Adikku, apakah juadahmu hari ini? (revisited)
Nota: Entri asal bertarikh 19 Sept 2007. Inilah yang terjadi bila dah tak ada modal nak menulis. Mental block!
Semalam aku berbuka dengan sebiji gula-gula. Maghribku diselesaikan di bumbung blok. Semuanya gara-gara urusan kemaskini data-data persembahan robot kumpulan aku yang masih lagi bertangguh. Akhirnya, aku orang terakhir yang keluar dari Makmal Robot. Melangkah gemalai ke hostel. Keseorangan. Berjatuhan rintik-rintik hujan di sepanjang jalan.
Selepas mandi, ku selak tudung periuk di atas dapur. Sambal sotong. Lauk rasmi kami sejak zaman-berzaman (aku dan seorang lagi senior). Di sebelahnya ulam kubis dan belacan goreng. Sungguh ringkas juadah berbuka ku untuk Ramadan yang keenam. Mungkin seniorku sudah menjamu terlebih dahulu. Kalau ditunggu lagi, mungkin lepas Isyak baru kami bersua.
Namun, tatkala suapan pertama, tiba-tiba air mata ini berderaian. Terhenti. Tak dapat ku bendung sendu tangis yang menguasai perasaan. Kisah silam itu bergentayangan di benak fikiran. Wajah lesu, genit, comel budak itu takkan pudar dari ingatan. Di mana dikau, adikku? Apakah juadahmu kali ini, adikku? Adakah bubur lambuk semalam yang dikongsi bersama adik-adikmu yang lain? Atau ubi rebus berpinggankan piring-piring yang sumpik, seribu retakan?
——–Edisi Imbas Memori——–
Persahabatan kami bermula ketika umurku menjejak 12 tahun. Cuaca waktu itu sungguh terik. Dek tak tertahankan kekeringan tekak, aku singgah ke kantin. Ketika sekeping 20 sen hendak ku hulur, nun di hujung sana terlihat seorang budak sedang memerhatikan aku. Kulit gelap, tetap manis. Lingkungan sembilan tahun. Tak senyum. Tak pula muram. Berdirinya di tengah panas sambil sesekali menelan tenggorokan.
Aku melambai-lambai memanggil dia. Dia menggeleng. Aku mengunjukkan air sirap tadi, yang gelasnya penuh dengan wap air yang terkondensasi. Dia menggeleng lagi walau mukanya penuh nafsu. Lalu budak itu berlalu pergi, dengan sebiji botol kosong di lengan kiri. Aku perhatikan dia dari jauh.
Budak itu memulas pili paip. Berhati-hati dia mengawal arus air pili itu untuk memenuhkan botol yang dibawa. Sesekali terpercik air di baju putihnya yang lusuh itu dek hilang kawalan terhadap botol yang kian memberat.
“Jom la kita minum kat situ,” aku menegur dia dari belakang sambil tangan kiri menunjuk ke tangga sebelah. Tangan kanan masih lagi ku pegang gelas sirap yang tak terusik sejak tadi. Dia mengangguk dan tersenyum.
“Ok, adik tak payah usik botol tu. Simpan saja untuk sekolah agama petang nanti. Jom kita habiskan sirap ni cepat-cepat. Kejap lagi nak habis waktu rehat.” Aku cuba untuk bergaul dengan cara yang agak berbeza. Seperti sudah kenal lama, walau mungkin itu kali pertama aku melihatnya. Bak musafir yang terjumpa oasis di tengah gurun, budak itu sungguh berselera menghirup air sirap itu.
KRINGGG… Loceng pun berbunyi. (lagi-lagi loceng). Suasana hiruk pikuk sebuah sekolah rendah di waktu rehat semakin tenang. Masing-masing sudah siap beratur di depan kelas untuk pembelajaran seterusnya.”Tak apa, bang. Biar saya letakkan gelas ni kat besen. Abang pergilah jaga,” akhirnya budak itu bersuara. Aku cuma tersenyum. Satu petanda baik. Kemudian, aku pun menyambung kembali tugasku sebagai seorang ketua pengawas, meninggalkan budak tadi dengan dunianya.
