Bedah Buku : Dinding Kebodohan

Pada September 9th, 2008, ia ditulis oleh Al-Irfan

Setelah hampir dua tahun lebih mengikuti perjalanan gerak kerja IPIJ, ada satu aktiviti rasmi yang aku lihat sekarang seperti sudah sebati di kalangan kami. Aktiviti itu (atau bisaku bahasakan ia ‘budaya’) dikenali sebagai budaya mem”bedah” buku.

Macam-macam cara dan teknik yang diperkenalkan. Ada satu cara itu, subtopik dibahagi-bahagikan kepada setiap ahli kumpulan untuk dibedah, kemudiannya dihimpunkan semula untuk dibincangkan. Contoh lain pula, semua orang diwajibkan membaca keseluruhan buku, kemudiannya dibincangkan di dalam kumpulan kecil. (Tugas berat tersandar di bahu moderator, kerana mereka pasti akan menggigit dan mengunyah buku itu supaya dapat disimpulkan sebaiknya nanti. Hehe)

Baka No Kabe (Dinding Kebodohan) sasaran buku yang akan dibedah.

Mula-mula, aku tak nampak apakah faedahnya program sebegini. Aku sangka ia cuma akan membuatkan aku menguap lalu terhangguk-hangguk berzikir dengkur. Apa bisa aku seronok dengan buku yang diulas orang kalau sendiri tak menikmatinya, kan?

Tafsiranku melecet. Sebenarnya program inilah yang membuatkan aku begitu teruja, bukan saja untuk membaca, malah rakus untuk menyelongkar keluar isi perut sesebuah buku lalu dinikmati bersama. Menyelerakan sekali.

Relevannya, kemampuan menyerap buah fikiran yang tercetak di buku adalah berbeza bagi setiap orang. Kadar penumpuan masing-masing berlainan. Ada yang bisa meragut 10 isi penting, tapi di pihak lain mungkin cuma satu idea saja. Ada juga isi penting yang terlepas pandang, sedangkan tanpa disedari ia adalah pokok bicara. Maka, itulah pentingnya perbincangan. Semua berkumpul semula untuk berkongsikan hasil pendapatan. Kalau mahu melihat contoh kompilasi rumusan projek bedah buku kami, boleh ke laman Inda Hayati untuk mengetahui perkembangannya.

Kini, ada satu lagi trend baru di dalam budaya membedah buku ini. Tak salah kalau aku istilahkan ia sebagai “Kupas dan Ulas” (rindunya dengan durian, nyum..nyum..). Kini, blog pula yang menjadi medan perantaraannya.

Bagi aku, perkataan “kupas” itu merujuk pada perbuatan membaca, memahami dan mengenalpasti poin utama untuk di”ulas” nanti. Proses ini sama analoginya dengan perbuatan mengupas kulit durian, kerana mengkehendaki tenaga, masa, malah wang yang lebih (jika perlu).

Perkataan “ulas” pula, bermaksud membawa keluar poin utama tadi untuk dibahasakan dengan lenggok bicara yang mudah lagi santai. Biar tak banyak yang dapat di”ulas”, sedikit ayat sahaja pun sudah memadai sebenarnya. Langkah ini biasanya memperuntukkan kemahiran menganalisis maklumat yang agak kritikal, supaya mesej yang ingin disampaikan jelas. Kritikan juga boleh diselitkan sekali agar buku itu dapat dilihat dari sudut yang berbeza dan tidak berat sebelah.

Jadi, siapa yang akan men’jamah’nya pula di akhir proses nanti? Kitalah orangnya. Hihihi..

Mahu lihat contoh konsep “kupas dan ulas” ini? Sword of Allah : Khalid bin Al-Waleed (oleh sahabatku, Naim Othman), Men Are from Mars, Women Are from Venus (oleh Ustaz Hasrizal), Winning (oleh seniorku, Samurai Syahid) dan Genius Muhammad bin Abdullah beserta The Sealed Nectar (oleh seniorku, Bro Luqman). Di mana aku? Ya. Itu jadi persoalannya. Aku sudah berkira-kira untuk menghayunkan langkah yang serupa.

Baiklah, oleh yang demikian, aku dengan ini berazam untuk turut memeriahkannya. Aku sedang dalam proses mencerna sebuah buku yang dikatakan agung di kalangan orang Jepun. Dikarang oleh seorang ahli falsafah Jepun yang terkenal, Dr. Takeshi Yoro, yang dulunya profesor di Universiti Tokyo. Ianya bertajuk, “Baka no kabe” yang bermaksud ‘Dinding Kebodohan’.

