Akidahmu berharga 10 ringgit?
Bas masih terus hidup, bergetar setempat seiring deruman enjin. Sudah hampir satu jam, ia masih belum bergerak dari terminal. Beginilah senario bas di tanah airku. Kononnya dari kaunter terjerit-jerit, “KL sekarang! KL sekarang!” Sedangkan bas baru tiba dan kau perlu tunggu hingga kesemua tempat duduk dipenuhkan.
Aku dapat tempat duduk berkembar pada barisan kedua dari belakang. Tiada berteman. Mujur ada sahabat setiaku, encik buku bernama ‘Cinta di Rumah Hassan al-Banna’, biarpun entah berapa kali aku mengkhatamnya. Saiz kompak, isi yang padat, beri kelebihan buat sang pengembara sepertiku.
Sekonyong-konyong, muncul seorang lelaki berjambang masuk ke dalam. Dari jauh di pintu depan, boleh kuagak dia ini dari Pakistan jika dinilai dari pakaian jubah tradisionalnya. Keningnya berkerut, mulutnya memunjung. Jelas, di wajahnya penuh kecamuk. Lelaki itu terus berjalan ke barisan belakang sekali dan duduk di kerusi tunggal.
Selang beberapa saat, masuk seorang jejaka dengan beg kantung di sisinya sentiasa. Pastinya dia ini pengutip wang tiket dari caranya berjalan laju dan tangannya yang menggendong buku tiket. Dia berjalan ke arah lelaki Pakistan tadi dan meminta ongkos tiket yang diperlukan. Tidak semena-mena Lelaki Tiket itu bersuara,
Aik? Mana lagi 10 ringgit? Tak cukup…
Suara Lelaki Tiket makin meninggi, amat tidak menyenangkan. Lelaki Pakistan lembut menjawab,
Tadi saya tanya awak di kaunter, 22 ringgit – KL, boleh? Awak kata boleh?
Lagak Lelaki Tiket makin membakar. Matanya mula kemerah-merahan. Dengan jari telunjuk yang menggigil-gigil, ditudingnya pada bahu lelaki Pakistan itu.
Mana ada pergi KL tiket 22 ringgit? Tanya mana-mana kaunter pun, semua letak 30 ringgit. Harga tiket bas ini 32 ringgit. Ah, bagi sini 10 ringgit.
- Saya tak cukup duit ringgit. Kena tukar di money changer. Saya bayar di KL boleh?
Lelaki Pakistan masih merayu dengan lembutnya. Simpati dan kasihan yang bertimpa-timpa dihidangkan pada wajahnya. Tulus. Lelaki Tiket pula makin tidak senang duduk dengan telatah lelaki Pakistan. Kini, suaranya sudah mencapai tona jeritan.
Ah, jangan nak menipu. Aku tahu kau ada duit. Kau Islam, bukan? Tahu tidak menipu itu berdosa?
Kali ini, lelaki Pakistan cuba mempertahankan dirinya.
Siapa tipu siapa? Saya sudah tanya awal-awal, tapi awak tak cerita harga 32 ringgit?
Lelaki Tiket melepaskan beg kantung dari bahunya dan meletakkan di sebelah kerusi yang kosong. Dirapatkan tubuhnya pada lelaki Pakistan.
Hello, Bangla. Aku dah banyak jumpa orang macam kau. Pura-pura tak ada duit, ya?
BUKK!!
Sebuah penumbuk hinggap ke perut lelaki Pakistan. Terbongkok-bongkok lelaki Pakistan itu menahan perit, pada masa yang sama, masih merayu dan terus merayu,
Jangan macam ini, kawan. Saya sini empat bulan baru datang. Jangan buat ini macam, kawan.
Lelaki Tiket mengangkat lagi tangan kanannya. Satu lagi penumbuk bakal dilayangkan sebentar lagi.
Sebelum sempat ia dilepaskan, sepantas kilat aku menggenggam buku limanya. Tertahan. Seluruh penghuni bas sedari tadi tetap kaku. Mereka beku memerhatikan kami bertiga. Dalam waktu itu, perlahan aku menyelitkan not merah ke dalam genggaman penumbuk Lelaki Tiket itu.
Namun, Lelaki Tiket menepis pemberianku,
Tak payah, Bro. Bro duduk situ diam-diam, simpan duit ini baik-baik. Pendatang macam dia ini memang patut diajar.
Perlahan kubisikkan pada telinganya,
Tuan, ambil duit ini. Selesai masalah. Tak payah bertumbuk-tumbuk.
Lelaki Tiket masih berdegil, tidak langsung mengendahkan kelibatku di situ. Dia meluru semula ke pintu bas, dan menjerit dari jauh,
Kau, Mat Bangla. Cepat turun! Kalau tidak, aku panggil polis.
Lelaki Pakistan terdiam. Dia memandangku penuh sayu. Perlahan kuhulurkan tanganku yang berisi 10 ringgit itu padanya.
Ambil ini, bayar pada dia.
