luar kawalan telah menyebabkan mata ini terkatup. Aku terlena antara dua dunia. Antara pejam dan celik. Antara lena dan jaga.

Aku tetap duduk seperti biasa. Badan tegak dan tangan memegang pensel. Cuma mata saja yang terlitup. Mungkin teknik penyamaran ini terlalu streotaip dengan gaya yang diamalkan oleh mana-mana penuntut di dunia. Malang sungguh gaya lakonan itu dapat dikesan oleh Suguro Sensei.

Dengan nada berseloroh, Suguro Sensei menegur aku dari jauh.

“Irfan-san.. Allah tak nampak, tapi saya nampak awak tidur..”

Habis gelak seluruh kelas. Gurauan itu cukup menggelikan hati rakan-rakan seJepun yang lain.

“SOREWA KANKEI NAI DESU YO!!!” (Itu memang tak ada kaitan langsung!!!) dengan nada marah.

Tiba-tiba terpacul ayat itu dari mulutku. Tanpa dikawal. Monolog bertukar dialog. Jujur yang tak tepat pada masanya adalah suatu yang membahayakan. (penyakit bahaya ini aku alami bila keadaan agak mendesak. Aku pernah melaluinya sebelum ini).

Walau mata ini ‘mati’, telingaku masih tetap ‘hidup’. Kata-kata gurauan Suguro Sensei itu sedikit mendesing gegendang telinga. Jantung berderap pantas. Hati sedikit panas, terbakar mendengarkan itu.

Suasana kelas bertukar sepi. Bunyi penghawa dingin menguasai ruang. Semua mata tertancap padaku. Suguro Sensei tiba-tiba membatu. Semua orang seakan gelisah.

Aku bersahaja. Berlagak seperti tiada apa berlaku. Dengan pensel masih di jari dan mata tertumpu di buku. Sebetulnya aku berasa bersalah kerana tak dapat mengawal mengantuk dalam kuliahnya. Tapi, kesalahanku ini tak sepatutnya dibalas dengan hukuman yang sebeban itu.

Ya betul. Kemarahan itu ibarat api. Dan syaitan itu bisa mengipaskan api menambah semarak. Tapi, di mana hendakku cari air buat simbahan bara itu? Aku takkan bisa menutup lohong gunung berapi dengan sehelai ’sabar’ yang nipis. Apatah lagi bila mendengarkan namaNya dijadikan bahan ketawa.

Kalau sempat ku sukat, hampir seminit suasana itu kekal senyap sebegitu. Dunia seakan berhenti dari putaran. Jarum jam kekal di nombor sama. Burung-burung terpacak tak bertiang, kaku tak berterbangan. Cuma entah kenapa penghawa dingin itu tetap berdegil. Masih berbunyi walau alam bumi telah kugenggam.

Tiba-tiba Suguro Sensei memulakan patah bicara.

“Saya betul-betul minta maaf pada awak.”

Tersekat-sekat. Riak mukanya tak kusangkal lagi. Benar-benar seperti seorang pesalah yang dihadapkan ke mahkamah.

“Saya pun nak minta maaf pada Sensei. Sebab tertidur dalam kelas Sensei. Tapi…”

Aku turut meminta maaf. Dengan harapan keruhan air itu kan menjernih semula. Cuma pendirian itu mesti aku pegang. Benang ini bukannya basah untuk ditegakkan. Ia sememangnya benang dawai yang sedia lurus sejak aku kenal siapa Dia.

“Saya tak sepatutnya mengaitkan agama awak dalam gurauan saya. Saya tahu orang Islam sanggup mati kerana agamanya. Saya benar-benar minta maaf.”

Hampir jatuh berderai air mata Sensei. Tapi seperti ditahan serak-serak basah suaranya.

Aku cuma mengangguk. Tiada apa lagi yang ingin disuarakan. Sesungguhnya gaya Suguro Sensei itu membuatkan aku kagum. Benar-benar profesional dan menampakkan ciri-ciri seorang guru yang berkaliber. Tak hairanlah jika kontrak perkhidmatannya dilanjutkan sehingga ke akhir hayatnya.

Dialog kami tak ubah seperti sebuah teater yang dipentaskan. Penuh khusyuk ditonton oleh rakan-rakan sekelas. Sebuah kisah yang benar-benar dramatik membuatkan masing-masing dengan penghayatan yang sungguh asyik.

KRRIINNGGGG…..

Ah.. Episod terhenti. Loceng tamat kelas berbunyi. Keesokannya, hari berjalan seakan tiada apa yang berlaku. Aku masih tetap dilayan seperti dahulu. Cuma gurauan kawan-kawan selepas itu kulihat seperti agak terbatas. Mungkin mereka bimbang kalau-kalau gurauan mereka nanti agak keterlaluan buatku.

Suguro Sensei masih tetap seperti dulu. Hubungan kami semakin akrab dan pertukaran buah fikiran tetap rancak.

p/s: Suguro Sensei nak bertandang ke Malaysia bersama anak perempuannya. Katanya nak pegang KLCC.. hahaha…

p/p/s: Episod Bomoh Pelembut Hati (dalam proses). Pengalaman sebenar dari alam sekeliling ketika sekembalinya aku ke Malaysia baru-baru ini. Kini dilanda demam peperiksaan. Jadi, cerita bomoh ini terpaksa ku tahan.

Sudah menjadi ahli Sahabat Sang Pelangi? Ada hadiah bonus, tau. Sila masukkan:

Nama Panggilan:
Alamat Emel:

Sila semak peti emel anda untuk melihat balasan dari saya (termasuk di kotak SPAM). Jika tidak menerima apa-apa, boleh hubungi saya di ruangan kontek di atas, ya?


Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.