Archive for 2009

Episod Pertemuan Semula dengan Ustaz Fakih.

posted by Al-Irfan in Diari Lusuh..

Kisah ini adalah sambungan kisah benar tentang seorang ustaz yang telah banyak memberikan perangsang dalam hidupku. Kepada yang belum membaca siri pertama, bolehlah baca di pautan ini (Klik Sini)

——————————————

Aku berlari ke sana sini. Sebagai seorang yang diberi amanah menguruskan keadaan peralatan P.A System di maktab, tugas itu seolah-olah seperti seorang jurutera bergaji tetap. Bezanya, bukanlah mendapat apa-apa habuan, apatah lagi diberi pujian bila memberangsangkan. Tapi, entah kenapa aku begitu berminat dengan kerja itu. Klik untuk membaca lanjut.

Istilah Sahabat Karib Bermaksud..

posted by Al-Irfan in Kaca Mata Usang

Di zaman kanak-kanak dulu, ada seseorang yang aku sangat teringin untuk bersahabat baik dengannya. Mula-mula, aku tertanya-tanya kenapa kemahuan untuk berkawan dengannya tanpa dipaksa-paksa? Mungkin kerana aku terpedaya dengan daya tarikannya yang sering dikelilingi sahabat yang ramai. Setelah kutekuni tingkahnya hampir beberapa purnama (wah, kecil-kecil lagi sudah pandai ‘membaca’ manusia), kesimpulan yang aku dapat cuma satu. Pandai gembirakan orang sekeliling adalah kunci mendapat sahabat yang ramai. Klik untuk membaca lanjut.

Untuk menjadi jurutera, tidak semestinya melalui universiti.

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Baiklah. Tajuk begini sudah pasti disenangi golongan yang tidak berpendidikan tinggi (tetapi perasan mereka berjaya dengan pengalamannya, sampai sanggup memperleceh golongan ilmuan.) Kedua, tajuk begini dibenci pula oleh bekas (atau sedang bergelar) graduan kerana menidakkan fungsi universiti. Namun, kedua-duanya bukan misi utama.

Artikel ini sebetulnya ditulis demi menjawab persoalan beberapa orang juniorku akan kepentingan menuntut di universiti. Semakin ramai kenalanku (di kalangan junior khususnya) terkejut bila mendapat khabar bahawa aku yang bergelar graduan robotik memasuki dunia buku. Mereka makin hilang arah melihatkan aku seakan membelot dengan perjuanganku sendiri, kerana selama ini aku sering membantu mereka dengan menjawab permasalahan rekacipta melalui emel. Ingat mereka, aku akan menjadi seorang selebriti robotik dengan ciptaan hebat-hebat. Usah bimbang, adik-adikku. Aku masih menjawab emel sebegitu biar hidupku kini bergelumang dengan buku. Klik sini untuk membaca lanjut.

Menjinak Bongkak, Bagai Mengopak Balak dengan Kapak.

posted by Al-Irfan in Diari Lusuh..

Setakat ini, apa perubahan pada diri selama di sini?

Kemudian diselang diam yang lama. Persoalan itu tak pernah aku tanyakan sendiri kepada diri ini. Pengurus unit yang tak suka digelar bos itu tiba-tiba menanyakan soalan yang tidak disangka-sangka, selepas mengajakku duduk bertentang empat mata untuk sesi bermuhasabah, atau disebut post-mortem dalam istilah profesionalisme.

Saya semakin kasar.

Jawabku itu adalah kudus yang paling kudus. Klik sini untuk membaca lanjut.

Adikku, apakah juadahmu hari ini? (revisited)

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Nota: Entri asal bertarikh 19 Sept 2007. Inilah yang terjadi bila dah tak ada modal nak menulis. Mental block!

Semalam aku berbuka dengan sebiji gula-gula. Maghribku diselesaikan di bumbung blok. Semuanya gara-gara urusan kemaskini data-data persembahan robot kumpulan aku yang masih lagi bertangguh. Akhirnya, aku orang terakhir yang keluar dari Makmal Robot. Melangkah gemalai ke hostel. Keseorangan. Berjatuhan rintik-rintik hujan di sepanjang jalan.

Selepas mandi, ku selak tudung periuk di atas dapur. Sambal sotong. Lauk rasmi kami sejak zaman-berzaman (aku dan seorang lagi senior). Di sebelahnya ulam kubis dan belacan goreng. Sungguh ringkas juadah berbuka ku untuk Ramadan yang keenam. Mungkin seniorku sudah menjamu terlebih dahulu. Kalau ditunggu lagi, mungkin lepas Isyak baru kami bersua.

Namun, tatkala suapan pertama, tiba-tiba air mata ini berderaian. Terhenti. Tak dapat ku bendung sendu tangis yang menguasai perasaan. Kisah silam itu bergentayangan di benak fikiran. Wajah lesu, genit, comel budak itu takkan pudar dari ingatan. Di mana dikau, adikku? Apakah juadahmu kali ini, adikku? Adakah bubur lambuk semalam yang dikongsi bersama adik-adikmu yang lain? Atau ubi rebus berpinggankan piring-piring yang sumpik, seribu retakan?

——–Edisi Imbas Memori——–

Persahabatan kami bermula ketika umurku menjejak 12 tahun. Cuaca waktu itu sungguh terik. Dek tak tertahankan kekeringan tekak, aku singgah ke kantin. Ketika sekeping 20 sen hendak ku hulur, nun di hujung sana terlihat seorang budak sedang memerhatikan aku. Kulit gelap, tetap manis. Lingkungan sembilan tahun. Tak senyum. Tak pula muram. Berdirinya di tengah panas sambil sesekali menelan tenggorokan.

