Aksi cemas di “Dunia gerabak”..

Pada September 30th, 2007, ia ditulis oleh Al-Irfan

Gerabak keretapi itu berderu perlahan. Agak senyap tak berantakan. Sesekali suara operator mengucapkan salam tak sudah di setiap stesen. Cuaca panas bertukar sejuk mendadak. Ada juga sela batuk berselang seli bermacam versi.

Aku di sebelah cermin. Sedikit pening melihat pohonan satu persatu melepasi pandangan. Tak tahu kenapa tak mengantuk. Sedangkan jika aku mengira pokok-pokok itu, pastinya sekejap saja aku terlelap. “Jalan Jauh ke Ramallah” menjadi santapan.

Tak semena-mena, seorang tua di hujung sana memecah sunyi. Telapak kanan memegang dada mengerang pedih, “Arkhh.. Iteeii.. iteeeiii…. (sakit.. sakit..)”.

Aku menoleh pakcik itu dari jauh. Habis berterabur segala jajan. Bekas kertas “cikedis” kentang digenggam erat. Renyuk, seremuk hatinya yang mendamba simpati, walau tiada siapa ambil peduli. Dunia gerabak tetap sepi. Masing-masing dengan kerja sendiri. Membaca, menghadap telefon bimbit, berbual-bual atau mendengar muzik.

Cukup membuatkan aku tertanya-tanya. Pelik sebab tak diendahkan sesiapa. “Apakah orang Jepun sudah hilang peduli pada yang berusia; atau memang mereka itu penyendiri?” bermonolog sendirian. Aku masih tetap di kerusi melihat aksi si pakcik tua.

Selang seminit, dia bangkit, telapak tangan masih di dada. Mukanya penuh emosi menahan pedih. Sambil terhenjut-henjut melangkah ke arahku.

“Arkhh.. Serangan jantung ini datang lagi. Sesiapa tolong aku, ku mohon..” Serupa hero tua mengucap kalimat di hadapan kamera lagaknya.

“Ahh.. mungkin pakcik itu orang kurang siuman. Agaknya.” mungkin itulah yang difikirkan semua orang. Termasuk aku. Walau ku tahu prasangka buruk itu teruk, tapi gaya si pakcik itu bersahaja, seakan-akan sebuah lakon teater berpentaskan gerabak. Sungguh dapatku lihat riak wajahnya seperti dibuat-buat. Tertawa pula kanak-kanak dibuatnya.

Menarik. Aku anggap ia sebuah persembahan. Jujur membuatku teruja. Bisa rangkul oskar pelakon veteran, tak terlawan Jalaluddin Hassan, M.Rajoli atau Eman Manan. Aku masih di dua alam. Antara benaran atau lakonan. Takut-takut jika emosi dipermainkan.

Selepas lima enam langkah.

GEDEBUK.. pakcik itu jatuh terlentang di atas lantai.

Aku tersentak. Terkujat. Adakah ini masih di lakon layar? atau sudah benar-benar rebah ke alam realiti? Aku tetap di kerusi tepi. Tak berganjak melihat kiri kanan tetap dengan “dunia gerabak” mereka. Aku semakin cemas. Jika betul pakcik ini tidak berlakon, mengapa semua orang tidak mengendahkannya? Jika memang berlakon, apakah mesti dia sanggup melakonkan aksi rebah menyembah tanah? Terjelepuk dagu menghantuk lantai. Pedih bunyinya.

Aku serba salah. Lantas pergi ke arah pakcik itu dan mencuit. Tak bergerak. Aku menggoyang kakinya. Tiada jawapan. Aku menadah hidungnya dengan jari telunjuk menyemak nafas. Tiada.

Aku bertambah cemas. “Dunia gerabak” masih tidak berubah. Hal aku.. hal aku.. hal kamu.. hal kamu.. Entah apa sudah jadi dengan warga Jepun. Dibiar sekujur tubuh tua terbiar kaku tidak disentuh. Sudah hilang segala adab yang menjadi dewa dalam hidup seharian selama ini.

Aku papah lelaki tua itu. Membaringkannya di atas kerusi kosong. “Dunia gerabak” terus melihat dan perhati tiada reaksi. Aku tergamam tiada apa lagi yang boleh dibantu. Kebetulan aku di gerabak pertama berdekatan dengan jurupandu keretapi. Aku mengetuk cermin lutsinar memanggilnya.

Aku dan jurupandu segera mendapatkan pakcik tua. Jurupandu terkocoh-kocoh menyemak tubuh itu. Dia juga melakukan semakan yang sama dengan apa yang aku buat. Kali ini, jurupandu itu membaca pula detak nadi.

“Eh, tak bernafas, tapi jantung masih berdegup.” Beliau kehairanan. Aku apatah lagi. Koma barangkali? Aku dengan ilmu perubatan yang tidak seberapa membuat andaian. Seorang demi seorang datang merapati. Melihat-lihat kalau-kalau tahu apa yang hendak dibantu. “Dunia gerabak” sudah mula berubah memberi tindakbalas. Suasana semakin kaget.

Dalam kesibukan itu, tiba-tiba sekelip mata si pakcik tua itu bangun dan melompat.

“YATTTTAAAAAA!!!!!” (Berhasil!!!) menjerit dia kegembiraan.

Kebingungan. Bercampur geram. Mujur aku sedang berpuasa masih boleh mengawal marah. Nasib baik kerusi itu terikat dengan berjuta sendi beribu skru. Kalau tidak.. mahu saja aku.. isk..

Aku dikhabarkan oleh seorang makcik di sebelahku. Pakcik itu agak kurang akalnya. Dia sering berulang alik di laluan stesen ini setiap hari. Agak terkenal dikalangan masyarakat setempat. Gurauan pakcik yang diserang sakit jantung itu adalah biasa setiap waktu petang dan semua orang mengetahuinya. Cuma, hari itu pakcik itu melakukan peningkatan dalam lakonannya, iaitu sanggup menjatuhkan diri ke atas lantai dan bergerak kaku.

Berjaya juga si tua mendapatkan perhatian “dunia gerabak” di sekelilingnya. Hai pakcik.. jika kau adalah abahku, takkan sanggup ku lihat kau di situ saban hari. Entah ke mana anak-anak, isteri atau sanak-saudaramu. Menikmati nikmat syurga dunia tanpa kau di sisi agaknya. Kasihan.





Jika punya waktu, silakan menjenguk ke entri saya yang lain, ya. Klik tajuk di bawah.