Sepantas kilat lelaki Pakistan menyambar tanganku dan turun dari bas bersama Lelaki Tiket. Selang beberapa saat, mereka berdua naik semula dan meluru ke arahku. Lelaki Tiket berkata dengan nada tinggi,
Hari ini saya maafkan dia, Bro. Kalau 10 orang Malaysia macam bro, kayalah pendatang.
Dalam renung yang dalam jauh ke ceruk matanya, aku menikam dengan kata-kata,
Tuan bercakap sebagai orang Malaysia. Tapi, Tuan tidak bercakap sebagai orang Islam.
Suasana di perut bas masih sunyi dan mengikuti perkembangan kami penuh hati-hati. Biarpun ngauman enjin dan bunyi penghawa dingin tidak berhenti, Lelaki Tiket tetap berpeluh-peluh. Lelaki Tiket tidak menjawab apa-apa. Perlahan dia ke pintu keluar dan turun dari bas.
Lelaki Pakistan segera memelukku, tanpa pedulikan tubuhnya yang basah lecun dengan peluh. Airmatanya seakan-akan tidak malu bercucuran.
Terima kasih, brother. Terima kasih. Kita brother. Kita brother.
Kubalas pelukannya, seakan memujuk,
Ya… Ya… Kita brother.
Kemudian, bas bergerak, meninggalkan terminal bagi memulakan perjalanan. Lelaki Pakistan itu mohon duduk bersebelahan denganku. Dengan mesra, dia menunjukkan paspotnya sambil memperkenalkan namanya, Muhammad Waqqas. Dia menghulurkan beberapa keping wang Pakistan kepadaku. Kutolak pelawaannya, namun dia berkeras.
Ini, semuanya bernilai 10 ringgit. Ambillah. Saya bukan minta sedekah. Saya memang ada duit. Cuma belum tukar lagi.
Inilah rupa duit itu. 250 PKR (Pakistani Rupee) bernilai RM9.32. Gambar diambil di kedai sahabat, Ustaz Asyraff di Nilai.
Sepanjang perjalanan kami berbual, berkongsi cerita dan gelak ketawa. Sesekali kami berkongsi airmata, saat dia ceritakan pengalamannya dipukul majikan dan dibuli rakan sekerja dari negara lain. Sambil ditunjukkan lengan dan kakinya berparut calar balar, ceritanya amat menginsafkan aku sendiri. Ketabahannya yang menyudu hanya ratusan ringgit sebulan itu menjadi pembakar semangatku.
Bagai saudara lama yang terpisah, bagai sahabat yang rindu tidak ketemu, kemesraan kami mengingatkan aku pada diriku sendiri. Diriku sewaktu bergelar orang asing di Jepun dahulu. Aku percaya, hanya teman seakidah sahaja yang memahami, bagaimana saudaranya sangat saling memerlukan. Kenanganku bersama teman asing dari pelbagai negara benar-benar sebati dalam memori. Nostalgia sama-sama membangun tempat ibadat yang sering diburu polis kerana dituduh kegiatan teroris. Sesekali pintu dihentak Yakuza untuk meminta cukai, kerana disangka tanah itu masih milik mereka. Sedangkan jutawan Pakistan sudah membelinya dari ketua mereka untuk dibuat rumah menyembah Allah.
Kata-kata Allah ini selalu kutangkalkan jadi kekuatan diri,
Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (Al-Hujuraat, ayat 13)
P/S: Sedikit coretan dalam diari kembara saat menjelajah negara sendiri. Kisah ini adalah salah satu bab yang sedang kutekuni untuk dibukukan, ‘Manakah Islam di tanah airku sendiri?’ Doakan istiqamah menjadi temanku yang paling akrab.

h@ni berkata,
July 26th, 2010 at 10:55 pm
Salam,
Cukup berbangga dengan apa yang kamu perjuang kan..
Balas komen ini.
nbo_3 berkata,
July 26th, 2010 at 11:48 pm
Mengingatkan aku kepada masjid shinokubo. Lokasi kegemaran setiap kali naik yamanotesen. Di situ ramai orang Pakistan. Bila berjumpa tak ubah macam saudara sendiri.
Balas komen ini.
Rahmah Mokhtar berkata,
July 27th, 2010 at 1:05 am
Salam,
Tahniah tuan, kerana mempertahankan lelaki itu kerana Islam. Kasihan dia. Sebak saya membacanya.. Semoga dia terus tabah hidup di negara kita ini untuk rezeki keluarganya..
Balas komen ini.
maru berkata,
July 27th, 2010 at 3:58 am
salam.
‘Ketabahannya yang menyudu hanya ratusan ringgit sebulan itu menjadi pembakar semangatku.’
ketabahannya juga sedang membakar semangat saya. terima kasih untuk entry ini.
Balas komen ini.
TheDreamer berkata,
July 27th, 2010 at 7:54 am
Salam Bro.
Begitulah hidup sebagai orang asing. Jika kita berguna pada mereka, kita disanjung. Jika kita menyusahkan mereka, terus diperlekeh. Walau macam mana pun, walau pandai mana berbahasa tempatan sekalipun, orang asing adalah tetap orang asing di mata mereka. Ada masalah, orang asing yang pertama dipersalahkan. Itu semua jika kita tidak berlandaskan agama.