Aku melambai-lambai memanggil dia. Dia menggeleng. Aku mengunjukkan air sirap tadi, yang gelasnya penuh dengan wap air yang terkondensasi. Dia menggeleng lagi walau mukanya penuh nafsu. Lalu budak itu berlalu pergi, dengan sebiji botol kosong di lengan kiri. Aku perhatikan dia dari jauh.

Budak itu memulas pili paip. Berhati-hati dia mengawal arus air pili itu untuk memenuhkan botol yang dibawa. Sesekali terpercik air di baju putihnya yang lusuh itu dek hilang kawalan terhadap botol yang kian memberat.

“Jom la kita minum kat situ,” aku menegur dia dari belakang sambil tangan kiri menunjuk ke tangga sebelah. Tangan kanan masih lagi ku pegang gelas sirap yang tak terusik sejak tadi. Dia mengangguk dan tersenyum.

“Ok, adik tak payah usik botol tu. Simpan saja untuk sekolah agama petang nanti. Jom kita habiskan sirap ni cepat-cepat. Kejap lagi nak habis waktu rehat.” Aku cuba untuk bergaul dengan cara yang agak berbeza. Seperti sudah kenal lama, walau mungkin itu kali pertama aku melihatnya. Bak musafir yang terjumpa oasis di tengah gurun, budak itu sungguh berselera menghirup air sirap itu.

KRINGGG… Loceng pun berbunyi. (lagi-lagi loceng). Suasana hiruk pikuk sebuah sekolah rendah di waktu rehat semakin tenang. Masing-masing sudah siap beratur di depan kelas untuk pembelajaran seterusnya.”Tak apa, bang. Biar saya letakkan gelas ni kat besen. Abang pergilah jaga,” akhirnya budak itu bersuara. Aku cuma tersenyum. Satu petanda baik. Kemudian, aku pun menyambung kembali tugasku sebagai seorang ketua pengawas, meninggalkan budak tadi dengan dunianya.

Hari demi hari. Persekolahan berselang cuti. Lama-kelamaan, kami semakin akrab. Namanya Ezzat (Izat, Aizat atau Ezat..ah aku pun sudah lupa). Anak sulung dari empat beradik yang baru kematian ayah waktu itu. Kepada ibunyalah tempat Ezzat mengadu nasib. Ibunya cuma bekerja mengumpul kertas-kertas terpakai untuk sesuap nasi.

Aku masih ingat sewaktu dia berulang alik di hadapan koperasi. Entah berapa belas kali die melintas. Sesekali matanya mencuri pandang pada meja kaunter koperasi.”Haa.. kat sini pun Ezzat. Penat abang carik. Kenapa ditenung saja? Jomlah masuk!” Aku menolak Ezzat masuk ke koperasi.

Berbisik padaku..”Bang.. ini pertama kali saya masuk sini tau..”. Telatahnya sedikit jakun. Sesekali bermain-main dengan anak ikan emas di akuarium Koperasi Sekolah.

Kemudian, dia melambai-lambai mengajak aku ke ruang kaunter. Aku menggeleng keletihan (dek banyak tugasan). Dengan tubuh bersandar pada kusyen empuk, aku memerhatikan Ezzat dari jauh.

Aku angkat kening. Dia angkat bahu. Aku angguk. Kemudian dia datang seraya berbisik. “Nak beli pensel untuk adik ni. Dia dapat nombor satu. Tolonglah pilihkan.”

“Jom..” aku.

Sejujurnya pensel yang menjadi pilihanku diketawakan mereka, penjaga kaunter. Katanya aku tiada “taste”. (Tak jumpa maksud “taste” dalam bahasa). Akhirnya pensel itu dia yang pilih. Berwarna merah jambu, bercorak Garfield.

P/s: Sampai di situ saja ingatan memori ini yang mampu diingat. Tak ada pun entri sedih di sini (aku tak mahu cerita kisah keadaan atap rumah Ezzat.) Tapi, detik-detik bersama Ezzat membuatkan aku sedar, bahawa ‘kesusahan’ pun masih bisa membuat mereka ‘tersenyum’.

p/p/s: Semasa berbuka puasa, bila teringat mereka yang kurang bernasib baik, akan membuatkan selera aku terbantut. Rasa tak sanggup nak makan. Kalaulah boleh aku kongsi bersama dia.

Seronoknya Bersahabat dengan Orang Hebat.

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Melalui banyak pertemuan di majlis ilmu, semakin ramai pengikut SangPelangi yang sempat kutentang empat mata, saling berkenalan dan berkongsi ilmu akan hal duniawi ukhrawi. Begitulah cita-cita SangPelangi sewaktu kelahirannya dulu, iaitu untuk menghubungkan dunia realiti dan alam maya, meluaskan jaringan ukhwah, bersimbiosis untuk terus memberi dan menerima.

Kami semakin akrab, saling berutusan berita dalam apa saja acara, tidak kira seilmiah persidangan seminar dan bengkel, atau acara sesantai majlis makan-makan dan sukaneka. Lagi memelikkan, sebahagian pertemuan kami atas dasar kebetulan semata, sama sekali tidak dirancang teliti. Berani juga aku bersumpah, bahawa tiada seorang pun antara mereka yang hadir dengan kepakaran atau bakat yang biasa-biasa, kerana pasti ada saja kelebihan unik yang berjaya kutemukan dalam setiap diri mereka. Maha puji atas kejadian-Mu, wahai Si Pengatur Peristiwa.

Namun, ada SATU persamaan yang sukar kupatahkan dalam persepsiku terhadap mereka semua, iaitu senantiasa merendah diri. Rasa beruntung kerana bersahabat dengan mereka, hingga akhirnya sikap ini makin tercanai kepadaku secara halus, berdikit-dikit. Moga-moga doh keperibadianku ini tidak seliat nafsu atau sekeras amarah lagi. Terima kasih kepada semua.