Hari demi hari. Persekolahan berselang cuti. Lama-kelamaan, kami semakin akrab. Namanya Ezzat (Izat, Aizat atau Ezat..ah aku pun sudah lupa). Anak sulung dari empat beradik yang baru kematian ayah waktu itu. Kepada ibunyalah tempat Ezzat mengadu nasib. Ibunya cuma bekerja mengumpul kertas-kertas terpakai untuk sesuap nasi.
Aku masih ingat sewaktu dia berulang alik di hadapan koperasi. Entah berapa belas kali die melintas. Sesekali matanya mencuri pandang pada meja kaunter koperasi.”Haa.. kat sini pun Ezzat. Penat abang carik. Kenapa ditenung saja? Jomlah masuk!” Aku menolak Ezzat masuk ke koperasi.
Berbisik padaku..”Bang.. ini pertama kali saya masuk sini tau..”. Telatahnya sedikit jakun. Sesekali bermain-main dengan anak ikan emas di akuarium Koperasi Sekolah.
Kemudian, dia melambai-lambai mengajak aku ke ruang kaunter. Aku menggeleng keletihan (dek banyak tugasan). Dengan tubuh bersandar pada kusyen empuk, aku memerhatikan Ezzat dari jauh.
Aku angkat kening. Dia angkat bahu. Aku angguk. Kemudian dia datang seraya berbisik. “Nak beli pensel untuk adik ni. Dia dapat nombor satu. Tolonglah pilihkan.”
“Jom..” aku.
Sejujurnya pensel yang menjadi pilihanku diketawakan mereka, penjaga kaunter. Katanya aku tiada “taste”. (Tak jumpa maksud “taste” dalam bahasa). Akhirnya pensel itu dia yang pilih. Berwarna merah jambu, bercorak Garfield.
P/s: Sampai di situ saja ingatan memori ini yang mampu diingat. Tak ada pun entri sedih di sini (aku tak mahu cerita kisah keadaan atap rumah Ezzat.) Tapi, detik-detik bersama Ezzat membuatkan aku sedar, bahawa ‘kesusahan’ pun masih bisa membuat mereka ‘tersenyum’.
p/p/s: Semasa berbuka puasa, bila teringat mereka yang kurang bernasib baik, akan membuatkan selera aku terbantut. Rasa tak sanggup nak makan. Kalaulah boleh aku kongsi bersama dia.






fajar berkata,
September 19th, 2007 at 10:22 am
Apabila kita merasakan diri kita susah, masih ada orang yang lebih susah daripada kita. Percaya atau tidak, kadang-kadang, melalui mereka kita menjadi lebih kuat dan tabah mengharungi kehidupan. Insya Allah, moga satu hari nanti Irfan akan bertemu kembali dengan Ezzat. Barangkali waktu itu, suasananya lebih indah.
Janganlah sedih-sedih selalu sampai tak makan ye.
Balas komen ini.
yginsaf berkata,
September 20th, 2007 at 11:39 pm
sedap sungguh si bubur lambuk
Makan bersama berbuka puasa
kalau hati sudah mabuk
sebelah tgn tetap bahagia ..
Balas komen ini.
rudy bluehikari berkata,
October 1st, 2007 at 2:16 am
Kalaulah akrab persahabatan itu masih ke hari ini…. Cari dia wahai sang pelangi. Dalam kita kesukaran di perantauan, ada lagi manusia yang dihambati kesukaran dlm kehidupan. Apatah lagi dalam rungkup ramadhan. So deshou, jinsei iro-iro hito sore zore bak kata kawan aku Napang.
Balas komen ini.
harisNoor berkata,
October 1st, 2007 at 11:40 am
Hati aku terkesan dan tersentuh. Aku sangka babak kehidupan sebegini hanya tercetak dalam skrip drama dan dilakonkan di atas pentas sahaja. Ternyata aku salah. Barangkali inilah sebabnya hatiku berdegup lembut. Begitu terharu mengenangkan dunia ini lebih rupawan dengan berpijaknya insan-insan seperti kau dan Ezzat. Dan aku sangka dunia ini sebegitu hodoh. Dan sekali lagi ternyata aku salah.
