Aku menganut, bukan kerna nama.

Pada September 6th, 2008, ia ditulis oleh Al-Irfan

“Izdihar, nanti Mama nak keluar. Cuaca dah mendung, jangan lupa angkat jemuran, ya?”

Si ibu memberi pesan kepada anak daranya yang seorang.

“Baik, Ma.”

Dia menjawab ringkas sambil mengangguk.

Dengan berkereta, si ibu dan ayah pun bertolak ke sana. Memenuhi jemputan walimatul urus di hujung kampung, rumah si Mak Bedah.

Kali ini si ibu dan ayah terpaksa meninggalkan anak dara mereka keseorangan di rumah. Kerisauan mula timbul kerana sebelum ini Izdihar tidak pernah melakukan kerja rumah sendirian. Selalunya kerja seharian mereka ditolong oleh pembantu rumah. Apakan daya, pembantu mereka baru saja pulang ke tanah seberang untuk berjumpa suaminya yang kahwin lagi satu.

Selesai menyaksikan ‘makan beradat’, si ibu cepat-cepat mengajak suaminya pulang ke rumah. Hatinya meronta-ronta kegelisahan. Entah apa yang terjadi di rumah itu. Selepas mencapai ‘bontrot’, sepantas kilat si ayah memandu laju.

Sekembali di rumah, alangkah terkejutnya mereka. Jemuran yang diperingatkan tadi, bukan saja setakat diangkat, malah sudah siap bergosok dan terlipat di dalam almari. Teringin dipeluk anak kesayangan mereka itu, tapi Izdihar telah tertidur kepenatan di atas sofa.

Ketika itu, barulah si ibu terdetik sejuknya perut mengandungkan dia. Si ayah rasa tak sia-sia setiap hari mencari sesuap rezeki. Hari ini, anak perempuan kesayangannya baru saja menggembirakan mereka. Mereka selepas itu bertekad, apa saja yang dipinta oleh Izdihar, pasti akan dilaksanakan secepat mungkin. Atas nama sebuah kasih sayang.

TAMAT

Baiklah, kawan-kawan. Rentetan peristiwa seharian di atas, dibawa khas oleh SangPelangi sempena Ramadan yang ketujuh ini. Tahukah kalian, apa nilainya sebuah kasih sayang itu? Kasih sayang sememangnya ajaib. Ia bukan saja lahir untuk perantaraan dua hala, malah boleh jadi juga secara sehala, iaitu kepada diri sendiri.

Kisah di atas, sama juga berlaku antara kita dan Yang mencipta kita. Melalui Al-Quran, sering saja manusia diperingatkan tentang cerita gembira buat menceriakan makhluk istimewaNya. Tak lupa tentang perkhabaran yang menyedihkan buat renungan kita. Melalui kalamNya juga, kita selalu disuruh melakukan itu dan ini demi memenuhi tuntutan sebagai pentadbir di muka bumi.

Kisah di atas, streotaip sekali dengan suruhan Allah kepada kita, seperti melangsaikan lima rukun asas bergelar Muslim. Allah mengarah kita melakukan solat lima waktu. Dapatkah kita bayangkan, apakah perasaan Dia bila kita seperti Izdihar dalam cerita tadi? Bila disuruh solat fardu, kita tambah lagi dengan iringan solat sunat yang lain. Tak cukup itu, segala macam kebaikan yang dibuat semata-mata untuk menyukakan Tuhan yang selalu menjaga kita.

Semua itu kerana apa? Sudah pasti untuk memberi tanda kasih dan sayang. Hayatilah perasaanNya bila kita melakukan lebih seperti yang disaran. Seperti perasaan si ibu dan ayah yang melihat anaknya ringan tulang membantu mereka. Seperti itulah kegembiraan yang terpacul buat kita, bila dilihat sebagai hamba kesayanganNya. Malah, pasti akan dihadiahkan kita apa saja yang dicita, sesuai dalam doa yang selalu kita pinta.

Jika kalian tak menyayangi ibu dan ayahmu, jangan diucap kasih kita pada Yang Maha Satu. Kita bukan penagih candu cinta murahan. Erti hidup, kasih, dan sayang bermula dari yang memberi. Berilah sesuatu pada Dia, untuk berpayung di bawah lembayung Yang Maha Agung.

Aku menganut,

bukan kerna nama.

p/s: Entri ini adalah siri SangPelangi merenung diri, sekembalinya aku dari misi membentuk peribadi. Analogi cerita di atas dibawa oleh Ustaz Hasrizal benar-benar ‘memukul’ laci memori. “Bukan Kerna Nama” adalah tema yang diangkat sempena SummerCamp 2008 di Ibaraki, Ogos yang lalu. Pertama kali dalam hidup, aku menangis keranaNya.

p/s: Oh, ya. Cerita tu ada yang ditambah perisa. Izdihar tu, nama adik perempuan aku. Orangnya memang rajin. Haha.

Sudah menjadi ahli Sahabat Sang Pelangi? Ada hadiah bonus, tau. Sila masukkan:

Nama Panggilan:
Alamat Emel:

Sila semak peti emel anda untuk melihat balasan dari saya (termasuk di kotak SPAM). Jika tidak menerima apa-apa, boleh hubungi saya di ruangan kontek di atas, ya?


Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.