Benarlah kata-kata ibuku yang ditulis padat dalam kiriman SMSnya kepadaku tempoh hari,

Ama pernah terbaca, jika kita selalu berkawan dengan orang hebat, kita akan jadi hebat. Semoga Ifan juga menjadi hebat sama.

Walaupun begitu, SangPelangi semakin dihimpit tekanan dari sudut yang pelbagai. Tulisanku dianggap luah rasa yang jujur, kerana ada kata yang tak terucap di lidah, lalu di sinilah tempatnya ia tercurah. Maka, orang di sekelilingku sangat berhati-hati dalam bergaul mesra denganku, kerana bimbang hal perilaku mereka akan menjadi cerita dalam SangPelangi ini. Kepada yang berhati-hati itu, usahlah menjadi plastik lagi. Jadilah diri sendiri, kerana itulah tujuannya perkataan ‘sahabat’ dicipta. Lagipula, peringatan di SangPelangi ini adalah tamsilan kepada diriku, juga buat renungan kita semua.

Kemudian, kepada pembaca SangPelangi yang masih sudi berkeliaran di sini, harap ampunkan aku seandainya kamu dahagakan sesuatu saban hari, sedangkan tiada apa yang tertinta. Ada khabar, adalah ceritanya nanti. Aku khuatir termakan janji sendiri.

Saat Gaji Pertama Kuhulur..

posted by Al-Irfan in Habuk Sajak..

Tatkala rintik-rintik air yang Abah jiruskan penuh hati-hati ke tubuh Nyai, kuperhati keriut wajah Abah menahan panahan listrik di pinggangnya. Sakit di tulang belikatnya yang bertandang pergi, tidak terkawalkan. Sesekali aku mengurut perlahan di belakangnya, sambil tangan Abah masih cermat mendandani ibunya, juga nenek buat kami.

Hari itu, aku dan adik bukan sahaja fahami cara-cara merapi orang tua. Malah sempat kami pelajari, bahawa suatu hari nanti, amalan itu pasti bertukar tangan jua, iaitu saat tubuh Abah Mama tidak berprestasi kembali. Biar SangPelangi menjadi saksi, biar jodoh, biar harta, biar seluruh jagat raya yang hadir mendepani, aku berjanji untuk tinggalkan segalanya, andai saat itu bakal tiba.

Semalam, kepada Mama, buat julung kali kutitipkan pemberian yang tidak seberapa demi gembirakan dia. Bersama sedikit hasil dari gaji bulan pertama, kusalami tangan Mama sambil berbisik halus,

Ambillah ini, Mama.

Siapa lagi bisa menebak, hati si ibu yang sekonyong-konyong sebak. Air terjunan matanya lantas tersimbah deras, hingga dia sendiri tak bisa menyeka. Mama sedia maklum raih bulananku hanya secukup rasa. Dia malah arif berapa jumlah yang tersisa di dalam poketku. Dia lagi berkira-kira, mengukur jauh mana hala tuju anak-anaknya untuk tahun-tahun yang mendatang.

Lantas soalan Mama mematikan segala tindakanku,

Simpananmu bagaimana?

Selirat ragaku meluruh, syahdu, saat Mama menggenggam keras kedua tangannya, tanda menolak hadiah dari huluran salamku. Sungai tangis di pipinya tidak terempang lagi. Andai kuselami irama sendu itu, semestinya dapat kubaca perasaan Mama, bahawa bukan dek kepudaran sudi yang rajukkan rezeki. Mungkin inilah kalimah yang sedang dibisikkan kepadaku,

Cita-citamu masih jauh, nak.

Ketahuilah olehmu wahai Mama, anakmu ini sanggup berlapar ke senja demi sekuntum senyum darimu.

Saat Gaji Pertama Kuhulur

Saat gaji pertama kuhulur
seikat impi terguyur, moga
tidak acuh kausambut, biar
lipatnya tidak sekebat dosa.

Saat gaji pertama kuhulur
geletar tangan ini, bagai tanda
airmatamu bukan hutang lagi,
tapi separuh dari harga diri,
walau tidak terganti.

Al-Irfan
Stesen Bas Larkin, 160809

Seputar Seminar Kebangsaan Pendidikan Kususasteraan

posted by Al-Irfan in Ulasan

Siapa bilang menulis itu tidak Carma (cari makan)? Saya sendiri ditawar ribuan ringgit untuk menulis lima baris puisi. Kemudian ditawar lagi berbelas ribu, hanya dengan memasukkan perkataan ini, Satu Malaysia. Tetapi, saya menolak (lantas dewan bergemuruh dengan tepukan). – SN A.Samad Said

Kerja + Hal Peribadi = Hidup

posted by Al-Irfan in Nota realiti

Setiap dari kita pasti punya tanggapan berbeza terhadap kerjaya mereka. Sesetengahnya amat berpantang, hal peribadi jangan dicampur adukkan di dalam kerja. Dalam kategori ini, dia itu akan sering bertindak mengasingkan dua medan tersebut untuk berketrampilan selesa. Terkadang punya dua talian telefon yang berbeza, dua akaun emel atau laman social network yang berlainan, dan berencam ragam.

Ada juga yang lebih suka mencampur adukkan kesemuanya. Sudahnya di meja makan bersama keluarga, dia itu akan bercakap tentang untung rugi saham berbanding puji-pujian pada masakan isterinya. Jika kerja seharian memotivasikan orang lain, maka di rumahnya juga pasti berkumandang syarahannya. Cara fikir di pejabat dan di rumah berpadu, membentuk penampilan yang sama.