Aku juga ingin bertemu dengan Ezzat.
Balas komen ini.
jepunis berkata,
October 8th, 2007 at 7:02 am
Alangkah indah dunia kalau setiap insan seluhur dirimu. Salam ramadhan.
Balas komen ini.
SangPelangi » Blog Archive » Ramadan, mengingatkan aku pada apa? berkata,
August 29th, 2008 at 11:42 pm
[...] mengingatkan aku pada entri lalu yang dicoret tika diri diselubungi sedih sendu. “Aku pernah menangis beberapa kali bila [...]
julia juliana berkata,
August 30th, 2008 at 12:10 pm
tatkala memori lama kembali berpusar di kolam ingatan..sukar untuk menghakisnya dari terus membelenggu diri…kini bulan penuh keberkatan kembali mengimbau kenangan lalu…yang telah lama di bawa sang bayu…mungkin kini insan tersebut telah mula mengenal jati diri….insyaallah.En.Irfan jangan
Balas komen ini.
rudy bluehikari berkata,
August 31st, 2008 at 5:39 pm
alangkah luhur budimu Tuan. Hamba terpana. Moga Allah kira semua itu melihat kesusahanmu hidup dibumi Japan.
Balas komen ini.
nina berkata,
April 17th, 2009 at 12:11 pm
ade sorg budak tu, bila mula2 kite tgk die, sangat introvert.. xpernah keluar bunyik pon dari mulut die. pastu bile diacah oleh bapak saya agar kami je yang jaga die (bapak saya memeluk dia erat), die nangis! rupa2nya, die trauma kesan didera bapaknya,dikurung dalam bilik gelap xdiberi makan satu masa dulu.tak ingat ape jadik dengan maknya.
tapi bila saya main cak2 dengan die, die mula tersenyum dan cuba bergurau dgn saya plak. haha. comel, tapi sedih. kali kedua ke tmpt itu, die dibawa pulang oleh sedaranya utk menyambut hari raya. hati ni risau sangat akan nasib mereka, tapi saya xde hak, dan x mampu nak jaga mereka.. sekarang berharap je la yg diorang baik2 saje dan pandai bawa diri. huhu.. saje nak kongsi pengalaman..
Balas komen ini.
ainiaziz berkata,
September 14th, 2009 at 10:21 pm
salam ramadhan..
Kamu di kl kan skg..hurm, kalau ada masa, jenguklah “ezzat-ezzat” di Rumah Solehah bandar Tun razak. Mungkin bukan ezzat yang sama, tapi harapnya boleh terubat rindu kalian ~…;)
Balas komen ini.
syahrul nizam berkata,
September 17th, 2009 at 10:31 pm
Salam
Semoga dimudahkan usaha memecut dengan amal dan kebajikan pada hari-hari terakhir ramadan.
syahrul nizam
http://ilmupengaruh.blogspot.com
Balas komen ini.
gula-gula berkata,
September 23rd, 2009 at 7:45 am
taste- bukan citarasa kah? sekadar ingin berkongsi…
dah lama jadi pembaca senyap di sini..sangpelangi selalu menjadi santapan glosari bahasa saya. terima kasih dan teruskan berkarya^^
Balas komen ini.
Haris Noor berkata,
September 24th, 2009 at 10:30 am
Salam akrab Irfan,
Andai kita tak dipisahkan oleh jarak benua dan laut, sudah pasti aku akan memeluk kau erat. Manusia seperti kau andai sebutir pasir putih terselindung dalam lautan pasir kuning – amat sukar ditemui.
Aku pernah juga pernah mengenali seorang sahabat sewaktu aku dalam Darjah 2. Sekali dia menjemput aku ke rumahnya. Katanya teratak terletak berhampiran sekolah di balik hutan sebelah sekolah. Apibila aku singgah, ternyata keadaan rumahnya berlainan sungguh daripada imaginasi mindaku. Hancur hatiku.
