Berbuat baiklah dan lupakan kebaikan itu.

Pada April 27th, 2009, ia ditulis oleh Al-Irfan

Manusia sering tersenyum melihatkan cerianya tujuh warna pelangi ini, sedangkan ia cuma biasan airmata gemawan yang murung. Begitu jua perasaan SangPelangi kebelakangan ini, dek mengenangkan nasib manusia di muka bumi,  mengeluarkan jari-jemari menghitung sendiri berapa banyak kebaikan yang telah mereka perbuatkan. Katanya, mereka giat menabung untuk menampung ongkos tiket ke syurga.

Mual aku mendengarkan senarai kebaikan golongan sebegini, yang disiram ke telingaku saban hari. Bertambah bingung andai difikirkan, apa tujuannya dia memberitakan kebaikannya sendiri?  Terkadang, mengundang tangis di puruk hati, kerana baru kutahu kebaikan tadi tidak disemat niat yang suci. Apalagi kalau dihumban dengan kata-kata sebusuk ini,

Ha kamu. Tadi aku telah berbuat baik kepadamu. Jadi, kau harus mengikut telunjukku.

Aku terdiam, malah tercari-cari apa yang harus kuungkapkan lagi.  Andai Tuhan rupakan kebaikannya tadi berbentuk kaca, sudah lama aku hempaskan ke tanah, biar berkecai, seremuk hatiku seperti sekarang.

Kepingin benar kulempiaskan beberapa persoalan kepadanya. Apa kau lupa mengimbangkan jumlah simpanan amalmu, dengan rezeki Tuhan yang didebitkan kepadamu? Belum dicampur pengorbanan ibu yang melahirmu, dan jasa guru menabur ilmu. Jadi, usahlah kau bongkak dengan kebaikan yang sekecil liang celahan gigi, kerana Tuhan baru saja membilasnya dek ketiadaan ikhlas dalam dirimu.

Berbuat baiklah dan lupakan kebaikan itu.

Semoga kata-kata dari arwah Tok Aki ini, akan kugenggam hingga tiadanya nafasku lagi.

p/s: Oh Tuhan, hindarkan daku dari keluhan yang tiada hujung, dan datangkan syukur yang tak pernah putus.

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya. Klik tajuk di bawah.