Namun, pro dan kontra dalam memilih salah satu darinya adalah sesuatu yang tidak harus dibasa-basikan. Saya secara peribadi, seperti juga semua orang di dunia, memasak cita menjadi insan yang seimbang segala segi. Namun, kerja dan hal peribadi bagi saya adalah hidup yang sama. Disebabkan itu, saya merasa sangat tidak berdosa untuk mencoretkan perihal kerja di taman larangan ini, yang tumbuhan melatanya adalah kisah-kisah peribadi lampau. Kendatipun sebati, pada saat tertentu ia wajar ditembok besi dengan imbangan otak kanan dan kiri.

Saya gembira terjun ke dunia baru. Biar menuntut di bidang robotik, bacaan saya adalah kewangan dan ekonomi. Menulis dan berfikir dalam sastera, walau hobi menjurus grafik. Saya gembira jadi manusia begini. Jujur, ia membuatkan saya sangat cerewet memilih kerja. Tapi tidak bermakna kita tidak menyambar mana-mana peluang yang ada.

Tiga peluang sekali datang melepuk, buat saya terjaga. Di simpang tiga jalan, harus dipilih salah satu sebaiknya. Dua datang dari syarikat multinasional dengan imbuhan setimpal, dan satu lagi peluang hadir dengan pakej ilmu yang melangit lumayannya. Maka kepada Tuhan jua kita mintakan diberi alamat paling berhikmat.

Syukur saya di sini. Sepanjang pergi dan pulang ke pejabat berjalan kaki, sejauh empat kilometer sehari-hari sering dihias senyum yang menguntum seri. Setiap hari adalah hari-hari yang sarat dengan ilmu yang baru. Insan-insan yang saya temu punya laut ilmu yang harus saya ceduk satu persatu. Lalu dicurahkan kembali buat telaga kering yang tergali.

Begitulah perasaan saya yang sama diperkatakan oleh sahabat saya, Sang Bayu Permata Nusantara yang bertajuk Andai Ada Jalan Yang Lebih Baik,

Ada yang berkata…rugi ya meninggalkan pekerjaan yang sepatutnya dengan kelulusan di Universiti…namun, saya langsung tidak merasa rugi walau sedikit pun…jika disuruh untuk memohon pekerjaan lain..hati saya seakan berat untuk melakukannya…keikhlasan dalam bekerja itu sendirinya melahirkan ketenangan dalam jiwa…sungguh saya merasa tenang dengan apa yang saya lakukan setiap hari…

p/s: Ini juga adalah luahan pertama kali berkenaan bidang kerja saya sekarang. Buat Mama, terima kasih atas restumu ke atas pilihanku.

Keajaiban dalam hidupku, atas pertolongan Dia.

posted by Al-Irfan in Aku di Jepun

Nota: SangPelangi sedang proses transformasi blog dari bahasa SMS ke tulisan penuh. Tulisan asal adalah bertarikh Julai 11, 2006, 2.44 pagi.

Petang tadi adalah hari bermakna dalam hidupku. Ujian Judo yg diadakan dalam bentuk pertandingan itu benar membuatkan semua rakan sekelas makin tertekan. Entah ke mana melayangnya hilai tawa sesama kami sepanjang sesi latihan selama ini. Kini, kedut dahi yang mencerut, alur bibir yang terherot, adalah simptom-simptom keseriusan tahap tinggi yang terpamer di wajah semua.

Gayaku waktu itu usah diteka. Mana mungkin insan selemah aku bisa senyum kambing di ceruk sana. Tambah-tambah, acara ini diisytihar mengejut, buatkan nadiku terus-terusan memecut. Andai kutahu hal ini sehari dua, pasti petang-petang sudah kuhayun balak melatih jiwa. Biar kental. Biar urat kawat berselirat tegang. Sayangnya.. Entri ini agak panjang. Klik di sini jika berkesempatan waktu sahaja.

Jangan sekali minta dibelanja!

posted by Al-Irfan in Kaca Mata Usang
“Jom! Rengit!”
Tok Aki mengajakku pada satu pagi Ahad, dengan kasut berkilat, berbatik Jawa siap berseterika. Tak lupa juga kupiah lusuh, sahabatnya yang paling setia. Aku bergembira melompat dari kerusi buai buatan Tok Aki. Mencapai kemeja T dan selipar, berkejar ke arahnya.
“Tapi Ifan belum gosok gigi.”
“Ah tak apa! Kita gosok dengan Phrata!”
Sepanjang membonceng kapcai petak berkilatnya, aku masih tertanya-tanya, kenapa baru hari ini dia mengajakku ke warung singgahan Tok Aki, setelah sekian lama kami hidup bersama-sama. Sedangkan biasanya dia lagi gemar bersendiri ke sana.
“Kenapa baru hari ini Atok ajak Ifan?”
Kedengaran sayup-sayup jawapannya dari dalam topi keledar,
“Sebab, kau dah besar sekarang.”
Siapa lagi yang tak kenal perangai Tok Aki, teka teki memang mainan dia.
Sesampainya di Warung Razak, terlihat kelibat orang-orang tua di sana, berdiskusi hebat hal-hal duniawi, saham sawit yang beruntung rugi, termasuk cara kerja pekebunan paling efektif.
Dalam hiruk pikuk dunia medan ilmu bercucuk tani, perkara pertama yang dibuat Tok Aki, melawat kaunter dan berbisik sesuatu pada penjaga di situ. Selang beberapa detik, si penjaga kaunter bangun dan ligat menekan-nekan mesin kira.
Sudahnya, Tok Aki cuma memesan sekeping roti canai kosong yang dikoyak dua, dan secawan teh tarik yang dibagi dua sesama kami. Terserlah tahap kedekutnya Tok Aki ini pada pandanganku.
Sesuatu yang mengejutkan bila seorang demi seorang bangkit untuk pulang dan menuju kaunter. Semua pelanggan dilemparkan jawapan yang sama oleh Si penjaga mesin kira,
“Semuanya sudah dibayar, Kang.”
“Siapa?”
“Hamba Tuhan!”
Biar Tok Aki lagaknya sedari tadi berborak dengan Cikgu Wahab (allahyarham) begitu asyik, namun tiada syak lagi. Siapa lagi orang paling kaya di warung itu kalau bukan Tok Aki.
Saat itulah kukenal santan hampasnya seorang suami, bapa dan datuk. Siapa sangka orang yang paling kedekut itu, adalah paling pemurah antara kita.
Aku pernah merisaukan arwah Tok Aki yang pernah tidur dengan di bawah bantalnya berkebat wang ringgit. Bila kutanya untuk apa, jawapannya cuma pendek, “Untuk esok.”
Satu lagi pesan arwah yang paling kuingat, dan menjadi prinsip hidupku jua.
“Jangan sekali-kali kau minta sesiapa saja belanja kita. Bikin malu nenek moyang. Kau berduit, biar kau yang beri dulu. Kau tak berduit, cari! Kita ada Allah!”
p/s: Agaknya sudah menjadi tabiat manusiawi minta sahabatnya belanja makan dan minum. Tapi, tidak pernah lagi sahabat Jepunku berbuat begitu. Kenapa agaknya?