Aku membesar bersama dengan ramai kawan-kawan Pakistan di England dahulu. Mereka adalah sangat unik. Jika disana, orang Melayu menagih pertolongan dari mereka untuk mencari rumah dan sebagainya, tetapi bila masa untuk kita melayan mereka, kita perlakukan mereka begitu. Sedih.
Nostalgia di Jepun pun tidak kurang hebatnya. Aku pernah dikepung oleh 4 orang polis Jepun disebabkan aku berjanggut. Bila diminta tunjukkan ID, aku ditanya dengan nada yang keras. Tetapi, bila semua ID dah dipastikan barulah nak bermesra. Hidup sebagai orang asing adalah satu cabaran yang hebat.
Sangat setuju dengan kata-kata Irfan,
p/s: Tak sabar nak ketemu kembali. =)
Balas komen ini.
aqmar membalas pada July 27th, 2010 10:41 am:
salam…bertuah dpt jumpa dgn nya…bnyk iktibr yg diperolehi….mga perhubngn beliau tdk terputs..sama2lh memprthnkn persahabtan yg membewa berkat..insyallah..aminn..:)
Balas komen ini.
hari yang penuh dengan menungan | www.sofiancheisa.com berkata,
July 27th, 2010 at 10:34 am
[...] -akidahmu-berharga-10-ringgit.html [...]
Ainn berkata,
July 28th, 2010 at 12:33 am
Salam,
Coretan Irfan yang sangat saya suka. Mengusik hati.
Tahniah atas tindakan berani.
Balas komen ini.
Mohd zamri berkata,
July 28th, 2010 at 6:24 am
hasil tulisan dari master irfan yang sangat hebat, terharu, sedih, geram dan pelbagai lagi perasaan bila membaca tulisannya..
Balas komen ini.
putih berkata,
July 29th, 2010 at 6:04 am
assalamualaikum wbt
akan dinantikan buku yang bakal dihasilkan.. maaf saya kurang mengenali saudara, nak tanya saudara ada tulis buku sebelum ini? kalau ada boleh sertakan nama buku? kalau belum, saya doakan moga perjuangan saudara menjadi inspirasi bagi rijal lain untuk berjuang sehebat dan seiring saudara
pembaca senyap
Balas komen ini.
nanbahari berkata,
July 30th, 2010 at 3:32 am
seperti kata Pollyanna,
I’m glad.
Semoga Tuhan memberkati saudara. Semoga doa kita akan melembutkan hati manusia lainnya (a.k.a lelaki Tiket).
Balas komen ini.
h2 berkata,
July 31st, 2010 at 11:32 pm
Assalamualaikum.
Alhamdullillah, masih ada yang memperjuangkan hak saudara seIslam.
Keep it up brother. Jazzakillah khayr.
Balas komen ini.
AZLYNNN berkata,
August 1st, 2010 at 9:12 pm
Malu dgn sikap org M’sia….. Tapi tak semua manusia mcm tu kan?….
Balas komen ini.
Miera berkata,
August 4th, 2010 at 1:35 pm
Assalamualaikum…
Sikap Lelaki Tiket bukan sahaja memalukan orang Malaysia, tetapi bangsa Melayu sendiri yang mempunyai nilai kesopanan yang tinggi asalnya…
Semoga Tuan Irfan dapat berkongsi pengalaman-pengalaman menarik tuan untuk perkongsian bersama…
Balas komen ini.
akuzle ayu berkata,
August 5th, 2010 at 2:04 pm
kisah yg menginsafkan… mmg kesian org2 Pakistan neh… hubby akak pon selalu cerita kisah2 guard org2 Pakistan, 2-3 hari tak mkn coz gaji kena tipu.. ….selalunyer kena tipu ngan company tempat depa bekerja…iaitu company org2 tempatan, Islam dan Melayu… terima kasih saudara kerana menunjukkan sifat2 sebenar org2 Malaysia beragama Islam….
Balas komen ini.
aini berkata,
August 7th, 2010 at 6:11 pm
assalamualaikum..
this is so true.. well said!!
selama 7 tahun di Ireland, insya Allah setahun di New Zealand, seketika di Turki, Sepanyol.. apabila berjumpa dengan saudara seislam, ukhuwah yang terbina terus mekar, seolah2 dah kenal lama, memang sanggup menolong kalau kita dalam kesusahan…
tapi yang sedihnya, bila pulang ke tanah air sendiri, tanah air yang kita bangga mengatakan kita ‘negara Islam’, akhlaknya pincang.. dan adakalanya memalukan.. siapa yang kita katakan ‘racist’.. siapa yang kita katakan ‘terrorist’… sedih…
mengapa tidak kita contohi akhlak Rasulullah?
Balas komen ini.
ashee berkata,
August 13th, 2010 at 12:08 pm
Balas komen ini.
illyani berkata,
October 23rd, 2010 at 10:44 am
salam ukhwah saudara ..
sangat benar…hanya teman seakidah sahaja yang memahami, bagaimana saudaranya sangat saling memerlukan. sangat berbeda bila tinggal di US juga.
Balas komen ini.