Oleh itu, aku sedikit sebanyak memahami perasaanmu pabila kau datang ke rumah Ezat. Malang aku juga, seperti kau, terputus hubungan dengan sahabatku itu. Jurang tempoh masa sejak masa dahulu membuatkan kita tertanya bagaimanakah kehidupan mereka.
Ternyata kita manusia tak mengenang kesenangan yang dihadiahkan Allah.
Balas komen ini.
Haris Noor berkata,
September 24th, 2009 at 10:38 am
Salam akrab Irfan,
Andai kita tak dipisahkan oleh jarak benua dan laut, sudah pasti aku akan memeluk kau erat. Manusia seperti kau andai sebutir pasir putih terselindung dalam lautan pasir kuning – amat sukar ditemui.
Aku pernah juga pernah mengenali seorang sahabat sewaktu aku dalam Darjah 2. Sekali dia menjemput aku ke rumahnya. Katanya teratak terletak berhampiran sekolah di balik hutan sebelah sekolah. Apibila aku singgah, ternyata keadaan rumahnya berlainan sungguh daripada imaginasi mindaku. Hancur hatiku.
Oleh itu, aku sedikit sebanyak memahami perasaanmu pabila kau datang ke rumah Ezat. Malang aku juga, seperti kau, terputus hubungan dengan sahabatku itu. Jurang tempoh masa sejak masa dahulu membuatkan kita tertanya bagaimanakah kehidupan mereka.
Ternyata kita manusia tak mengenang kesenangan yang dihadiahkan.
Balas komen ini.
syitah berkata,
October 9th, 2009 at 7:07 am
Balas komen ini.
wardah_syifa berkata,
October 14th, 2009 at 3:40 am
Pengajaran bt kt semua yg kadang kala alpa dgn nikmat yg Allah beri.
Memang sudah lumrah manusia x pnh puas dgn apa yg ada di depan mata.
Hati kadang-kadang x lari drpd membanding2 nikmat yg Allah beri kpd saudara2 yg lain.
Sentiasa muhasabah diri utk menjadi yg terbaik.
Berfikir & Bertaakul.
p/s ‘taste’ in bahasa boleh dikatakan sbg ‘citarasa’
Balas komen ini.
Syud berkata,
October 16th, 2009 at 10:58 pm
taste= citarasa
Balas komen ini.
life is a secret berkata,
October 17th, 2009 at 5:02 pm
sekadar berkongsi pengalaman, di tempat aku, kanak2 yg senasib dgn ezzat bertaburan di mana2 saja. pernah aku terpikir, adakah aku dilahirkan bernasib baik atau mereka yg dilahirkan kurang bernasib baik. dan mengapa aku yg bernasib baik ini x mampu berbuat apa2. terbayang kanak2 di malaysia yg sebaya mereka, di usia ini ke sekolah, jalani kehidupan normal punyai rumah tempat berteduh, tapi kanak2 di sni berbantalkan lengan, berlapikkan surat khabar, tidur di tepi2 bangunan. bila tiba siang hari bgn mencari rezeki, ada yg menjual tisu, ada yg minta sedekah, ada yg kerja mengilap kasut. pernah satu hari, hati aku tersentuh, seorang ibu bersama bayi kecil tidur di tepi dinding, berlapikkan kotak2, dan berselimutkan hanya sehelai kain nipis di musim kemuncak winter yg sejuknya memeritkan tahap freezer peti ais atau lebih lg ntah brp darjah celcius tp yg buat aku sayu, si bayi menangis kesejukan. si ibu cuba memberi sedikit kehangatan wlpn ternyata si ibu itu sendiri dalam kesejukan. aku hanya mampu tgk dr jauh, sedetik demi sedetik kenderaan yg kami panggil `tram` yg aku naiki bergerak meninggalkan dua insan yg kurang bernasib baik itu. wallahua’lam
Balas komen ini.