Akukah itik berbahasa ayam??

Pada January 31st, 2007, ia ditulis oleh Al-Irfan

Kisah ini baru berlaku malam kelmarin.

Di mana sedikit sebanyak memberi aku gambaran sebenar dengan tahap orang Jepun yang selalu mereka bangga-banggakan. Coretan ini bukan untuk bertujuan untuk riak ataupun menunjukkan siapa yang lebih hebat. Tapi, ia sekadar untuk renungan semua bahawa kita sebagai manusia ada kurang dan ada lebihnya.

Aku bersama rakan-rakan seJepun yang lain menyertai satu aktiviti yang dianjurkan oleh pihak pengurusan asrama iaitu Pertandingan Kuiz. Peserta kuiz dibahagikan secara bertiga-tiga mengikut kumpulan aras. Ditakdirkan pula aku ditempatkan sekumpulan dengan “fuikichou” (ketua blok).

Untuk pengetahuan semua, Fuiki ini memang sudah lama menyimpan dendam padaku (aku agak saja). Sejak mula aku mendarat di kaki Fuji ni, ada saja salah yang dicari.

“Irfansan.. korewa dame desu!!.. sorewa dame!! ” (itu salah.. ini salah..). Sehinggakan apa saja yang aku buat semuanya salah. Sudah sememangnya aku takkan ulang kesalahan yang sama. Jadi, pasti ada saja kesalahan-kesalahan baru yang sempat Fuiki catatkan untuk dilaporkan pada pejabat.

Bila bertembung, jangankan nak dengar aisatsu (ucapan selamat), sekelumit batuk pun takkan keluar dari mulutnya. Jalan menonong tak toleh-toleh. Biasanya, memang aku yang mula menegur dulu. Ohaiyo, Konnichiwa, Konbanwa.. paling mudah pun ucapan “Uuuss…” (untuk singkatan aisatsu). Kalau Fuiki memberi respon, itu tandanya hari itu adalah hari-hari bertuah dalam hidup aku. Hehehe..

Apabila diputuskan aku sekumpulan dengan Fuiki, terasa inilah peluangnya untuk aku menjernihkan keadaan. Tiada lagi ruang-ruang seperti ini yang membolehkan aku bergaul dengan Fuiki. Aku pasti, kekeruhan ini takkan pernah berpanjangan.
Aku tetap ingin berbual dengannya. Memang jadi tabiatnya tak melihat wajahku tatkala berbual ataupun bersuara. Egonya melangit, setinggi muncungnya yang ditarik senget. Aku tetap begitu. Bertebal muka, cuba-cuba mencari modal untuk berbual mesra. Sesekali aku menanyakan semula berulang kali soalan yang diputarkan untuk peserta lain pada Fuiki. Ya.. semacam itulah respon yang aku terima.

Kini tibalah giliran kami bertiga untuk menyelesaikan peringkat terakhir (kerana kami tergolong dalam kumpulan yang paling hujung).

Kalau tak faham soalan, jangan angkat tangan dulu. Fikir betul-betul sebelum jawab“, Fuiki berkata dengan jelingan sinis, menganggap aku seekor “itik” yang berbahasa ayam, seolah aku tak mampu memahami persoalan kuiz dengan mendalam.

Aku cuma berdiam dan mengangguk. Mahu diapakan lagi? Aku mengaku memang aku adalah “pendatang” di sini. Masakan mampu menjawab soalan yang tahap tinggi? Cumanya agak terkilan sedikit apabila dipandang sebegitu.

Pengadil menjerit mengumumkan…Nihonno Jyoushiki desu (kategori Pengetahuan Am Jepun).

“Kategori ni cuma orang Jepun saja yang tahu. Sebab ia berlaku di sekitar Jepun. Memang mencabar soalannya.” Fuiki menampakkan keyakinannya. Wajahnya penuh bersemangat bersedia untuk mengangkat tangan.

Aku mula menggelabah. Soalan yang diutarakan belum tentu aku memahaminya 100%, apatah lagi mahu menjawab dengan sempurna. Lagi pula kami kumpulan terakhir, pusingan ini adalah penentuan untuk memilih aras blok asrama yang juara. Terasa tanggungjawab itu terhentak di tulang belakang dengan beratnya.