Dr. Takeshi Yoro

Buku yang pada asalnya dalam tulisan Jepun ini, pasti akan membuatkan aku merangkak-rangkak untuk membacanya. Mungkin makan bertahun-tahun untuk menghadamnya. Nasib menyebelahi aku bila Wong Fei Hung (kalian yang sudah membaca Siri Dialog Kritikal, pasti mengenali beliau) mengatakan bahawa buku itu sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Lalu, kami berdua bergegas ke perpustakaan untuk menjejaknya. Alhamdulillah, berjaya.

Baka No Kabe yang sudah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, The Wall of Fools.

Dilancarkan April 2003, ‘Dinding Kebodohan’ telah tersenarai dalam Bestseller sehingga 4 juta unit terjual sudah. Buku itu menegaskan bahawa manusia tidak akan mendengar dari orang lain tentang apa yang mereka TIDAK MAHU dengar. Agak pelik bunyinya. Ulang bacaan jika masih tidak mengerti.

Dr. Yoro telah menulis tentang apa puncanya sesetengah orang itu gagal untuk berkomunikasi, iaitu dengan adanya wall of foolishness yang ada dalam diri masing-masing.

Menariknya teori Dr. Yoro ini, setelah diaplikasikan di dalam politik Jepun, dapat dikesan bahawa suasana politik di Jepun telah dikelilingi oleh dinding-dinding kebodohan yang ketika itu, orang yang sepatutnya bertanggung jawab di dalamnya adalah Perdana Menteri Jepun sendiri, iaitu Junichiro Koizumi. Apabila ditanya adakah Dr. Yoro dapat memecahkan dinding-dinding kebodohan itu (seperti yang diharapkan oleh semua rakyat Jepun), beliau cuma menjawab, “Saya tak letak harapan yang tinggi”.

Walapun baru saja menyelesaikan Chapter 1, aku sudah merasakan tidak senang dengan buku ini. Ada ‘jiwa’ pelik di dalamnya. Idea yang dibawa oleh Dr. Yoro seperti perjalanan sebuah Roller Coaster, membuat aku terhuyung-hayang sehinggakan ingin termuntah. Di satu saat, aku melayang dengan idea yang sehebat-hebat idea. Kemudian, tiba-tiba di saat yang lain, aku jatuh menjunam dengan idea yang sedangkal-dangkal idea.

Contoh ideanya yang baik, apabila seseorang itu sudah tahu tentang sesuatu perkara itu, kebiasaannya dia akan mengatakan “Oh, saya dah tahu benda ni”. Maka sebenarnya orang itu telah mencipta satu dinding yang dinamakan sebagai wall of foolishness di dalam otak mereka, di mana dinding itu akan menghalang segala maklumat yang masuk dari luar otak. Di dalam buku itu, Dr. Yoro turut membawakan bukti penemuan barunya itu. (akan aku ulas di entri mendatang)

Contoh ideanya yang teruk pula, apabila beliau katakan bahawa Tuhan dan agama adalah unsur ciptaan manusia untuk menidakkan kemampuan akal pemikiran. Aku cuplik sedikit ayat buat merenggot semangat inkuiri kalian. Haha.

Can it really be that simple to ‘understand’ reality? No, as a matter of fact, it isn’t. That’s why mankind has always wanted something that is certain and created religions. Monotheist religions, such as Christianity, Judaism and Islam, were created on the premise that reality is extremely uncertain.

Bagaimana? “Panas” bila membacanya ,kan?

Walau bagaimanapun, demi menghormati Ramadan yang mulia ini, aku menghentikan dahulu segala penyelongkaran buku ‘berbahaya’ ini demi menumpukan pada buku yang lagi satu. Bukankah bulan Ramadan ini adalah bulan Al-Quran?

Kalian nantikan saja edisi khas ‘Dinding Kebodohan’ ini tika di Syawal nanti, ya? :lol: Akanku ulas satu persatu, chapter demi chapter agar aku tidak kehilangan jejak. Doakan aku agar terus diberi ruang, walau sehela nafas untuk terus menjahit waktu, supaya dapat MEMBERI sesuatu buat kamu. Juga untuk kita.

p/s: Oh, lagi sepuluh minit nak fajar. Aku ingin bersahur. Jalan dulu ya kawan-kawan.

Sudah menjadi ahli Sahabat Sang Pelangi? Ada hadiah bonus, tau. Sila masukkan:

Nama Panggilan:
Alamat Emel:

Sila semak peti emel anda untuk melihat balasan dari saya (termasuk di kotak SPAM). Jika tidak menerima apa-apa, boleh hubungi saya di ruangan kontek di atas, ya?


Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.