“Jom! Rengit!”

Tok Aki mengajakku pada satu pagi Ahad, dengan kasut berkilat,  berbatik Jawa siap berseterika. Tak lupa juga kupiah lusuh, sahabatnya yang paling setia. Aku bergembira melompat dari kerusi buai buatan Tok Aki. Mencapai kemeja T dan selipar, berkejar ke arahnya.

“Tapi Ifan belum gosok gigi.”

“Ah tak apa! Kita gosok dengan Phrata!”

Sepanjang membonceng kapcai petak berkilatnya, aku masih tertanya-tanya, kenapa baru hari ini dia mengajakku ke warung singgahan Tok Aki, setelah sekian lama kami hidup bersama-sama. Sedangkan biasanya dia lagi gemar bersendiri ke sana.

“Kenapa baru hari ini Atok ajak Ifan?”

Kedengaran sayup-sayup jawapannya dari dalam topi keledar,

“Sebab, kau dah besar sekarang.”

Siapa lagi yang tak kenal perangai Tok Aki, teka teki memang mainan dia. Sesampainya di Warung Razak, terlihat kelibat orang-orang tua di sana, berdiskusi hebat hal-hal duniawi, saham sawit yang beruntung rugi, termasuk cara kerja pekebunan paling efektif.

Dalam hiruk pikuk dunia medan ilmu bercucuk tani, perkara pertama yang dibuat Tok Aki, melawat kaunter dan berbisik sesuatu pada penjaga di situ. Selang beberapa detik, si penjaga kaunter bangun dan ligat menekan-nekan mesin kira.

Sudahnya, Tok Aki cuma memesan sekeping roti canai kosong yang dikoyak dua, dan secawan teh tarik yang dibagi dua sesama kami. Terserlah tahap kedekutnya Tok Aki ini pada pandanganku.

Sesuatu yang mengejutkan bila seorang demi seorang bangkit untuk pulang dan menuju kaunter. Semua pelanggan dilemparkan jawapan yang sama oleh si penjaga mesin kira,

“Semuanya sudah dibayar, Kang.”

“Siapa?”

“Hamba Tuhan!”

Biar Tok Aki lagaknya sedari tadi berborak dengan Cikgu Wahab (allahyarham) begitu asyik, namun tiada syak lagi. Siapa lagi orang paling kaya di warung itu kalau bukan Tok Aki. Saat itulah kukenal santan hampasnya seorang suami, bapa dan datuk. Siapa sangka orang yang paling kedekut itu, adalah paling pemurah antara kita.

Aku pernah merisaukan arwah Tok Aki yang pernah tidur dengan di bawah bantalnya berkebat wang ringgit. Bila kutanya untuk apa, jawapannya cuma pendek, “Senang esok, tak perlu ke bank.”

Satu lagi pesan arwah yang paling kuingat, dan menjadi prinsip hidupku jua.

“Jangan sekali-kali kau minta sesiapa saja belanja kita. Bikin malu nenek moyang. Kau berduit, biar kau yang beri dulu. Kau tak berduit, cari! Kita masih bertuhan!”

p/s: Agaknya sudah menjadi tabiat manusiawi minta sahabatnya belanja makan dan minum. Tapi, tidak pernah lagi sahabat Jepunku berbuat begitu. Kenapa agaknya?

Hasrat SangPelangi #1: Belut

posted by Al-Irfan in Siri Hasrat SangPelangi

Ini adalah siri entri terbaru yang akan saya masukkan ke dalam blog ini secara berkala. Siri Hasrat SangPelangi bertujuan menyampaikan beberapa cita-cita saya yang pernah bertakhta di hati, tetapi terkubur kerana Allah mendatangkan rezeki lain kepada saya. Kita cuma merancang, tetapi Allah jualah sebaik-baik Yang Maha Menetapkan. Semoga siri hasrat ini dibaca oleh seorang insan yang bisa mengikut jejak impian yang telah saya tinggalkan.

*****

Kenapa Belut?

