Aku, kamu, kita dan wudhu’.

Pada December 10th, 2008, ia ditulis oleh Al-Irfan

Ajarkan aku wudhu’, Ifan. Aku tidak pernah semarah ini.

Bermula perjalanan kisah makhluk yang paling ingkar diciptakan dari api, memanjat tujuan keturunannya dikekal hayat ke gerbang akhirat, aku cuba menyelongkar bagusnya wudhu’ dari perspektif kita kepada sahabatku yang ahli kungfu itu. Ditambah penjurusan minatnya pada hukum alam, dari binaan cas ion dan hingga segala teori manusia yang aku muntahkan, agar bualan kami bukan sekadar cakap kosong di warung kopi. Misinya mencapai maksud, bahawa wudhu’ bisa mengebah amarah.

Sepanjang keberadaanku di sini, berencam ilmu sempat kukutip yang berkait wudhu’, seperti khuf, tayamum dan lain-lain lagi. Terima kasih kepada teman-teman, yang tidak membiarku bersama keasyikan dunia yang penuh nista. Seperti kata sahabatku, yuran pengalaman itu tidak ternilai walau dengan matawang asing.

Di kediamanku, berkongsi bangunan bersama teman yang tidak beragama, apatah disiplin mereka yang usah dipersoal lagi; agak membataskan juga kegiatanku sehari-hari. Mengalun ayat suci walau tidak disulam lagu, pasti akan diselangi rentak ketuk di dinding kamar oleh jiran, sebagai tanda menyuruh diam kerana ketenangan yang terganggu. Sedikit sebanyak mengajarku berwaspada agar agama tidak terpalit noda.

Alang kepalang musim sejuk yang menjengah kalendar di hujung tahun, sedikit menyeksa tubuh tambah-tambah di waktu subuh. Untuk bermati-matian mengharung air yang sedingin salju demi selapis wudhu’, masih belum utuh perisaiku berbanding calar tubuh pejuang syuhada di jalan-Mu. Kadangkala dengan lenjan bersahaja kutongkat lutut di sinki demi membilas sepasang buku lali, dek culas berbolak-balik ke pemanas air berselang tiga aras. Mulanya dulu memang malu, bila segala gerak laku kita diperhati setiap inci. Mujur penawar mujarab masih tetap waktu, yang mengubat tanggap serong mereka yang tidak tahu.

Semalam, ada budaya baru yang terlihat tika membersih diri di waktu pagi.

-Err.. kenapa basuh kaki?

Aku yang berselubung hairan, bertanya dia. Sejak bilakah budak-budak Jepun ini sudah pandai membilas kaki usai menyikat gigi?

Semalam dalam mesyuarat aras, kata ketua, bagus membasuh kaki seperti kamu. Dapat mengawal suhu tubuh di musim sejuk.

Aku menepuk dahi. Mungkin ini yang namanya menarik rambu dari timbunan tepung. Atau ular yang dipakuk terus sengguk asal tanah jangan lekuk, tongkat usahkan bengkok. Mendidik tidak semestinya mengajar. Mengajar tidak semestinya mendidik. Pendek kata, strateginya di tanganku, termasuk kamu, juga buat kita.

Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya.
Klik tajuk di bawah.