Penyoal dengan lantang bersuara ” Soalan Pertama..Apakah singkatan untuk NCT??”

Haa..?? Aku cuba memahami soalan itu tersebut. Sukar dipercayai soalan senang pula yang keluar. Inikah soalan bertahap tinggi yang digembar-gemburkan Fuiki itu? Ia adalah untuk singkatan nama kolej kami.

Yang menghairankan, semua kumpulan berebut-rebut untuk menjawab tapi kesemuanya salah. Mana mungkin nama kolej sendiri pun sudah lupa? Memanglah mereka mengutamakan bahasa ibunda, tapi sekurang-kurangnya, cubalah untuk menghafal nama Inggeris bagi nama kolej sendiri.

Aku pun mengangkat tangan untuk mencuba nasib. Suasana dewan jadi senyap. Memerhatikan aku dengan tekun dan memasang telinga dengan betul.

Numazu.. National… College.. of.. Technology...” dengan Microfon, sepatah-sepatah perkataan itu aku sebut.

“Ya.. ada perkataan “OF“… jadi jawapan bagi kumpulan aras tiga adalah sangat tepat..” Pengadil bersorak seiring suasana dewan yang semakin gamat dengan tepukan.

Aku cuma menggeleng-gelengkan kepala. Terasa menjawab soalan budak tadika. Fuiki pula tunduk tak bersuara. Entah apa yang bermain di minda.

Pengadil menjerit lagi mengumumkan…Nihonno Uta desu” (kategori Lagu Jepun). Dalam kategori ini, sedutan bagi sebuah lagu akan dimainkan selama dua saat dan peserta perlu meneka tajuk lagu dan penyanyinya.

Kategori ini memang awal-awal aku menyerah kalah. Bukan selalu aku mendengar lagu-lagu Jepun. Bahkan jika adapun, cuma dua tiga buah lagu yang aku minat dan jarang pula aku mainkan. Minatku cuma nasyid dan rock kapak.. itu sahaja. Jadi, aku serahkan bulat-bulat pada Fuiki. Mungkin dia lebih arif dalam bab ini.

Bersedia…. play!! (lagu pun dimainkan 2 saat) teng, teng tengteng teeeenggg….” (sila baca dengan berlagu ya?)

Belum sempat lagu tu habis dimainkan, tangan aku semacam bergerak sendiri. Memang aku tahu lagu ini. Memang lagu ini jadi siulan rakan-rakan seMalaya sedang kami bersiar-siar di sekitar Jepun.

“Konna Yuki..Romeoromen karano” (Konna Yuki, dari penyanyi Romeoromen) Aku menjawab dengan penuh yakin (aku bukannya “mat yakin” ya? harap maklum), tapi tetap gerun dengan penonton yang bertukar sepi.

“Seikai desu” (Tepat sekali!!!) Pengadil pun sepantas kilat mengiyakan.

Maka gemuruhlah dewan dengan tepukan. Berlompat-lompatlah ahli-ahli aras blok asramaku kegembiraan, menanti sebuah hamper besar dalam genggaman. “Sugeiinaa irfansan..Sugoi..Sugoi..” sayup-sayup kedengaran penyokong-penyokong di belakang sana.

Akhirnya, kami diumumkan juara kerana berjaya mengatasi pungutan mata berbanding pesaing terdekat.

Fuiki tetap tunduk. Tapi, terpancar sedikit cahaya senyuman kegembiraan dari bibirnya. Ia sudah cukup membuatkan hatiku senang. Sekurang-kurangnya, dia masih tetap boleh bergembira bersama walaupun (MUNGKIN) ada menyimpan dendam denganku.

Sebelum melangkah pulang, terasa bahu aku ditepuk dari belakang. Kelihatan wajahnya berseri-seri sambil dihulurkan tangannya. Tangan itu bersambut erat. “Malunya aku jadi orang Jepun. Soalan senang macam tu pun susah nak jawab.” Sambil tersenyum kambing.

dan kami pun berjalan pulang… sambil berbual ramah..

Penamatnya, kami bersahabat baik.

(bosan betul penamat cerita ni, semacam tak ada yang istimewa di penghujungnya)

Moral: “Api jangan dibalas dengan api, lawan dengan air” pesan arwah atok aku dulu-dulu. Ingat tu ‘adik-adik’.

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya. Klik tajuk di bawah.