Saya pernah bercita-cita untuk mengusahakan ternakan belut ini. Sayangnya, saya belum berkesempatan lagi untuk mempelajari cara menjaganya dan prestasi pasaran di Malaysia. Belut adalah spesis ikan yang banyak khasiatnya. Paling diketahui ramai, ia dapat mengekalkan tenaga kelakian dan kelician kulit.

Sejak menjejakkan kaki di Jepun dulu, saya dan rakan-rakan adalah pemakan tegar Unagi, iaitu belut. Orang Jepun sangat pandai memasaknya, dengan cara memanggangnya tanpa tulang, lalu disalutkan dengan kicap yang dicipta khas. Tetapi harus berjaga-jaga. Jangan lupa untuk membaca kandungan botol kicap itu, kerana ada kandungan alkohol yang diharamkan. Mujur ada IPIJ yang sering mengemaskini senarai kandungan halal haram dalam makanan Jepun. Klik untuk teruskan bacaan.

Eksperimental Bahasa Tanpa Kata-kata.

posted by Al-Irfan in Nota realiti

Sepanjang langkahan kaki, kepalaku pasti melilau ke sana sini memerhati sekeliling diri. Terasa bebanan kerja yang tertanggung sedari pejabat tadi, sehelai demi sehelai gugur melayang hinggap di gigi jalanan. Dalam tak sedar, sebuah Kancil meluru laju hampir menyondol kepala lututku dari belakang. Mujur hon dari hidungnya sempat menghentikan lamunanku.

PINGGG….

Semasa Kancil itu melintas perlahan di sebelahku, aku sempat melirik pada seisi perut yang ada di dalamnya. Kesemuanya dihuni kanak-kanak lelaki di bawah lingkungan empat tahun, dengan dipandu oleh kakaknya dalam belasan tahun.

Tak semena-mena, seorang darinya mengacu tangannya bergaya pistol ke arahku, sambil mulutnya terpercik air liur mendenguskan bunyi yang kukenal betul, semestinya bunyi pistol.

Psstt.. Psst.. Buzzzz…

Aku membalas ‘tembakan’ itu dengan senapang senyapku (lagak dua tangan), lalu dia menggayakan ala cedera. Kedua-dua adiknya di kerusi belakang perasan abangnya sedang terluka.  Apa lagi, mereka terus membuka tingkap dan cuba membuat serangan balas terhadapku. Aku dengan senyum berlagak, berlakon kononnya kebal dengan tujahan peluru biar tembakan mereka bertalu-talu.

Trit trit trit… Trit trit trit..

Si kakak itu pastinya tidak menghiraukan adik-adiknya kerana sibuk mencari parkir di hadapanku. Saat Kancil itu berhenti di sebuah ruangan kotak kuning, anak-anak itu segera berkejar girang mendapatkan aku. Si kakak bertanya hairan,

Err.. Kamu ini seorang artiskah? Kenapa mereka kenal kamu?

Jawapanku sekadar angkat bahu tanda tiada tahu. Tapi, sebenarya terkandung bermacam makna, biar bahasa tanpa kata-kata. Haha.

Keputusan Rasmi Pertandingan Entri Terbaik Hari Bapa 2009

posted by Al-Irfan in pertandingan

Berikut adalah sedikit dua kata dari Sang Juri kita, Bro Rudy dari Bluehikari.com untuk pertandingan yang lalu (Terima kasih bro kerana sudi menerima jemputan sebagai juri) :

Setelah menilai kesemua entri calon yang bertanding saya berpendapat;

A. Pengalaman suka duka penulis dengan ayah sahaja tidak mencukupi untuk menulis tentang entri khas mengenai ayah ini. Kebanyakan penulis yang tidak berjaya tergolong dalam kumpulan ini.

B. Saya lebih tertarik dengan entri dimana pengalaman penulis dengan ayah digarap dengan satu lagi kisah atau dapatan lain dari pembacaan penulis ataupun pelajaran dari sifat ayah sendiri. Sifat penulis yang baik ialah beliau banyak membaca, membaca, membaca dan membaca. Baharulah dia mula menulis. Ini dapatan ilmu yang saya kutip daripada SN A. Samad Said. Justeru, penulis kena membuat sedikit penyelidikan melalui pembacaan untuk memulakan satu-satu tulisan meskipun ringkas, pendek dan padat.

C. Saya juga tertarik dengan gaya dan isi penulisan yang diadaptasi dari pengarang novel terkenal. Sebagai contoh ada penulis menuruti gaya penulisan Feisal Tehrani menerusi novelnya Saasatul Ibad (rujuk entri nuruddin83.wordpress.com-singgah dan pulang). Disamping pembaca menikmati pengalaman beliau, ada unsur dapatan lain dari hadis misalnya diterapkan dalam entri tersebut.

D. Ada juga penulis yang menulis entri dalam bentuk puisi. Tapi sayangnya tiada satupun puisi yang memikat hati saya untuk diberikan satu hadiah. Walau bagaimanapun, ada penulis yang menjadikan puisi sebagai mukaddimah penulisannya. Ia dicanai dengan pengalaman penulis untuk menghasilkan entri yang saya kira baik. Malah, saya dapati beliau tidak menyelitkan sebarang dapatan dari pembacaan tetapi melalui ajaran/didikan tidak formal ayahnya. Pendek kata, beliau belajar menjadi matang bukan dari ajaran mulut ayahnya tetapi melalui sifat yang ditunjukkan ayahnya. (studiomuslim.com-disebalik marahnya abah).

E. Saya juga tertarik dengan entri yang ditulis secara lelucon. Saya tertawa sendiri membaca pengalaman penulis ketika bernikah misalnya. (silangbunga.blogspot.com – entri nikah dan ayah mertua). Ironi sekali, diakhir cerita mood ketawa saya tadi berubah serta merta dengan finale yang melankolik dan saya sedih secara tiba-tiba). Penulisan sebegini amat baik dan impaknya hebat. Jelas, pengalaman beliau sekali lagi dipelajari menerusi sifat yang ada dalam diri ayah mertuanya.

Justeru, setelah dipertimbangkan secara adil dan saksama, saya berpandangan penulis-penulis di bawah dipilih sebagai penulis yang berjaya dalam entri sempena sambutan Hari Bapa 2009. Syabas dan tahniah!

PEMENANG UTAMA; Klik di sini untuk mengetahui siapa pemenangnya, ya.

AWAS! Kejahatan di Depan Matamu!

posted by Al-Irfan in Nota realiti

Aku terkedu. Kira-kira 100 kaki dari tancapan mata, ada seorang yang lemah sedang dikeremuni oleh dua orang bertubuh sasa. Mangsa berkaca mata, kukira dia seorang yang lemah daya pemikirannya (baca: down syndrome). Situasi memberitahu, bahawa si lemah itu sedang ingin melepasi satu lorong sempit di belakang sebuah pasaraya ternama di tempatku ini, tapi perjalanannya dihalang.

Tiba-tiba, yang berbaju jingga merampas bungkusan plastik yang dikendong mangsa, tapi dia melawan. Lalu plastik terkoyak hingga isi dalamnya terburai. Gugur sepasang sandal biru, cantik, elegan, yang dibeli tadi dari pasaraya di situ oleh si mangsa. Lantas si baju jingga menyarung kakinya, dan menggantikan selipar buruknya ke dalam ronyokan plastik.

Derap jantungku yang semakin laju mengkehendaki tanganku berbuat sesuatu. Malangnya masih tetap kaku. Kenapa begitu? Klik untuk membaca lanjut.

Surat dari Pembaca #3

posted by Al-Irfan in surat pembaca

Surat elektronik kali ini diterima melalui kotak Facebook, dikirim oleh seorang yang bergelar W**** (keizinan telah diberikan, dengan syarat nama pengirim dirahsiakan). Aku tak ubah cara penulisan dan ejaan untuk mengekalkan keasliannya.

Mesejnya berbunyi:

Akum.. irfan,name aku W****.. peminat nombor satu jepun..
aku ade bc ko punye sangpelangi.. dan aku tertarik dengan cara ko berfikir ttg jepun…
aku nak tnya pandangan ko sebagai orang yang da ade pengalaman kat sane..
sebelum tu aku nak bgtau yang aku ni mmg giler abis ttg budaya jepun.. aku suka ikut dan semangat jepun bg aku yg terbaik didunia..

soalan 1 : mcmane ko bole x tpengaruh dgn budaya jepun?? mksud aku budaya muslim ko sangat kuat dan aku rase sangat pelik… x kah ko terasa nak enjoy n mengikutinya…???

soalan 2 : aku skrg dalam proses blaja bhase jepun basic 1, apa pandangan ko ttg org yg nak pg jepun, menetap disana dan kahwin org sane?? patut atau x dan kenapa…??

soalan 3 : ko ni al-arqam ker?? sebab bnyk sangat pasal ko dgn arqam..

harap maap kalau aku gunakan perkataan ‘aku’ disini sbb da terbiasa dan pgunaan sgkat sms sbb da x bole ubah gaya penulisan ku ini… arigatooooooooo………….. harap bole jawab sbb aku da tertanya2 ni..

Jawapanku untuk pertanyaan Wan; bolehlah klik di sini untuk membacanya

Matahari + Rembulan = Masa

posted by Al-Irfan in Agamaku..Hidupku..

Lewat malam semalam, menempuh kesesakan lebuhraya di Pedas Linggi, aku berdiskusi hebat bersama bapa saudaraku tentang soal masa. Katanya, perkongsian ini dicuplik dari abangnya semasa mereka duduk semeja adik-beradik untuk membincangkannya.

Beliau, seorang pensyarah senibina di pengajian tinggi, sempat melukiskan tanda soal di benakku;

Allah Maha Pandai menciptakan bulan matahari agar kita menyukat masa. Bayangkan pula andai tiadanya bulan matahari. Masih bolehkah manusia menafsirkan apa itu ‘masa’?

Seperti yang dikhabarkan Dia kepada kita, dalam Yunus, ayat kelima;

Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak (punya hikmah). Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui.

Namun, biar Tuhan sudi bersumpah terhadap waktu, manusia sering juga lupa beringat-ingat akan kebenaran dan kesabaran. Benar, tapi tak sabar. Sabar, tapi tak benar. Kitakah itu?

Seorang ibu menulis demi anaknya.

posted by Al-Irfan in Rempah ratus

andai-aku-affrina

Beliau ini, saya kira sangat unik perwatakan dan latar belakangnya. Setelah berkepompong dunia kejuruteraan selama 17 tahun, siapa sangka seorang yang juga bergelar ibu, bertindak menulis secara kreatif semata-mata sebagai alternatif bacaan anak-anaknya. Segalanya bermula apabila beliau mengekor anaknya di kedai buku, mendapati genre pilihan anak-anaknya adalah tema cinta yang tiada baiknya buat seorang yang bergelar muslim muslimah. Prinsip beliau cukup mudah.

Kalau bukan kita, siapa lagi?

Salam perkenalan buat Kak Norhayati Sapii, yang berjaya melahirkan ‘anak sulung’nya, Andai Aku Affrina. Berita lanjut di sini.

p/s: Mengenali beliau ketika Bengkel Penerapan Nilai Islami dalam Novel kendalian Ustaz Zakaria Sungib (mesra dipanggil Pak Ya).

Pertandingan Entri Terbaik Hari Bapa 2009

posted by Al-Irfan in pertandingan

Barisan Pemenang dan Ulasan Juri (klik sini)

Perhatian! Ini adalah iklan.

SangPelangi diajak oleh seorang sahabat untuk sama-sama menganjurkan pertandingan ini. Pertandingan ini tidak bertujuan spesifik, melainkan meluaskan kenalan di kalangan penulis blog, di samping mengeratkan persahabatan sesama kita. Walaupun hadiahnya tidak selumayan yang dijangkakan, dari semasa ke semasa, saya dan sahabat akan berusaha menambahkan nilaian hadiah untuk menggalakkan penyertaan. (Jika ingin menjadi penaja, segera hubungi saya, ya.)

Pertandingan bermula secara rasmi pada hari ini. Jadi, tuliskan sesuatu di blog anda untuk meluah rasa yang jujur berkenaan ayahanda kalian. Kemudian, hantarkan pautan (link) entri anda itu di ruangan komentar di bawah, atau menggunakan borang ini.

*Setiap pemenang dianugerahkan satu banner seperti di bawah ini untuk diletakkan di bahagian tepi blog sebagai tanda penghargaan dan peringatan dari kami.

1 Hadiah Utama (satu pemenang)

Logo Johan

- Wang Tunai RM100

5 Hadiah Penghargaan (Saguhati)

Logo Saguhati

- Wang Tunai RM20

Syarat-syarat penyertaan:

1. Warganegara Malaysia. (Tidak kira di planet mana.)

2. Mempunyai sebuah blog, tidak kira dalam bahasa apa pun. (Percuma, atau berbayar bukan isunya.)

3. Entri untuk tujuan penyertaan wajib ditulis dengan Bahasa Melayu. (Singkatan SMS sangat dilarang.)

4. Entri berkisar jasa seorang ayah, pengorbanan, kisah suka duka, dan segala yang berkaitan dengannya.

5. *Entri haruslah ditulis pada tahun 2009.

6. Tarikh tutup adalah 12 tengahari (waktu Malaysia) Isnin, 15 Jun 2009. Senarai lengkap peserta akan diumumkan pada keesokan harinya iaitu 16 Jun 2009, manakala pemenang akan diumumkan pada 25 Jun 2009 di blog ini juga. Jadi, pastikan anda tidak silap menulis alamat emel anda supaya mudah dihubungi oleh kami nanti.

Kaedah Pengadilan:

1. Teknik dan gaya penulisan adalah bebas.

2. Anda tidak diberi markah tambahan untuk tatabahasa dan gaya bahasa yang betul, bahkan tidak ditolak jika salah.

3. Keseluruhan markah dinilai dari segi kreativiti, unik, dan mengesankan pembaca.

4. Elakkan tulisan dengan warna yang pelbagai, serta besarkan tulisan untuk memudahkan pembacaan. Klik sini untuk baca lanjut.

Biar Bahasa Apa Pun, Berdoalah!

posted by Al-Irfan in Agamaku..Hidupku..

Musolla yang ada di rumah sakit ini, sejuk, seakan memujuk hamba-Nya bertelingkuh penuh syahdu diteman suara cengkerik yang berlagu. Lagu itu benar mendayu, tapi di hujung rangkap berbunyi sedikit hampa. Mungkin mereka tertanya-tanya, ke manakah makhluk Tuhan yang paling bijaksana ini melata.

Habis salamku yang kedua, terlihat sosok budak lingkungan 7, 8 tahun di ceruk sana begitu ligat bermain jarinya sambil mulut terkumat-kamit. Tatkala dia mengangkat lengannya, aku perlahan mengesot ke belakangnya, siapa tahu ada doa yang bisa diamin bersama.

Suara anak ini tidaklah boleh didengar sesiapa jika tidak dibantu sepinya semesta. Namun, mulus kandungan doanya itu, dalam diam berjaya merebahkan kelakianku untuk berbasah pipi. 

Dalam getar, dia meminta;

Ya Allah, Kau berikan rezki pada doktor tadi. Dia dah banyak tolong ubatkan Ibu. Boboi tak ada duit nak bagi kat dia, nasib baik ada uncle yang sedekah tadi. Err.. tolong bagi rezki jugak kat uncle tu, Ya Allah. 

Ya Allah, kalau  Kau ambil Ibu, Boboi tak ada siapa-siapa lagi kat dunia ni. Boboi tahu Kau paling berkuasa, sebab tu Boboi tak kisah, asalkan Kau masukkan Ibu kat syurga. Takpe, nanti Boboi belajar betul-betul, nak banyak duit, pastu Boboi tolong balik kat semua orang yang susah macam Boboi ni. 

Ya Allah, tolong sangat-sangat.. baikkan Ibu.. atau biar Ibu masuk syurga.. 

Tiada sedar, kolar bajuku sudah lecun. Bila tangan ini menyapu muka, kutoleh ke kanan. Di sebelahku ada seorang berambut sedikit putih bersama pakaian putih juga tersemat tanda nama, turut serta bermandi airmata, mengaminkan doa anak ini yang disulam sendu. 

Boboi, andai boleh kita panjangkan doamu itu, mari pintakan Allah agar membuka hati insan yang seusiaku, atau lebih tua, untuk terus melutut rayukan sesuatu pada Tuhan kita. Biar apa pun bahasanya, mudah-mudahan mereka tidak beralasan apa-apa, seperti tak mahir bertutur Arab, atau tak tahu berbahasa Melayu Tinggi, tak cukup masa, atau apa saja. Asalkan pujukan yang dianyam pujian pada-Nya itu masih sudi berlaku.

Amin.

Entri Terakhir
Entri Malar Segar
Sahabat SangPelangi


Rainbow Ribbon by eCoverApple.